Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Titanic II mungkin belayar seawal 2022

Kapal pesiaran mewah Titanic muncul kembali dan dijangka akan membuat pelayaran sulungnya seawal tahun 2022.

Anggaran Waktu Membaca:
Titanic II mungkin belayar seawal 2022

Replika kapal mewah Titanic akan buat pelayaran sulung dari Dubai. (Gambar: Blue Star Line/Facebook)

Diterbitkan : 13 Nov 2018 07:17PM Dikemas Kini : 09 Dec 2018 12:34AM

AUSTRALIA: Kapal pesiaran mewah Titanic muncul kembali dan dijangka akan membuat pelayaran sulungnya seawal tahun 2022.

Seperti lagu yang dinyanyikan oleh Celine Dion pada tahun 1997, projek membina replika kapal RMS Titanic yang karam bertahun-tahun lalu akan "go on and on" atau diteruskan.

Pada September lalu, tokoh perniagaan Australia Clive Palmer mengumumkan bahawa kerja-kerja membina kapal berkenaan sudah disambung semula selepas ia ditangguhkan.

Encik Palmer adalah ahli perniagaan dan politik dari Australia yang menerajui inisiatif untuk membina kapal mewah Titanic II.

Kerja-kerja membina kapal itu ditangguhkan pada 2015 akibat pertikaian kewangan dengan pemerintah China. Agensi berita CNN difahamkan bahawa idea bagi membangunkan kapal tersebut diumumkan pada 2012.

Reka bentuk Titanic II dipercayai serupa dengan kapal mewah Titanic yang karam pada 1912, selepas ia merempuh sebuah aisberg (ais apung) semasa sedang dalam pelayaran.

Bagi mencegah nahas itu daripada berulang, Titanic II akan dilengkapi dengan lebih banyak bot keselamatan serta alat navigasi dan radar yang moden, lapor CNN.

PELAYARAN SULUNG DARI DUBAI

"Kapal itu akan berlayar mengikut laluan asal dengan membawa para penumpang dari Southampton ke New York.

"Namun ia juga akan melakukan pelayaran ke merata dunia, dengan memberi inspirasi kepada yang lain serta memikat perhatian dan minat orang ramai di setiap pelabuhan yang dilawatinya," kata Encik Palmer menerusi satu kenyataan media, seperti yang dipetik CNN.

Menurut laman CruiseArabia, pelayaran sulung Titanic II bagaimanapun akan membawa para penumpang dari Dubai ke New York dan ia dijadual berangkat pada tahun 2022.

Blue Star Line menyatakan kapal setinggi sembilan tingkat itu akan dilengkapi dengan 835 kabin dan berupaya membawa 2,435 penumpang.

Seperti kapal mewah Titanic, para penumpang juga boleh membeli tiket bagi kelas pertama, kedua dan ketiga bagi kapal baru ini.

Malah, kapal baru itu juga akan menampilkan ciri-ciri dan reka bentuk asal Titanic termasuk tangga utama yang dilihat dalam filem popular terbitan James Cameron.

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan