Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tauke ikan ini tutup kedai awal tiap Jumaat, bantu kawal trafik di Masjid

Tatkala melihat sendiri kepayahan para jemaah di Masjid Yusof Ishak mencari tempat letak kereta, Encik Muhammad Hussin, 47 tahun, terus berdiri di tengah jalan raya lalu membantu mengawal laluan trafik. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ramai pasti tahu, keadaan trafik di luar pekarangan masjid sering kali menjadi huru-hara setiap kali masuk waktu solat Jumaat. Lebih-lebih lagi kalau tidak ada banyak tempat letak kenderaan sedia ada di masjid.

Bagi Encik Muhammad Hussin, 47 tahun, tatkala melihat sendiri kepayahan para jemaah di Masjid Yusof Ishak mencari tempat letak kereta, beliau terus berdiri di tengah jalan raya lalu membantu mengawal laluan trafik.

Ini tidak dilakukan sekali dua kali sahaja. Kini, sudah lebih setahun lamanya beliau menjadi sukarelawan yang memastikan semua kenderaan tersusun rapi bagi memudahkan para jemaah menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

Bahkan, penjual ikan di pasar Marsiling itu sanggup tutup kedai lebih awal daripada biasa pada setiap Jumaat. Ini semata-mata untuk tiba awal di Masjid Yusof Ishak.

"Pasal saya tengok kenderaan-kenderaan yang parking kat sini ni, banyak yang renggang-renggang. Kadang-kadang dua kereta boleh masuk tiga kereta," jelas Encik Muhammad.

LAYAN JEMAAH LANJUT USIA BAGAI "VVIP"

Lengkap dengan ves dan topi mengkuangnya, ramai sudah begitu mengenali Encik Muhammad sebagai insan yang sanggup dibasahi keringat di bawah terik mentari demi memastikan para jemaah mempunyai ruang letak kenderaan dan operasi solat Jumaat berjalan lancar.

Semasa BERITAmediacorp melihatnya 'beraksi', peniaga itu malah memberi layanan lebih hebat terhadap pemandu lanjut usia.

"Tiap hari Jumaat dia ambil kereta saya untuk bantu saya untuk parking kereta. Saya dilayan seperti VVIP di hotel. Saya benar-benar berterima kasih kepadanya," kata Encik Jalani yang kelihatan uzur.

"Kami panggil dia (Encik Jalani) F1! Dia memang drive laju tapi mungkin kalau nak reverse, dia susah sikit. Mungkin dia tak dapat lihat dengan jelas. Jadi saya bantu dia," ujar Encik Muhammad.

Encik Muhammad juga meneruskan usaha murninya selepas solat Jumaat.

"Laluan trafik bila para jemaah ingin pulang lebih 'kecoh'. Ada yang terburu-buru nak balik kerja, rumah," tambah Encik Muhammad.

SUMBANGAN WANG JEMAAH DISALURKAN KEMBALI KE MASJID

Semuanya dilakukan dengan begitu sistematik sehingga Encik Muhammad mendapat pujian menggunung daripada beberapa jemaah.

"Dia aturkan. Mana yang nak keluar awal, dia arah kereta diletakkan di hujung jalan raya. Mana yang keluar lambat, dia arah pergi belakang," kata seorang jemaah, Encik Leman.

Tersentuh dengan ketekunannya, dan mungkin juga tidak tahu bahawa beliau sebenarnya seorang peniaga, ada yang menghulurkan wang sagu hati kepada Encik Muhammad sebagai tanda terima kasih.

Namun, sering kali wang itu Encik Muhammad hulur pula kepada tabung masjid dan tidak menyimpannya. Bagi insan berjiwa besar itu, niatnya hanya satu - memudahkan para jemaah melakukan ibadah solat.

"Bila kita dapat susun banyak kenderaan, lebih banyak jemaah yang dapat datang sini. Jadi teratur. Bila teratur, jemaah-jemaah itu puas hati. Saya pun puas hati," ujar Encik Muhammad. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan