Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tip berguna simpan, susun gambar

Hampir setiap telefon bimbit kini dilengkapi kamera yang memudahkan kita untuk merakam setiap detik bermakna dengan memetik gambar.

Anggaran Waktu Membaca:
Tip berguna simpan, susun gambar

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 31 Aug 2020 07:58PM Dikemas Kini : 31 Aug 2020 08:05PM

SINGAPURA: Hampir setiap telefon bimbit kini dilengkapi kamera yang memudahkan kita untuk merakam setiap detik bermakna dengan memetik gambar.

Namun apabila jumlah gambar atau video yang disimpan dalam telefon sudah mencecah ribuan banyaknya, kadang-kala rasa tidak sanggup pula untuk menyusunnya.

Berikut adalah tip-tip untuk menyusun dan menyimpan gambar dengan cara lebih teratur agar anda dapat menjimat ruang data dalam telefon dan lebih mudah untuk mengimbas kembali pelbagai kenangan yang dirakam.

SEDIKIT DEMI SEDIKIT

"Mempunyai fikiran bahawa, 'Saya akan menyusun dengan rapi gambar dan album dari 50 tahun lalu dan puluhan lagi album dari pelbagai alat digital' bukan langkah permulaan yang baik" kata Eric Niloff, ketua eksekutif EverPresent, sebuah syarikat di Amerika yang menyediakan khidmat pendigitalan dan penyusunan gambar.

Sebaliknya, Niloff menyarankan anda menetapkan sasaran khusus dalam proses menyusun gambar - seperti mengimbas gambar sepanjang setahun lalu, atau tetapkan dua jam seminggu untuk proses memilih gambar yang mahu disimpan atau dibuang.

Apabila seseorang mula selesa dengan proses itu, kerjanya akan menjadi lebih ringan, tambah beliau.

JANGAN TERLALU DIBUAI NOSTALGIA

Cathi Nelson, pengasas Photo Managers, sebuah masyarakat global yang menyatukan para penyusun gambar, menggunakan sistem pengutamaan yang beliau namakan 'ABCS':

A - 'Album', iaitu gambar terbaik yang patut disimpan dalam album
B - 'Box' atau 'Backup', adalah gambar yang mahu disimpan tapi tidak perlu digunakan
C - 'Can' atau 'Trash Can', iaitu gambar yang boleh dibuang
S - 'Stories', adalah gambar-gambar yang menggamit kenangan lama dan berharga untuk disimpan

Bagaimanapun beliau menasihatkan agar jangan terlalu lama dilamun emosi dan nostalgia sepanjang proses ini. "Anda ingin hadkan masa melihat setiap gambar hingga dua atau tiga saat saja," nasihat beliau.

Beliau juga menggunakan panduan 80/20: Apabila seseorang habis menyusun dan meletakkan gambar-gambar dalam kategori berbeza, 80 peratus gambar sepatutnya sudah dibuang.

GUNAKAN CIRI FAIL DAN TAG UNTUK GAMBAR DIGITAL

Kebanyakan aplikasi gambar kini membolehkan pengguna memasukkan kata kunci yang boleh digunakan untuk mencari semula gambar tertentu dengan mudah. Niloff menyarankan agar ciri ini digunakan untuk menyusun gambar-gambar dalam kategori mudah seperti hobi, keluarga dan lain-lain.

Meletakkan gambar dalam fail-fail khas ("Percutian 2020", "Gambar cetakan untuk Nenek") memudahkan kerja menghimpunkan gambar, selain menjadikannya lebih senang untuk mengongsi gambar tersebut dengan orang lain.

Anda juga tidak semestinya menyusun gambar mengikut urutan masa, tambah Nelson.

PILIH GAMBAR UNTUK DILETAK DALAM BINGKAI

Panduannya mudah, menurut Tessa Wolf dari Framebridge, syarikat pembuat bingkai: Letakkan gambar yang anda mahu tatapi setiap hari dalam bingkai.

"Benda yang nyata - yang boleh dilihat, dirasa dan disentuh - membawa makna yang berbeza sewaktu pandemik sekarang, apabila anda ingin mengimbas kembali kali terakhir anda keluar bersama orang yang tersayang," kata Wolf.

Dalam memilih komposisi gambar yang terbaik, jurugambar Adeib El Masri menasihati agar anda mencari gambar yang berbentuk simetri dan tidak mempunyai latar belakang yang sibuk.

Jika ada terlalu banyak gambar yang serupa dan bermutu baik, pilih saja secara rambang.

"Ingat, apabila anda melihat gambar di dinding, anda akan menyukainya; anda tidak akan menganalisa gambar dan membandingkannya dengan yang lain," kata El Masri.

PADAM, BUAT SALINAN, KONGSI

Setelah anda berjaya menyusun arkib utama gambar-gambar, adalah penting untuk sentiasa mengemaskininya. Niloff menyarankan masa diketepikan - lima minit seminggu untuk menyemak gambar-gambar yang perlu disusun dan dipadam.

Ramai orang biasanya keberatan untuk memadam gambar, kata Nelson, "namun apabila anda tidak memadam sebarang gambar langsung, kemungkinan anda mengimbas lagi gambar-gambar itu akan berkurangan."

Beliau menyarankan agar gambar-gambar terpilih disimpan dalam komputer, manakala selebihnya dimuat naik dalam khidmat simpanan 'cloud' atau cakera tambahan.

Apa pula yang patut dilakukan dengan gambar-gambar terbaiik yang sudah dipilih? Para pakar menyarankan untuk mengongsinya dengan orang-orang tersayang dalam apa juga bentuk, tidak kira dalam album atau dikongsi secara digital.

"Kirimkan tiga gambar kepada seorang rakan, jadikannya animasi slaid diiringi lagu: Apa saja bentuk yang membantu anda untuk kekal berhubungan dengan kenalan anda," kata Niloff.

Sumber : Agensi berita/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan