Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tiada yang mustahil, kata jaguh Musclemania 2004 Dr Rano Izhar selepas bangkit dari strok

Sebaik saja sedar daripada koma lima hari selepas diserang angin ahmar (strok), Dr Rano Izhar Rahmat, 54 tahun, dikejutkan pula dengan berita yang menyayat hati.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebaik saja sedar daripada koma lima hari selepas diserang angin ahmar (strok), Dr Rano Izhar Rahmat, 54 tahun, dikejutkan pula dengan berita yang menyayat hati.

Menurut pakar bedah saraf, peluang untuk hidup bagi bekas jaguh bina badan Singapura itu hanya lima peratus saja. Jika dipinjamkan nyawa sekali pun, beliau boleh dianggap beruntung sekiranya dapat berjalan.

Dr Rano terlantar atas katil selepas diserang angin ahmar. (Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat)

“Saya selalu berfikir saya sihat. Maka itu, saya bertanya kenapa ini boleh terjadi? Mengapa? … Saya lumpuh pada bahagian kanan. Saya tidak dapat rasa apa-apa pun,” kata mantan Presiden Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Singapura (SBBF) itu semasa mengongsi pengalaman pahit yang ditempuhinya lima tahun yang lalu.

Bagaimanapun, lebih kurang sebulan kemudian, beliau bukan saja boleh berjalan, bahkan mampu berlari dua minggu selepas itu dan beliau turut mengambil bahagian dalam Maraton Sundown kurang 16 bulan kemudian.

Dr Rano penuh keriangan selepas berjaya menempuh Vertical Marathon pada 2017. (Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat)

“Semua orang terperanjat, termasuk para jururawat dan doktor. Saya boleh berjalan! (Mereka bertanya) Bagaimana saya mampu berjalan? …. pakar bedah saraf berkata ia sesuatu yang menakjubkan.”

Saya menjawab: “Ini semua kuasa Tuhan”, cerita bapa kepada empat orang anak itu.

RAWATAN PENJARUMAN ‘RAHSIA’ BANGKIT SEMULA

Sebenarnya, setiap kali beliau dibenarkan berehat di rumah, pakar perubatan sukan dan senaman lulusan Sekolah Perubatan Harvard itu memanfaatkan ilmu pengetahuannya untuk merawat diri sendiri melalui kaedah penjaruman.

Rawatan penjaruman yang dilakukan sendiri di rumah. (Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat)

“Bila pulang (ke rumah), saya membuat rawatan sendiri. Saya cucuk jarum di kepala untuk mengaktifkan sel otak. Saya boleh rasa sendiri, berbeza berbanding dengan melakukan rawatan tersebut ke atas para pesakit saya.

Anda perlu cucuk bahagian yang tepat. Jika anda berjaya mengaktifkan bahagian yang betul, anda boleh bergerak … Dari situ, saya rasakan masih ada peluang (untuk berjalan),” ujar Dr Rano yang sudah 10 tahun merawat pesakit angin ahmar melalui kaedah sedemikian.

Dalam tempoh sedekad itu, beliau juga kerap diundang membuat perkongsian tentang kajian-kajiannya di beberapa sidang perubatan sukan dan senaman di merata dunia.

Dr Rano bersama ahli akademik lain dari merata dunia. (Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat)

Menurut Felow Perubatan Pencegahan, Pemakanan dan Sukan di Akademi Perubatan Antipenuaan Amerika (A4M) dan Pertubuhan Perubatan Sukan dan Senaman Malaysia (SSEMM) itu, mungkin ada hikmah di sebalik serangan angin ahmar yang dialaminya.

Beliau memanfaatkan pengalaman itu untuk mendalami kajian-kajiannya yang dikongsi bersama pakar-pakar lain di persidangan-persidangan seumpama itu. Malah usahanya turut membuahkan hasil.

Misalnya, pada November 2017, Dr Rano adalah salah seorang daripada empat individu yang dianugerahi ‘fellowship’ dalam kalangan 40 penceramah dari 32 negara yang berkongsi pandangan mengenai sains sukan, paramedik dan pencegahan kecederaan di persidangan SSEM.

Beliau juga pernah bekerja dengan individu-individu berkepentingan di Malaysia. (Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat)

Pada 25 haribulan ini (25 Jan) pula, beliau yang juga Penasihat Akademi Perubatan Antipenuaan Sedunia (WAAM) bakal menerima Anugerah Khas atas sumbangannya dalam bidang perubatan sukan dan senaman.

Anugerah itu sangat berprestij dan seorang lagi penerima selain Dr Rano adalah Dr Robert Goldman, perintis bidang tersebut yang turut menjadi mentor beliau.

INSPIRASI KEPADA PESAKIT LAIN

Namun, menjangkaui pengiktirafan dan penghargaan dari para pakar, anugerah terbesar bagi Dr Rano adalah peluang untuk membuktikan kepada para pesakit angin ahmar lain bahawa masih ada peluang untuk mereka bangkit semula.

Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat

“Saya mahu mereka bangkit. Semangatkan diri. Sedia berjuang. Kalau saya boleh, mereka pun boleh. Tiada yang mustahil. Anda perlu cuba!” katanya dengan penuh semangat.

Berusia antara 28 hingga 75 tahun, para pesakit yang dirawatnya sejauh ini, turut menjalani kaedah yang sama, dengan ramai daripada mereka semakin boleh bergerak dan membina kehidupan baru.

Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat

“Saya rasa puas hati. Kadangkala saya menitis air mata kerana sewaktu pertama kali saya bertemu mereka, mereka (pesakit) terlantar atas katil tapi lama-kelamaan mereka boleh berdiri dan berjalan.

Tentu sekali semua orang gembira. Matlamat saya adalah untuk membantu para pesakit kembali berdikari, seperti saya,” kata beliau ketika ditemui sedang merawat salah seorang pesakit di sebuah flat di Woodlands.

Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat

Dr Rano turut menambah bahawa punca utama angin ahmar, berdasarkan kajian beliau, adalah tahap tekanan yang tinggi.

“Nasihat saya, jangan terlalu tertekan. Meskipun anda rasa anda sihat, ada perkara yang tidak boleh dikesan … Tekanan yang banyak boleh mengakibatkan angin ahmar dan penyakit lain,” pesan beliau.

INTAI REKOD, BERI MOTIVASI

Selain merawat pesakit angin ahmar, Dr Rano yang juga jurulatih peribadi bagi atlit-atlit tempatan dan luar negara, kini kembali bergiat aktif di gim sedang beliau mempersiapkan diri untuk memecahkan rekod Singapura bagi ‘Chinese Push-Ups’ paling banyak dalam tempoh seminit.

Dr Rano mencipta rekod tersebut pada 2012. (Gambar: Singapore Records)

Rekod 60 ‘Chinese Push-Ups’ yang dicatat beliau enam tahun lalu masih belum dipecahkan sehingga ke hari ini.

“Saya tidak melakukannya untuk kepentingan diri sendiri. Saya mahu buktikan dan beri motivasi serta jadi inspirasi kepada para pesakit angin ahmar lain seperti saya agar tidak berputus asa.

Jangan menyerah kalah. Anda boleh melakukan apa saja yang anda ingin lakukan. Harus cuba,” kata Dr Rano yang pernah melatih personaliti sukan tempatan seperti pemain golf profesional yang juga juara Kejohanan Masters Osim-Singapura 2006, Mardan Mamat dan pemain bola sepak negara, Irfan Fandi serta atlit-atlit bertaraf antarabangsa seperti Anna Chakvetadze, pemain tenis yang pernah menduduki tangga kelima di dunia satu ketika dahulu.

Mardan Mamat antara pelatih Dr Rano Izhar Rahmat. (Gambar Ihsan: Rano Izhar Rahmat)

Lebih manis lagi, rekod tersebut, jika berjaya dipecahkan sebelum 17 Februari nanti, bakal menjadi ‘hadiah’ ulang tahunnya yang ke-55.

Penulis buku “Optimal Fitness: For Junior Champions, Ages 7-17” bersama legenda bola sepak Fandi Ahmad, juga yakin bahawa persiapan beliau yang merangkumi dua sesi latihan setiap hari, sehingga enam kali seminggu itu akan membantunya mencapai matlamat tersebut.

Dr Rano melatih anak-anak Fandi Ahmad sejak mereka kecil lagi. (Gambar: Rano Izhar Rahmat)

Malah, apabila ditanya sama ada pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Musclemania 2004 itu akan kembali ke arena bina badan satu hari nanti, beliau berkata:

“Ya, mengapa tidak? Jadi saya boleh menjadi pesakit angin ahmar pertama untuk kembali ke sukan bina badan dalam sejarah Singapura”, kata Dr Rano sebelum menamatkan wawancara eksklusif ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan