Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tiga beradik teruskan warisan kraftangan kaum Dusun di M'sia

Tiga beradik ini adalah generasi keempat sebuah keluarga dari suku kaum Dusun dan kini gigih meneruskan bakat seni kraftangan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka agar tidak pupus ditelan zaman.

Anggaran Waktu Membaca:
Tiga beradik teruskan warisan kraftangan kaum Dusun di M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 02:46PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 02:50PM

RANAU: Tiga beradik ini adalah generasi keempat sebuah keluarga dari suku kaum Dusun dan kini gigih meneruskan bakat seni kraftangan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka agar tidak pupus ditelan zaman.

Nimi Juaping, 29, Carolina Juaping, 27, dan Parsia Juaping, 24, mula menghasilkan pelbagai jenis kraftangan itu sejak September 2019 sebagai sumber pendapatan sampingan keluarganya.

Nimi adalah anak ketiga, Carolina keempat sementara Parsia eenam dari tujuh beradik

Menurut Nimi seorang graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Kimia Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor berkata, beliau dan dua orang adiknya mempelajari seni kraftangan itu daripada kedua ibu bapa mereka.

Kraftangan bakul yang dihasilkan oleh Nimi sekeluarga yang dijual di Facebook rasminya, Olundus Craft.

Dengan asas kemahiran itu, mereka bertiga mengasah bakat masing-masing mengikut kreativiti dengan menghasilkan kraftangan, antaranya, beg anyaman, kotak hantaran, sulaman kasut dan stokin bayi, beg mini, topi dan turban dikait, kotak pasu bunga dan bakul berbentuk hati.

Barangan lain termasuk rantai kunci terdiri daripada pelbagai jenis seperti bentuk hati, buah labu, juga haiwan seperti arnab dan kura-kura.

"Kami buat kraftangan bukan sebab sukar mendapatkan pekerjaan tetapi memang minat dan berasa bahawa dengan membuat kraftangan kami dapat menggunakan bakat untuk memulakan perniagaan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

PRODUK PERTAMA

Nimi mempamerkan kraftangan yang dihasilkannya diperbuat daripada tali plastik untuk dijadikan bakul.

Nimi atau lebih mesra dipanggil Erkie pula berkata, produk pertama yang mereka hasilkan ialah beg anyaman sebanyak 20 buah yang disiapkan dalam tempoh empat hari.

"Bermula dari situ, kami pamerkan beg anyaman itu di laman sosial di Facebook, Whatsapp dan Telegram. Tempahan dari kawasan lain kami hantar menggunakan bas atau pos," katanya.

Beliau menambah, minat yang mendalam terhadap seni kraftangan itu mendorong beliau dan adik-adiknya meneruskan warisan nenek moyang itu apatah lagi selepas kehilangan bapanya pada tahun 2016.

Ibu Nimi, Cik Tarisah Kimin merupakan generasi ketiga keluarga yang menjadi 'sifu' kepada tiga anaknya.

Ibu mereka, Tarisah Kimin, 51, yang turut membuat perusahaan kraftangan ini sebelum itu ini hanya membuatnya untuk kegunaan sendiri sahaja. Beliau kini menjadi 'sifu' kepada anak-anaknya.

Mereka sekeluarga menetap di Kampung Taba, kira-kira lebih 142 kilometer dari Kota Kinabalu.

"Dalam sehari kami meluangkan masa belajar membuat kraftangan dalam empat jam sehari bersama ibu saya," katanya, sambil menambah, di samping mengusahakan barangan kraftangan, beliau dan keluarganya juga mengusahakan tanaman kelapa sawit di Kampung Taba.

Bercerita lanjut, Nimi berkata tempoh bagi menyiapkan setiap tempahan bergantung kepada saiz serta jumlah tempahan yang diterima dan dijual pada harga antara RM6 hingga RM55 seunit.

COVID JEJAS PERMINTAAN KRAFTANGAN

Sebahagian produk kraftangan yang dihasilkan oleh Nimi sekeluarga yang dijual di Facebook rasminya, Olundus Craft.

Bahan-bahan kraftangan pula biasanya boleh didapati di Pekan Ranau namun kadang kala ia juga sukar diperolehi apabila kedai berkenaan juga kehabisan bekalan.

Nimi mengakui sepanjang tempoh menghasilkan barangan kraftangan hasil warisan keluarganya itu, pelbagai cabaran perlu dihadapinya terutamanya apabila berhadapan dengan pelanggan yang pelbagai kerenah.

Ada juga sesetengah pihak yang mengecam hasil seni kraftangan yang mereka hasilkannya, di samping persaingan harga dan bekalan bahan yang kadangkala tidak mencukupi.

Lebih memburukkan keadaan apabila pelanggan ragu-ragu membuat tempahan kerana bimbang penularan COVID-19 melalui barangan yang ditempah.

Sebahagian produk kraftangan yang dihasilkan oleh Nimi sekeluarga yang dijual di Facebook rasminya, Olundus Craft.

"Sebelum COVID-19, pendapatan memang agak lumayan tetapi sejak COVID-19 melanda, permintaan terhadap barangan khususnya yang berkaitan dengan majlis (perkahwinan) berkurangan kerana tiada majlis keramaian dibenarkan," katanya sambil berharap pandemik COVID akan cepat berakhir.

Bagaimanapun, pandemik itu tidak menghalang Nimi bersama dua adiknya untuk meneruskan usaha itu malah mereka kini menggunakan nama "Olundus Craft" pada laman sosial Facebook rasmi bagi produk yang dihasilkan sebagai strategi pemasaran.

Nimi berkata nama itu dipilih kerana mencerminkan produk dari kampungnya sekaligus dapat memperkenalkan hasil seni keluarganya dari suku kaum Dusun.

OLUNDUS CRAFT

Pada peringkat awal, mereka menggunakan nama kraftangan Sabah sebelum menukar kepada Olundus Craft yang bermaksud kraftangan cantik dan tidak hanya tertumpu kepada kraftangan dari etnik Dusun sahaja tetapi mempelbagaikan hasil kraftangannya.

Beliau menjelaskan, keistimewaan anyaman masyarakat kaum Dusun, antaranya menggunakan rotan sebagai bahan utama yang dibentuk menjadi seperti beg sandang yang boleh bertahan lama dan menyimpan barangan.

Namun, bagi Nimi meskipun tidak menggunakan rotan tetapi anyaman mereka masih menggabungkan bahan-bahan tradisi seperti tali plastik dan menggunakan benang tenunan bagi menjaga keaslian warisan seni keluarganya dan kualiti kraftangan yang mampu memuaskan hati pelanggan.

"Pada awalnya kami membuat kraftangan berdasarkan apa yang telah kami warisi tetapi kami sedar dan mahu agar seni kraftangan itu diperluaskan lagi dengan menggabungkan kraftangan tradisi dengan moden," katanya yang berharap agar kraftangannya akan terus mendapat sambutan daripada semua lapisan masyarakat. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan