Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tidak sambut Tahun Baru Cina tapi Hamzah Osman gembira hias lobi lif untuk jiran tetangga

Beliau tidak menyambut Tahun Baru Cina. Namun tidak bermakna beliau tidak boleh mewujudkan suasana meriah perayaan itu untuk jiran tetangga yang berbangsa Cina.

Anggaran Waktu Membaca:
Tidak sambut Tahun Baru Cina tapi Hamzah Osman gembira hias lobi lif untuk jiran tetangga

Ruang lobi lif dihias indah oleh Encik Hamzah untuk jiran tetangga beliau. (Gambar-gambar: Hamzah Osman/Facebook)

BERITAMediacorp: Beliau tidak menyambut Tahun Baru Cina. Namun tidak bermakna beliau tidak boleh mewujudkan suasana meriah perayaan itu untuk jiran tetangga yang berbangsa Cina.

Semangat perpaduan dan berbilang kaum yang ditonjolkan warga siber bernama Hamzah Osman ini sememangnya boleh dijadikan contoh oleh masyarakat.

Jika kebanyakan orang hanya akan memberikan Ang Pao dan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada jiran yang berbangsa Cina, berbeza pula dengan Encik Hamzah.

Beliau memilih untuk menyingsing lengan dan menggantung sendiri hiasan-hiasan bermotifkan Tahun Baru Cina, seperti tanglong di ruang lobi lif yang dikongsi bersama jiran tetangganya.

Pemandangan dari flat Encik Hamzah.

Pemandangan dari flat Encik Hamzah. 

Tambah menarik lagi, lantai di lobi itu turut dibentangkan permaidani merah, sekaligus membuatkan ruang tersebut kelihatan eksklusif dan seolah-olah mengalu-alukan kedatangan tetamu untuk ‘beraya’!

Encik Hamzah berkongsi gambar lobi lif yang sudah bertukar wajah itu di laman Facebook beliau, dengan kapsyen yang berbunyi: “Siap untuk Tahun Baru Cina!”

Beliau turut berkongsi gambar yang sama di ruang komen di laman Facebook Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai membalas ucapan Tahun Baru Cina PM Lee, dengan kapsyen: “Terima kasih. Meskipun saya tidak menyambut Tahun Baru Cina, Saya gembira kerana dapat mewujudkan suasana itu buat jiran tetangga dengan menghias lobi lif untuk membangkitkan semangat perayaan.”

Pemandangan dari flat jiran Encik Hamzah.

Pemandangan dari flat jiran Encik Hamzah.

Semangat kekitaan yang ditonjolkan Encik Hamzah itu rata-rata menerima komen positif daripada warga siber lain, yang turut memuji kecantikan hiasan yang dipasangnya.

Warga siber, Foff Fkn Sjofba berkata: “Amat Cantik. Saya tidak pernah melihat sesuatu yang seperti ini di blok HDB sepanjang hayat saya yang berusia 42 tahun. Ini benar-benar mewujudkan suasana kampung. Teruskannya.”

Seorang lagi warga siber pula berkata: “Wow! Awak amat bertimbang rasa! Beruntunglah jiran tetangga awak.”

Encik Hazmah Osman.

Encik Hamzah Osman.

Terdapat juga segelintir yang khuatir sekiranya pihak HDB meminta agar Encik Hamzah menanggalkan semua hiasan tersebut.

Menjawab keprihatinan itu, Encik Hamzah berkongsi bahawa beliau langsung tidak menggerudi tembok dan hanya menggunakan barangan hiasan yang ringan serta mudah ditanggalkan, sambil menekankan keselamatan tetap menjadi keutamaan beliau semasa memasang hiasan tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan