Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Terengganu terus jadi pilihan pelancong, promosi keindahan di media sosial

Keindahan alam semula jadi dan jambatan angkat di Terengganu terus menjadi tarikan pelancong, malah ia akan dipaparkan menerusi pelbagai rangkaian media sosial.  

Anggaran Waktu Membaca:
Terengganu terus jadi pilihan pelancong, promosi keindahan di media sosial

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Jul 2020 05:25PM Dikemas Kini : 26 Jul 2020 05:28PM

KUALA TERENGGANU: Keindahan alam semula jadi dan jambatan angkat di Terengganu terus menjadi tarikan pelancong, malah ia akan dipaparkan menerusi pelbagai rangkaian media sosial.

Terbaru, sebuah syarikat agensi pelancongan yang berpangkalan di Kuala Lumpur sudah menganjurkan aktiviti mencari harta karun dengan penyertaan lebih 20 kenderaan dan 70 individu untuk merasai pengalaman unik bercuti di Terengganu.

Pengurus Besar Eksekutif syarikat D Zen MICE Travel Sdn Bhd, Kenny Khan berkata aktiviti tersebut diharap dapat merancakkan lagi sektor pelancongan domestik di Malaysia meskipun pandemik COVID-19 di seluruh dunia masih belum berakhir.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami telah melihat banyak klip video yang memaparkan lokasi percutian menarik di platform perkongsian popular di China seperti Tik Tok, Fliggy, xiaohongshu (RED), Mafengwo dan sebagainya.

"Malah aktiviti mencari harta karun ini akan disiarkan secara langsung di Tik Tok China dan mafengwo.com dengan anggaran 500,000 hingga 1 juta tontonan terkumpul di seluruh China yang mana ia juga adalah satu inisiatif kita untuk mempromosikan Malaysia agar lebih ramai pelancong datang ke negara ini sebaik sahaja pintu sempadan dibuka," katanya.

Ketibaan peserta konvoi mencari harta karun itu disambut oleh Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Acara dan Promosi) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Tambahnya, semua penggiat industri pelancongan di negara itu juga perlu lebih kreatif untuk mempelbagaikan pakej pelancongan yang lebih menarik agar dapat memenuhi kehendak semasa pelanggan yang sentiasa mahukan perkhidmatan terbaik supaya berbaloi dengan kos percutian mereka.

"Kami sangat optimis bilangan pengunjung pasti akan bertambah dalam masa terdekat (selepas pandemik berakhir).

"Apa yang perlu dilakukan bagi pemain industri ialah sentiasa mempromosikan keunikan perkhidmatan masing-masing melalui penggunaan aplikasi media sosial kerana ia mempunyai pengaruh sangat besar dalam industri pelancongan ketika ini," kata Encik Ahmad Fathil.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan