Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tembakan meriam di Masjid Sultan & Pulau Brani 'tanda masuk waktu' berbuka di S'pura 82 tahun lalu

Sekitar 82 tahun yang lalu, lebih tepat lagi pada tahun 1939, waktu berbuka puasa di Singapura diumumkan dengan tembakan meriam dari dua lokasi berasingan, iaitu Masjid Sultan di North Bridge Road dan Pulau Brani.

Anggaran Waktu Membaca:
Tembakan meriam di Masjid Sultan & Pulau Brani 'tanda masuk waktu' berbuka di S'pura 82 tahun lalu

Keratan akhbar The Straits Times pada 14 Oktober 1939 yang melaporkan waktu berbuka puasa diumumkan dengan tembakan meriam. (Gambar: NLB/Facebook)

SINGAPURA: Sebaik tiba bulan Ramadan, ia seakan-akan menjadi satu tradisi umat Islam di Singapura untuk berkumpul di meja bersama keluarga sambil menantikan laungan azan Maghrib berkumandang di radio bagi menandakan sudah masuk waktu berbuka puasa.

Namun pada suatu ketika dahulu, sebelum azan Maghrib berkumandang di radio, umat Islam di Singapura bergantung kepada wadah-wadah lain yang jarang sekali ditemui dalam zaman serba canggih ini untuk berbuka puasa.

Sekitar 82 tahun yang lalu, lebih tepat lagi pada tahun 1939, waktu berbuka puasa di Singapura diumumkan dengan tembakan meriam dari dua lokasi berasingan, iaitu Masjid Sultan di North Bridge Road dan Pulau Brani.


Ini menurut keratan akhbar The Straits Times pada tanggal 14 Oktober 1939, yang dimuat naik ke laman Facebook Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Isnin (12 Apr).

Ini selain laungan azan dan paluan beduk oleh bilal masjid yang pada suatu ketika dahulu turut menjadi satu kebiasaan pada waktu itu.

Laporan The Straits Times dua tahun kemudian pada 22 September 1941 juga merujuk kepada ‘gong’ yang dibunyikan di “semua masjid di Singapura” bagi memasyhurkan ketibaan awal Ramadan kepada para penduduk tempatan.

Tradisi melepaskan tembakan meriam bagi menandakan sudah masuk waktu berbuka puasa masih diamalkan di sebilangan negara lain.

Pasukan polis tentera Brunei Darussalam melepaskan tembakan meriam sempena awal Ramdadan pada 13 Apr 2021. (Gambar: Mohd Zul-Izzi Haji Duraman/Jabatan Penerangan Brunei Darussalam)

Pasukan polis tentera Brunei Darussalam melepaskan tembakan meriam sempena awal Ramdadan pada 13 Apr 2021. (Gambar: Mohd Zul-Izzi Haji Duraman/Jabatan Penerangan Brunei Darussalam)

Das tembakan meriam dilepaskan sempena kedatangan Ramadan di sebuah kubu di Kaherah, Mesir pada 13 Apr 2021. (Ahmed Hasan/AFP menerusi Getty Images)

Das tembakan meriam dilepaskan sempena kedatangan Ramadan di sebuah kubu di Kaherah, Mesir pada 13 Apr 2021. (Ahmed Hasan/AFP menerusi Getty Images)

Tradisi yang dikenali sebagai Midfa Al-Iftar atau Meriam Ramadan juga diamalkan di Mesir untuk menandakan sudah masuk waktu berbuka puasa. Tembakan meriam itu dilepaskan di Kubu Kota Salah El-Din di Kaherah buat pertama kali dalam masa 30 tahun pada Selasa lalu.

Sebaliknya, menurut catatan Facebook SultanGate.SG, Bussorah Street pada tahun 1960-an dipenuhi dengan barisan meja yang sarat dengan beraneka juadah berbuka puasa dan pencuci mulut.

Meskipun bukan berbentuk bazar seperti yang biasa dilihat sekarang, jelas sekali suasananya tidak kurang meriah dengan ramai orang berpusu-pusu melanggani gerai-gerai tersebut.

Sehingga ke hari ini, kawasan di sekitar Masjid Sultan tetap menjadi 'medan selera' bagi para pengunjung, khususnya umat Islam, yang mencari juadah untuk berbuka puasa.

Meskipun sudah dua tahun berturut-turut bazar di Kampong Gelam terpaksa ditiadakan disebabkan oleh pandemik COVID-19, setidak-tidaknya anda masih boleh melanggani kedai-kedai yang menyajikan pelbagai pilihan halal di lorong-lorong dan jalan-jalan di sekitar kawasan bersejarah itu pada tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan