Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tat nanas, epok-epok anak Melayu S'pura ini kian popular di London…

Lahir, bersekolah, bekerja dan berumah tangga di Singapura. Seumur hidupnya beliau tidak pernah berjauhan dengan ibu, keluarga dan saudara maranya.

Anggaran Waktu Membaca:
Tat nanas, epok-epok anak Melayu S'pura ini kian popular di London…

Cik Norashikin Othman mempunyai label kuihnya yang tersendiri diberi nama Party of Flour.(Gambar-gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

BERITAmediacorp: Lahir, bersekolah, bekerja dan berumah tangga di Singapura. Seumur hidupnya beliau tidak pernah berjauhan dengan ibu, keluarga dan saudara maranya. Pada tahun 2014, apabila suaminya diberi peluang bertugas di London, Cik Norashikin Othman bersiap sedia menyahut cabaran baru untuk ikut serta dan membawa bersama tiga orang anak mereka yang kini sudah berusia 13, 16 dan 18 tahun.

Namun menyesuaikan diri di negeri asing bukanlah sesuatu yang mudah pada mulanya. Lebih-lebih lagi bila harus berjauhan dengan keluarga dan teman-teman yang ramai di kota Singa. Itulah antara cabaran yang dihadapi ibu berusia 44 tahun ini semasa beliau baru-baru berhijrah ke London.

Cik Norashikin Othman bersama keluarganya. (Gambar ihsan: Norashikin Othman)

Cik Norashikin bersama suami dan anak-anaknya. 

Beliau mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan dirinya di sana. Tapi, dengan tekad kesabaran dan sokongan suaminya, lama kelamaan beliau mula membiasakan dirinya dengan cara kehidupan di rantauan.

DARI CUBA-CUBA JADI NIAGA

Selain rindukan keluarga dan teman-teman, Cik Norashikin amat rindukan pelbagai sajian Melayu yang digemarinya. “Saya sangat rindukan pelbagai makanan di Geylang Serai dan Haig Road, terutama Rojak India,” kata wanita periang ini.

“Dulu di Singapura saya mempunyai pembantu untuk menguruskan kerja rumah dan masakan seharian bila saya keluar bekerja. Di London lain pula, semuanya saya harus buat sendiri. Ia merupakan satu cabaran yang sengit pada mulanya. Tapi, kini saya sudah lali dan ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin seharian saya.

(Gambar-gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

“Dari semasa ke semasa saya akan mencuba pelbagai jenis masakan dan membuat kuih-muih Melayu seperti nagasari, tat nanas, makmur, kuih dadar dan banyak lagi untuk santapan keluarga,” kata Cik Norashikin yang pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Seni majalah Manja di Singapura sebelum ini.

Berbeza dengan di Singapura, di London beliau mengisikan masanya dengan bekerja sambilan sebagai seorang Team Trainer di Old Chang Kee (OCK). Baru-baru ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Singapura ke-55, Cik Norashikin menghasilkan tat nanas yang kemudian diberikan percuma kepada para pelanggan Old Chang Kee di ibu kota Britain itu.

(Gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

“Ia merupakan promosi terhad. Bos yang juga merupakan Pengarah OCK, Cik Sandra Leong bergabung dengan saya untuk promosi ini,” cerita Cik Norashikin yang mempunyai label kuihnya yang tersendiri diberi nama Party of Flour.

“Ia merupakan satu cabaran apabila saya perlu menghasilkan sendiri lebih 250 biji tat nanas dalam masa yang singkat. Bos percaya dan menyokong kebolehan saya dan saya rasa puas hati bila dapat berkongsi tat nanas dengan komuniti di sana. Initiatif ini mendapat sambutan yang sangat baik dan saya telah mendapat banyak pesanan peribadi selepas promosi itu berakhir. Alhamdulillah,” kata Cik Norashikin.

(Gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

Sejak bermastautin di London, Cik Norashikin amat tertarik dalam bidang pemakanan. Dari situ beliau teroka pelbagai resipi dan masakan.

“Setiap hari saya harus fikirkan apa nak masak untuk keluarga dan ia merupakan satu rutin. Saya cuba dapatkan idea melalui YouTube dan sebagainya,” cerita beliau.

Apabila tekak terasa nak makan kuih-muih Melayu, beliau tiada pilihan lain selain perlu membuatnya sendiri. Lama-kelamaan, beliau mengaku dirinya rasa seronok untuk buat pelbagai kuih-muih selain kek dan akan berkongsi gambar-gambarnya di laman Instagram beliau - Party of Flour. Setiap kali setibanya Hari Raya pula, beliau tidak pernah terlepas untuk membuat tat nanas untuk mewujudkan suasana perayaan.

(Gambar: Norashikin Othman)

“Saya ingin anak-anak menikmati mood Raya walaupun kami tidak pulang beraya bersama keluarga di Singapura.

“Saya mengambil masa tiga tahun untuk menghasilkan tat nanas yang benar-benar memuaskan hati. Lepas itu baru saya rasa lebih konfiden dan bersedia untuk menerima tempahan walaupun saya bukan seorang penggemar tat nanas,” gelak Cik Norashikin.

“Tempahannya tidak tentu, tapi pada musim Lebaran adalah yang paling sibuk. Saya pernah mendapat tempahan lebih 300 biji tat nanas selain biskut serta kuih-muih yang lain-lain. Tak tahu macam mana saya boleh siapkan semua seorang diri selepas pulang dari kerja di samping perlu melakukan kerja-kerja rumah yang lain.”

Jadi apa rahsia beliau sehingga tat nanasnya yang berjaya memikat hati ramai?

“Saya pastikan bahan-bahan yang segar selain tepung dan mentega yang bermutu. Teknik membuatnya juga penting. Saya tak pakai sukatan. Saya ikut sedap tangan untuk rasa tekstur doh. Yang penting harus banyak berlatih untuk dapatkan tesktur yang perfect.”

'MAT SALEH' SUKA KUIH MELAYU!

“Saya masih ingat lagi bila mula-mula ingin memperkenalkan tat nanas kepada kenalan bangsa asing yang merupakan ibu-ibu kepada rakan-rakan sekolah anak saya, saya bertanyakan dulu sama ada mereka ada alahan makanan ke tidak. Bila saya beri sebotol, mereka tak sabar untuk mencubanya.

“Lepas itu, macam-macam maklum balas yang saya dapat. Ada yang inginkan rasanya lebih manis. Ada pula inginkan tekstur yang lebih garing dan inti nanas yang lebih kasar dan sebagainya. Dari situlah saya cuba memperbaiki mutu dan cara membuat kuih ini. Tapi, ada juga segelintir Mat Salleh yang mendapati kuih ini aneh dan tidak meminatinya,” kongsi Cik Norashikin tentang pengalaman pertamanya memperkenalkan tat nanas kepada rakan-rakan asing.

(Gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

"Selain kuih tat, epok-epok kentang juga menjadi kegemaran rakan dan jirannya yang berasal dari pelbagai negara seperti Jerman, Poland dan Australia. Bila saya mengundang mereka untuk sarapan pagi di rumah, mereka seronok menikmati kuih ini kerana sukakan rasa rempah dan kulitnya yang garing.”

Pada masa yang sama, kuih dadar juga turut menjadi tarikan. Mereka gemar rasa dan keunikan kuih ini.

“Selain kuih manis, saya juga memperkenalkan sajian seperti ayam masak merah dan mereka ghairah ingin tahu lebih terperinci tentang masakan Melayu. Jiran lama saya dulu gemar makan Roti Kirai bersama kari ayam,” kata Nora sambil ketawa.

(Gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

Walaupun sudah mahir dalam masakan dan membuat pelbagai kuih-muih, apakah yang sajian yang belum sempat dibuat dan ingin sekali mencubanya jika ada kesempatan?

“Oh, saya memang ingin sekali nak buat kuih puteri salat dan koleh-koleh. Buat masa ini belum ada masa nak cuba,” kata Cik Norashikin.

HARAPAN & IMPIAN BUKA KAFE DI LONDON

Seperti ramai yang lain, Cik Norashikin berharap satu hari nanti beliau dapat membuka mini kafe dan ingin menggunakan kreativiti yang ada dalam dirinya untuk menghias rekaan dalamannya sendiri.

(Gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

“Ia merupakan satu 'wishlist' (harapan). Tapi, buat masa ini, I am still discovering my tastebud (saya masih meneroka tunas rasa saya),” katanya ringkas.

Buat masa ini juga, beliau ingin terus memperkenalkan cintanya pada makanan autentik dari Singapura, Malaysia dan Bali kepada masyarakat setempat di Britain.

“Saya rasa seronok bila dapat berkongsi pengalaman makanan semasa percutian saya di luar negara kepada penduduk tempatan di sini,” kongsi Cik Norashikin yang gemar bercuti ke Bali bersama keluarganya.

(Gambar: Norashikin Othman/Party of Flour)

Semoga impian menjadi kenyataan dan jenama Party of Flour terkenal sebagai jenama kuih Melayu Singapura yang terkemuka di London pada suatu hari nanti! 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan