Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tenderfresh & Kimly Coffeeshop buka kedai makan halal berkonsep kedai kopi di Clementi

Salah satu pengendali kedai kopi terbesar di Singapura, Kimly Coffeeshop, berganding bahu dengan Tenderfresh Group untuk memperkenalkan konsep kedai kopi baru yang akan menawarkan pengalaman menjamu selera yang unik dan pelbagai di bahagian barat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Tenderfresh & Kimly Coffeeshop buka kedai makan halal berkonsep kedai kopi di Clementi

Lakaran artist bagi Kedai Kopi yang bakal dibuka di Clementi Ave 5. (Gambar: TenderFresh\Facebook)

SINGAPURA: Salah satu pengendali kedai kopi terbesar di Singapura, Kimly Coffeeshop, berganding bahu dengan Tenderfresh Group untuk memperkenalkan konsep kedai kopi baru yang akan menawarkan pengalaman menjamu selera yang unik dan pelbagai di bahagian barat Singapura.

Tenderfresh mengumumkan perkembangan terbaru itu yang diberi nama Kedai Kopi menerusi catatan di laman Facebooknya pada Rabu (4 Nov).

Kedai Kopi dijangka akan dibuka pada pertengahan bulan depan di 380 Clementi Ave 5, dengan kawasan seluas sekitar 5,000 kaki persegi dan boleh menampung sehingga 144 pelanggan.

Ia bakal menghidangkan pelbagai sajian pada harga yang berpatutan.

Dengan membuka Kedai Kopi, kedua-dua pengendali itu berharap untuk menawarkan suasana menjamu selera yang berkualiti, selesa dan persekitaran yang menyeronokkan.

Inilah sembilan gerai yang akan membuka selera makan anda di Kedai Kopi:

Tenderbest

(Gambar: Tenderbest\Facebook)

Gerai ini popular dengan ayam panggang dan ayam goreng serta pelbagai juadah Barat yang pasti akan membuat anda menjilat jari.

Mr Teh Tarik Group

(Gambar: Mr Teh Tarik\Facebook)

Kedai makan ini memang popular dengan hidangan Roti Prata, Nasi Beriani dan Murtabak apatah lagi bagi mereka yang 'meronda-ronda' mencari makan pada sebelah malam.

Istimewa Nasi Padang

Pengasas Istimewa Nasi Padang (Gambar: Istimewa Nasi Padang)

Baru-baru ini, gerai yang sudah beroperasi sejak 1989 ini dipilih sebagai antara Tiga Restoran Melayu Terbaik di Bukit Merah. Ia dikenali ramai kerana masakannya yang sungguh lazat.

Hawkerman Street Kitchen

(Gambar: Hawkerman\Facebook)

Kedai ini akan membuka gerainya yang pertama, menawarkan konsep makanan fusion pusat penjaja, dengan Mi Hokkien kedai ini yang dianggap sudah sampai ke peringkat 'legenda'.

380 Nasi Lemak

(Gambar: Nasi Coco\Facebook)

Pasukan yang sebelum ini mengendalikan gerai Nasi Coco di West Coast akan bekerjasama dengan pasukan kulinari Tenderfresh untuk menghasilkan menu nasi lemak baru pada harga serendah S$3.50.

Mee Bagus

Jenama baru yang menghidangkan masakan mi klasik seperti Mi Ayam, Mi Sup Bebola Ikan dan mi baru seperti Mee Bagus dan Mi Ayam Volcano.

Joy Satay

Nikmati sate kegemaran anda yang dipanggang panas-panas, cecahkannya pula dengan kuah kacang yang sedap.

Banana Grill

Gerai ini mempunyai kepakaran dalam hidangan makanan laut barbeku seperti Ikan Pari Sambal dan makanan-makanan laut popular yang lain yang dihidangkan atas daun pisang. Ia juga menawarkan menu 'tze char' atau lauk-pauk yang menjadi kegemaran ramai seperti Kari Kepala Ikan.

Kedai Kopi (Gerai minuman)

(Gambar: Tenderfresh\Facebook)

Nikmati minuman Teh Tarik atau Kopi Kao (kopi pekat) kegemaran anda atau cubalah resipi minuman baru yang ditawarkan.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan