Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tanda awal angin ahmar dan langkah segera yang perlu diambil

Menurut Badan Angin Ahmar Sedunia (WSO), satu daripada setiap empat orang akan diserang angin ahmar sekali dalam seumur hidup mereka. Di Singapura, Pendaftar Penyakit Negara (NRDO) mencatat 7,741 kes angin ahmar pada 2017.

Anggaran Waktu Membaca:
Tanda awal angin ahmar dan langkah segera yang perlu diambil

(Gambar hiasan: Getty Images)

Diterbitkan : 23 Oct 2019 01:52PM Dikemas Kini : 23 Oct 2019 01:57PM

SINGAPURA: Menurut Badan Angin Ahmar Sedunia (WSO), satu daripada setiap empat orang akan diserang angin ahmar sekali dalam seumur hidup mereka. Di Singapura, Pendaftar Penyakit Negara (NRDO) mencatat 7,741 kes angin ahmar pada 2017.

Angin ahmar adalah satu keprihatinan besar kerana ia punca utama ketidakupayaan di kalangan orang dewasa, menurut WSO. Menurut Healthub.com, ia punca kematian keempat tertinggi di Singapura.

"Kemungkinan berlaku serangan angin ahmar meningkat dengan usia, dan ini meningkat kepada dua kali ganda bagi setiap dekad selepas usia 55 tahun," kata Profesor Madya Deidre Anne De Silva, konsultan kanan neurologi dari Jabatan Neurologi di institut Neurosains Kebangsaan.

NRDO mendedahkan 8.8 peratus pesakit angin ahmar berusia di bawah 50 tahun.

Treadmil anti-graviti. (Gambar: CNA)

(Gambar fail seorang pesakit angin ahmar melalui rawatan terapi)

Kes-kes dalam kalangan pesakit muda "mungkin disebabkan faktor risiko berkaitan gaya hidup seperti tekanan dara tinggi dan kencing manis, hiperlipidemia (kandungan lemak atau lipid yang tinggi dalam darah), kegemukan melampau, pengambilan arak yang banyak dan merokok," kata Prof Madya De Silva yang juga mempengerusikan Peningkatan Khidmat Angin Ahmar,
sebuah pasukan negara yang dilantik Kementerian Kesihatan untuk memperbaiki penjagaan pesakit angin ahmar.

"Ramai pesakit saya memberitahu bahawa sebab mereka dapat segera ke hospital dan mendapat rawatan akut adalah kerana seorang anggota keluarga, rakan kerja atau orang yang tidak dikenali tahu tindakan betul yang perlu diambil dengan menghubungi ambulans SCDF."

KENAL PASTI TANDA-TANDANYA

Terdapat dua jenis angin ahmar. Yang lebih kerap berlaku adalah strok iskemik (ischaemic), iaitu aliran darah ke otak terhalang oleh pembekuan darah. Strok hemoragik (haemorrhagic) pula berlaku apabila ada pendarahan di bahagian otak akibat pembuluh darah yang pecah.

Kedua-dua jenis angin ahmar ini menjejas aliran oksigen dan zat ke otak. "Bahagian otak yang tidak mendapat bekalan darah rosak, menyebabkan tanda dan gejala strok," jelas Prof Madya De Silva.

Tidak kira usia atau jenis angin ahmar, tanda-tandanya adalah sama. Prof Madya De Silva mengesyorkan singkatan FAST untuk membantu mengenal pasti tanda-tanda dan tindakan yang perlu diambil:

  • Face drooping - raut wajah mula jatuh
  • Arm weakness - rasa lemah di bahagian tangan
  • Speech difficulty - susah berbicara
  • Time to dial 995 - masa untuk hubungi 995

Antara tanda lain serangan angin ahmar adalah:

  • Rasa sebah
  • Susah untuk menelan
  • Penglihatan terjejas
  • Pergerakan badan yang susah dikawal
  • Rasa mabuk
  • Sakit kepala yang teruk

"Penting untuk semua orang mengenali tanda angin ahmar dan tahu apa yang perlu dilakukan," nasihat Prof Madya De Silva. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan