Images
  • man on laptop
    (Gambar fail: Campaign Creators/Unsplash)

Trafik internet lonjak 10-12% sedang lebih ramai kerja, belajar dari rumah

SINGAPURA: Sejak langkah keselamatan COVID-19 diperketat pada Ahad (16 Mei), trafik internet melonjak 10 hingga 12 peratus, menurut dua penyedia khidmat internet dan jalur lebar di sini.

Sungguhpun begitu, para penyedia memberitahu Mediacorp bahawa mereka telah mengambil inisiatif seperti meningkatkan keupayaan rangkaian, dan boleh menangani peningkatan mendadak itu dengan baik semasa tempoh ini apabila lebih banyak orang bekerja dan melakukan pembelajaran dari rumah.

Beberapa pengguna internet yang bercakap dengan Mediacorp berkongsi bahawa walaupun mereka menghadapi beberapa gangguan seperti sambungan yang perlahan, ini biasanya tidak berlarutan lebih dari beberapa jam. Ketersambungannya jauh lebih baik daripada semasa pemutus rantaian jangkitan tahun lalu.

Semasa pemutus rantaian jangkitan pada April dan Mei tahun lalu apabila kebanyakan kegiatan sosial dan ekonomi dihentikan, puluhan ribu pelanggan syarikat telekomunikasi StarHub dan M1 mengalami gangguan perkhidmatan.

Pemerintah mengumumkan pada Mei tahun lalu bahawa Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan keupayaan rangkaian mereka.

Pada September, IMDA mendenda StarHub S$210,000 dan M1 S$400,000 atas gangguan tersebut.

M1 menyatakan bahawa dalam tempoh seminggu lalu, pihaknya menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 10 peratus sementara StarHub menyatakan bahawa ia melihat peningkatan 10 hingga 12 peratus pada trafik jalur lebar rumah melalui rangkaiannya.

Sementara itu, Singtel menyatakan pihaknya juga menyaksikan peningkatan trafik pengguna tetapi tidak mendedahkan perangkaannya.

Bekerja dari rumah adalah aturan utama dari 16 Mei hingga 13 Jun sedang jumlah kes COVID-19 meningkat.

GURU MENYAKSIKAN PERBEZAAN

Kebanyakan orang yang diwawancara oleh Mediacorp yang bekerja dari jarak jauh berkata bahawa sambungan internet lebih baik berbanding semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu.

Seorang guru sekolah rendah, yang enggan namanya didedahkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media, berkata bahawa semasa pembelajaran dari rumah tahun lalu, terdapat kelengahan teruk ketika beliau menggunakan alat persidangan online Zoom.

"Platformnya lengah teruk, sangat perlahan, dan beberapa pelajar menghadapi masalah untuk log masuk," kata pelanggan StarHub berusia 40-an tahun itu.

Setahun kemudian, masalah sedemikian tidak berlaku. Dengan pembelajaran di rumah bermula semula pada Rabu, beliau berjaya masuk lebih awal ke portal Ruang Belajar Pelajar (SLS) dan mengelakkan sebarang masalah di platform itu dan kelasnya berjalan lancar.

Begitu juga bagi seorang guru sekolah menengah yang juga enggan namanya didedahkan. Pelanggan Singtel berusia 28 tahun itu berkata bahawa sementara beliau sering mengalami kelengahan pada Zoom tahun lalu, masalah ketersambungan internet rata-rata diatasi kali ini.

Portal SLS mengalami kegenjotan sedikit pada hari pertama pembelajaran di rumah, namun beliau berkata beliau menggunakan portal pengajaran yang berbeza dan tidak menghadapi masalah.

"Ini bukan masalah internet, ini adalah masalah SLS," tambahnya.

SAMBUNGAN TERGANGGU

Gangguan kecil berlaku untuk beberapa pengguna online seperti Cik Nina D'Costa, 23. Pekerjaannya terganggu oleh sambungan internet yang tidak lancar sejak Isnin.

Pengguna StarHub itu, yang bekerja sebagai penganalisis di sebuah firma rundingan, berkata bahawa beliau mengalami internet yang lebih perlahan dan juga isyarat Wi-Fi yang kerap terputus.

Seorang pengguna M1, yang hanya ingin dikenali sebagai Alvin, berkata bahawa perkhidmatan internetnya tergendala sebentar pada Isnin, tetapi diperbetulkan dalam masa sejam apabila beliau menghidupkan semula penghala (router) setelah menghubungi syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan bantuan dari jarak jauh.

Gangguan yang dialami jauh lebih sedikit berbanding tempoh sama tahun lalu, bila beliau ingat beliau menghadapi masalah pada internet dengan gangguan berlarutan sekitar dua jam pada satu-satu masa.

APA KATA SYARIKAT TELKO

M1 dan StarHub menyatakan bahawa mereka telah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meluaskan keupayaan rangkaian mereka.

M1 menyatakan bahawa perluasan keupayaan rangkaiannya selesai tahun lalu dan para jurutera akan "tetap berwaspada dan memantau keupayaan jaringan dengan teliti untuk mengekalkan ketersediaan tinggi semasa tempoh penggunaan yang tinggi".

StarHub menyatakan bahawa peningkatan trafik pengguna tidak menjejas mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

"Setelah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memperluas keupayaan jaringan kami pada 2020, kami bersedia untuk kenaikan trafik dan terus memantau prestasi rangkaian dengan kesediaan untuk melakukan peningkatan jika perlu."

- TODAY/TQ/tq

Top