Images
  • unreturned tray hawker centre
    Dulang dan perkakas makanan yang tidak dikembalikan di pusat penjaja Chinatown Complex (Gambar: Ang Hwee Min)

Tinggalkan dulang, sisa makanan di pusat penjaja boleh dedahkan orang lain kepada penyakit: Pakar

SINGAPURA: Apa yang berlaku apabila anda meninggalkan dulang, pinggan mangkuk dan sudu garfu serta sisa makanan di meja pusat penjaja dan tidak mengembalikannya ke tempat yang dikhususkan?

Banyak orang akur meninggalkan meja yang berselerak akan menyusahkan pengguna lain, tetapi hakikatnya meninggalkan sisa makanan dan pinggan kotor juga boleh membiak kuman dan mendedahkan orang lain kepada penyakit yang berpotensi membawa maut, kata beberapa pakar kesihatan awam.

Membiarkan dulang dan perkakas makanan yang sudah dipakai bagi orang lain menyentuhnya - tidak kira pekerja pembersihan atau pelanggan lain - boleh menyebabkan penularan penyakit termasuk salmonella, virus bawaan haiwan dan juga COVID-19, kata penyelidik kesihatan awam Matthew Chua.

Penyakit-penyakit ini "berpotensi membawa maut" jika tidak dirawat atau lewat dirawat, kata Dr Chua. Dalam kes-kes berat, mangsa perlu dimasukkan ke hospital.

Pengerusi Majlis Kebersihan Awam, Edward D’Silva berkata: “Apabila pelanggan meninggalkan dulang mereka, perkakas dan tisu terpakai di atas meja, ini mendedahkan titisan air liur dan kuman kepada pelanggan seterusnya dan pembersih kami. Bakteria dari sisa makanan pelanggan sebelumnya berpotensi menular dengan bebas."

Cuaca panas di Singapura, selain "kawasan kotor dan basah" di kedai kopi juga dapat mempercepat pembiakan mikrob berbahaya, tambahnya.

DULANG TIDAK DIBERSIHKAN AKAN TARIK HAIWAN PEROSAK

Di Pusat Makanan Chinatown Complex, kira-kira 20 orang kakitangan diperlukan untuk membersihkan meja dan memulangkan dulang, kata Encik Cornelius Tan, naib setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Chinatown Complex.

Waktu makan tengah hari adalah yang paling sibuk, tambahnya.

"Ada kecenderungan (bagi dulang dan peralatan terpakai yang tidak dipulangkan) untuk menarik haiwan perosak dan burung yang tidak diinginkan jika dibiarkan lama," kata Encik Tan, sambil menambah bahawa persatuan itu telah memasang jaring di tingkat dua pusat makanan untuk mencegah burung masuk.

Najis haiwan juga merupakan "vektor berbahaya" bagi penularan virus dan penyakit, kata Encik D'Silva dari Majlis Kebersihan Awam.

"Apabila kita membersihkan dulang makanan kita sendiri dan memulangkannya ke tempat yang disediakan, kita membataskan peluang bagi haiwan perosak berkumpul dekat kawasan makanan dan mengurangkan risiko kita dijangkiti penyakit."

PEKERJA PEMBERSIHAN "PALING RENTAN"

Pekerja pembersihan "paling rentan" kepada kuman yang ada pada meja yang tidak dibersihkan, kata Encik D'Silva.

"Kita hanya perlu satu sahaja pekerja pembersihan untuk bersentuhan dengan patogen yang tidak diketahui pada piring kotor, dan semua mereka akan dijangkiti penyakit yang tidak diingini - terutama dalam iklim pandemik."

Tenaga kerja pembersihan di Singapura seramai 59,000 orang kebanyakannya terdiri daripada warga senja. Sebilangan besar daripada mereka akan bersara dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang, dengan hampir tiada pekerja muda yang akan mengambil alih pekerjaan mereka, tambah Encik D'Silva.

"Dengan pandemik yang berterusan, kita lihat lebih ramai orang mengelap meja dengan tisu sanitasi sebelum mereka memesan makanan mereka. Tetapi setelah selesai makan, adakah orang akan membersihkan tempat itu supaya pengguna seterusnya juga akan ada meja yang bersih?" tanya Encik D'Silva.

"Kita bangga memastikan rumah kita bersih, tetapi mengapa kita tidak memikirkan tentang persekitaran dan pekerja pembersihan apabila kita berada di luar? Membersihkan tempat makan adalah tanggungjawab semua orang dan tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada pekerja pembersihan."

- CNA/TQ/tq

Top