Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tarikan tersendiri cendol 'Maideen' resipi turun temurun 60 tahun

Keenakan dan kemanisan ‘Maideen Cendol’ berhampiran Pasar Besar Seremban antara yang selalu menjadi tumpuan pelanggan dan sentiasa dinanti-nantikan penggemar pencuci mulut tradisional itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tarikan tersendiri cendol 'Maideen' resipi turun temurun 60 tahun

(Gambar: Facebook/Negeri Sembilan MyHometown)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 09:26PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 09:36PM

SEREMBAN: Keenakan dan kemanisan ‘Maideen Cendol’ berhampiran Pasar Besar Seremban antara yang selalu menjadi tumpuan pelanggan dan sentiasa dinanti-nantikan penggemar pencuci mulut tradisional itu.

Manakan tidak, pemiliknya Mohan T Kadeer Mohaideen, 55, menggunakan resipi ‘rahsia’ turun temurun sejak enam dekad lalu, malah lebih unik lagi, beliau masih mengekalkan kaedah lama menyagat ais, berbanding kebanyakan peniaga cendol lain yang menggunakan mesin kisar elektrik.

Justeru, tidak hairanlah hasil jualannya boleh mencecah lebih 300 mangkuk sehari, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang amat menggemarinya pada harga sekitar RM1.60 (S$0.53) hingga RM2.50 (S$0.82).

JUAL DARI BELAKANG BECA PADA 1960-AN, KINI GUNA TRAK

Encik Mohan berkata beliau mewarisi perniagaan bapanya T Kadeer Mohaideen, 78, yang menjual cendol sekitar Seremban sejak tahun 1960-an lagi, dengan menaiki beca.

“Sewaktu zaman kanak-kanak, saya selalu mengikuti bapa menjual cendol, kemudian pada tahun 2000, saya mewarisi perniagaannya dengan turut dibantu isteri M Anjali, 54. Saya mula berniaga cendol menggunakan kereta tolak sehingga awal tahun ini.

“Pada September lepas, saya mula ‘upgrade’ kereta tolak ke trak lori untuk berniaga. Meskipun teknologi sudah maju, saya tetap akan menggunakan teknik sagat ketulan ais menggunakan mesin penyagat ais selain menjaga keasliannya, supaya pelanggan dapat menikmati rasa cendol yang sama sejak 60 tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama.

TEKNIK SAGAT AIS JAGA KEASLIAN, RESIPI RAHSIA ISI CENDOL

Minuman ais parut campuran istimewa itu adalah daripada campuran santan, yang ditambah dengan bahan-bahan antaranya gula melaka, kacang merah dan jagung, dengan resepi rahsia iaitu isi cendol yang dibuat sendiri.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Seremban itu menjelaskan teknik tradisional sagat itu adalah tidak rumit dilakukan selain tempoh menyagat ais itu juga tidak mengambil masa lama, malah turut memperoleh 10 hingga 15 mangkuk ais bagi satu ‘blok’ ais.

Katanya, beliau menggunakan lima kilogram santan sehari bagi menghasilkan cendol yang mempunyai dua perisa iaitu biasa dan kacang.

“Sebelum ini, saya menggunakan tujuh hingga 10 kilogram santan dalam masa sehari dan terjual lebih dari 300 mangkuk atau bungkusan cendol. Bagaimanapun sejak COVID-19 ini, jualan agak kurang dan sehari hanya boleh terjual 100 hingga 200 mangkuk atau bungkusan sahaja.

JUALAN TERJEJAS PKPB, KURANG PELANGGAN DARI DAERAH, NEGERI LAIN

Dalam pada itu, beliau berkata cendol yang dijual setiap hari kecuali Selasa itu bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk tempatan, malah pelanggan dari Sabah sanggup datang untuk merasai keaslian cendol yang dihasilkan secara sagat itu.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelanggan dari daerah dan negeri lain tidak dapat singgah menikmati cendol di sini. Kebiasaan hujung minggu akan penuh dengan pelanggan termasuklah dari Kuala Lumpur dan Selangor.

Bapa kepada dua anak ini berkata, kebanyakan pelanggan gemar membeli cendol biasa kerana mereka ingin merasai keaslian cendol itu tanpa sebarang perisa tambahan lain, malah cendol itu juga sudah dikenali penduduk setempat berbilang kaum dalam kalangan Melayu, Cina dan India.

“Jadi ia satu kebiasaan bertegur sapa dan berkomunikasi dengan pelanggan berbilang bangsa dan agama, sambil menikmati cendol di sini,” katanya.

Perniagaan Maideen Cendol itu dibuka seawal pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang dan turut mengambil tempahan untuk acara dan majlis keramaian.

Sementara itu, pelanggan tetap Alizah Ahmad, 49, berkata dia pasti akan membeli cendol itu setiap kali selepas membeli barangan di Pasar Seremban kerana sentiasa teringatkan keunikan rasa yang berbeza daripada cendol lain.

“Santan cendol ini mempunyai rasa lemak yang sedap, pekat dan cukup manisnya, tak dapat dilupakan keaslian rasanya, bahan-bahan yang diletak ke dalam cendol itu pula sangat banyak, selain harga dikenakan murah dan berbaloi,” katanya.  

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan