Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Thank You, Bhaiya!' jamu 1,000 pekerja Bangladesh beriani sebagai tanda terima kasih

Daya tarikan Singapura seperti Taman di Pesisiran, Hab Sukan Singapura dan Jewel menjadi kebanggaan negara kita. Kebersihan blok-blok HDB dan jalan-jalan raya kita juga menjadi sebutan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Thank You, Bhaiya!' jamu 1,000 pekerja Bangladesh beriani sebagai tanda terima kasih

(Gambar: MYF Singapore/ Facebook)

SINGAPURA: Daya tarikan Singapura seperti Taman di Pesisiran, Hab Sukan Singapura dan Jewel menjadi kebanggaan negara kita. Kebersihan blok-blok HDB dan jalan-jalan raya kita juga menjadi sebutan.

Namun, sedang kita seronok menikmati tempat-tempat unik ini bagi pelbagai acara konsert, sukan dan pilihan makanan serta kebersihan sekitaran negara, kita sering terlupa akan wira-wira sebenar di sebalik daya-daya tarikan ikonik tersebut.

Lantaran itu, Forum Belia Muslim (MYF) berhasrat memberi makan kepada 1,000 pekerja Bangladesh sebagai tanda terima kasih kepada mereka daripada semua rakyat Singapura, sempena Hari Kebangsaan ke-54 negara ini.

Diberi nama 'Thank You, Bhaiya!', inisiatif tersebut bertujuan mengukir senyuman kepada wajah para pekerja asing itu atas sumbangan dan kerja keras mereka dalam 'membina' negara ini.

(Gambar: Muslim Youth Forum)

(Gambar: MYF/Facebook)

Ketua Pegawai Eksekutif MYF, Ustaz Zahid Zin berkata usaha tersebut didorong oleh lebihan daging yang banyak disedekahkan sempena projek korban Australia yang dibawa pulang ke Singapura semasa Aidiladha.

"Kami rasa salah satu cara terbaik untuk memanfaatkannya adalah dengan memberi makan pekerja warga Bangladesh, di samping bersyukur atas kemakmuran yang Allah berikan kepada negara kita. Kami juga ingin meraikan kemeriahan Aidiladha bersama pekerja yang berada jauh dari keluarga mereka."

Ini kali kedua projek seumpama ini dijalankan. Kali pertama MYF menjamu beriani kepada 1,000 pekerja asing adalah pada 30 Disember tahun lalu.

PERLUKAN LAGI S$2,000 BAGI PROJEK KALI INI

MYF menyasar untuk mengumpulkan S$5,000 bagi penyediaan beriani tersebut semasa waktu makan tengah hari di Masjid Al-Firdaus Ahad ini (25 Ogos).

Setakat ini, S$3,000 berjaya dikumpulkan dan MYF berharap mendapat sumbangan lagi S$2,000 daripada orang ramai.

(Gambar: MYF Singapore/ Facebook)

(Gambar: MYF/Facebook)

Usaha ini juga, menurut NGO tersebut, selaras dengan ulang tahun Singapura yang ke-54, dalam meraikan wira-wira balik tabir yang terpaksa berjauhan daripada keluarga mereka.

Sekitar 120,000 pekerja Bangladesh dianggarkan bekerja di Singapura, sebahagian besarnya sebagai pekerja binaan.

Maka itu, MYF mendampingi para pekerja Bangladesh itu serta mengalu-alukan mereka untuk merasai pengalaman hidup bermasyarakat, meskipun berada jauh daripada keluarga masing-masing di perantauan.

(Gambar: MYF/Facebook)

"Kami berharap dapat menggembirakan mereka dan pada masa yang sama menerapkan sifat kasih sayang antara masyarakat dan para pekerja yang menyumbang kepada pembangunan negara kita," ujar Ustaz Zahid, yang juga dipuji Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan Ahad lalu (18 Ogos) atas semangat toleransi dan sikap progresif beliau sebagai seorang asatizah.

Orang ramai yang mahu menyumbang kepada inisiatif tersebut boleh mendapatkan butiran lanjut di laman Facebook MYF.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan