Images
  • hutan generic
    Gambar hiasan hutan. (Gambar: PHILIPPE DESMAZES / AFP)

Tip daki gunung: Cara kekal selamat teroka kawasan seperti Gunung Pulai

SINGAPURA: Pengalaman dua pendaki rakyat Singapura yang hilang pada Isnin (5 Feb) semasa mendaki Gunung Pulai di Johor Baru menonjolkan risiko dalam kegiatan mencabar seumpama itu.

Meskipun kawasan itu dilihat sebagai destinasi pendakian popular dan mudah, Dominick Tan dan Clarice Lum Jie, tetap sesat dan hilang. Mereka hanya berjaya diselamatkan pada hari ini (8 Feb).

Jadi, bagaimana anda boleh mengelak kesukaran semasa mendaki gunung di luar negara?

Mediacorp mewawancara pendaki berpengalaman, Vijay Kumar, yang juga pengasas SG Trek, untuk mendapatkan beberapa tips keselamatan.

1) MAKLUMKAN RANCANGAN ANDA KEPADA ORANG LAIN

Sebelum anda memulakan pendakian, maklumkan lokasi perjalanan kepada keluarga dan rakan-rakan.

Selain itu, anda perlu mendaftarkan diri dengan pihak berkuasa tempatan sebelum memulakan pendakian.

2) ILMU

Ketahui laluan mana yang akan diterokai, jaraknya dan juga berapa lama tempoh pendakian.

Buat kiraan tempoh yang akan anda perlukan untuk menyelesaikan pendakian dan pukul berapa anda menjangka akan pulang ke rumah. Kemudian, kongsikan maklumat itu.

Ketahui semua laluan keluar dan pastikan anda menyimpan nombor-nombor pasukan penyelamat kecemasan.

3) LENGKAPI DIRI DENGAN PERALATAN ASAS

  • Beg galas
  • makanan
  • air yang mencukupi
  • pisau kecil
  • kompas/sistem GPS/peta
  • lampu
  • bateri ganti atau power bank
  • kit pertolongan cemas
  • wisel/selimut kecemasan
  • jaket/pakaian ganti untuk memanaskan badan

4) BERTENANG JIKA HILANG

Jika berlaku sesuatu yang tidak kena, jangan panik. Manfaatkan barangan yang anda bawa. Teliti peta untuk mengetahui sama ada anda boleh mengagak berapa jauh anda berada dari laluan asal.

Jika boleh, kembali ke laluan asal dan tetap di sana untuk menunggu para pendaki lain.

5) MAKLUMAT LOKASI AKAN BANTU PENYELAMAT

Jika anda berada terlalu jauh daripada laluan asal, cuba cari tempat tinggi untuk melihat kawasan sekeliling anda.

Selain itu, cuba untuk mencari koordinat lokasi dan lihat sekeliling anda untuk mengesan mercu tanda.

Apabila anda menghubungi pasukan kecemasan, berikan gambaran lokasi setepat mungkin. Jangan berpindah dari lokasi tersebut. 

- CNA/NK/nk

Top