Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Toppen - pusat beli-belah mega terbaru di JB rasmi buka pintunya

Beratus-ratus orang beratur di luar Pusat Beli-Belah Toppen pada Rabu (13 Nov) untuk menjadi antara yang pertama dapat mengintai pusat beli-belah mega terbaru di Johor Bahru itu, bagi pembukaan rasminya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Toppen - pusat beli-belah mega terbaru di JB rasmi buka pintunya

Sekitar 200 orang dilihat beratur di luar pintu masuk Toppen pada 8.30 pagi pada 13 Nov 2019. (Gambar: Fadza Ishak)

Diterbitkan : 13 Nov 2019 10:50PM Dikemas Kini : 13 Nov 2019 10:59PM

JOHOR BAHRU: Beratus-ratus orang beratur di luar Pusat Beli-Belah Toppen pada Rabu (13 Nov) untuk menjadi antara yang pertama dapat mengintai pusat beli-belah mega terbaru di Johor Bahru itu, bagi pembukaan rasminya.

Para pengunjung, yang menetap di Johor serta juga dari Singapura, sudahpun mula 'tercegat' di sana seawal jam 7.00 pagi lagi.

Para pengunjung Malaysia dan Singapura beratur di luar Pusat Beli-Belah Toppen pada 13 Nov 2019. (Gambar: Fadza Ishak) 

Salah seorangnya, Cik Jocelyn Tay, berkata beliau dan keluarganya tidak mahu melepaskan peluang merebut diskaun dan habuan percuma yang dijanjikan oleh para peruncit pada hari pembukaan.

Toppen, yang dihubungkan kepada IKEA Tebrau, membuka pintunya kepada umum dengan 90 peratus ruang runcit sudahpun disewa.

Taman atas bumbung Toppen menghadap kota Tebrau. (Gambar: Fadza Ishak)

Ia juga mempunyai kawasan atas bumbung dengan kemudahan-kemudahan seperti taman untuk bermain papan lungsur, sebuah zon parkour dan juga tembok batu bagi kegiatan memanjat.

Seramai 2,000 pengunjung pertama menerima beg habuan percuma daripada IKEA, yang termasuk barangan Toppen dan sebuah buku kecil mengandungi baucar bagi kedai-kedai runcit di sana.

TOPPEN SASAR 15 JUTA PELAWAT JELANG 2020

Toppen, yang juga membawa maksud "hebat" dalam bahasa Sweden, dimiliki dan dibangunkan 100 peratus oleh IKEA.

Jumlah kawasan pusat beli-belah tersebut, yang meliputi IKEA, adalah 1.25 juta kaki persegi iaitu 16 kali saiz padang bola biasa.

Toppen adalah pusat beli-belah ketiga di Malaysia yang dikelolakan oleh IKEA. Dua yang pertama adalah Pusat Beli-Belah IPC di Petaling Jaya dan MyTown di Kuala Lumpur.

Syarikat perabot Sweden tersebut yakin model perniagaan dengan meletakkan kedai-kedai IKEA "sebagai sebahagian daripada hab komersil yang berkembang maju" akan membuahkan hasil.

Jenama pakaian Concept Haus membuka kedai pertamanya di Pusat Beli-belah Toppen, Johor. (Gambar: Fadza Ishak) 

Matlamat Toppen adalah untuk menarik lebih 15 juta penduduk tempatan dan pelancong menjelang tahun depan, menurut salah seorang jurucakap IKEA Asia Tenggara.

Sasaran utamanya adalah penduduk Johor tetapi para pengunjung dari Singapura juga dialu-alukan, tambah beliau.

Siti Rahmah Muhd Zainal, seorang pelajar politeknik dari Singapura, adalah dalam kalangan pengunjung yang beratur di luar Toppen pada Rabu. Siti mengatakan dia sanggup menempuh kesesakan di Pusat Pemeriksaan Woodlands kerana ingin tahu apakah perkara menarik yang digembar-gemburkan tentang Toppen.

"Saya rasa konsep untuk mengadakan sebuah pusat beli-belah bersebelahan IKEA adalah menarik. IKEA di Singapura adalah gedung tunggal tetapi di sini, saya boleh beli-belah di perbagai kedai dan makan bebola daging (hidangan istimewa dalam menu IKEA) untuk makan tengah hari," ujarnya.  

Sumber : CNA/FZ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan