Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tampin ada kemudahan bagi peminat sukan lasak dan ekopelancongan

Daerah Tampin, yang bersempadan dengan negeri Melaka mungkin tidak sepopular destinasi pelancongan di Port Dickson, yang terkenal dengan pantai peranginan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tampin ada kemudahan bagi peminat sukan lasak dan ekopelancongan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 15 Mar 2020 10:54PM Dikemas Kini : 15 Mar 2020 10:58PM

TAMPIN: Daerah Tampin, yang bersempadan dengan negeri Melaka mungkin tidak sepopular destinasi pelancongan di Port Dickson, yang terkenal dengan pantai peranginan. Namun daerah ini sebenarnya ada kehebatannya yang tersendiri seperti pelbagai tempat menarik bagi peminat sukan lasak dan ekopelancongan.

Terletak kira-kira 46 kilometer (km) dari bandar Seremban dan 44 kilometer dari Melaka, daerah ini mempunyai dua tempat menarik bagi peminat sukan lasak iaitu Tampin Extreme Park dan kawasan riadah serta mandi-manda iaitu Tampin Water Park.

Malahan, kedua-dua kawasan berkenaan terletak berhampiran Gunung Tampin, yang sering menjadi tumpuan para pendaki baik dalam mahupun luar negara.

Pengurus Operasi Tampin Extreme Park, Encik Muhammad Uzair Abdul Malek berkata pengunjung yang meminati sukan lasak boleh mencuba pelbagai aktiviti yang diadakan di situ seperti 'rock climbing', 'abseiling', 'flying fox', 'wall climbing' dan 'tree climbing'.

“Di Semenanjung Malaysia, Tampin Extreme Park antara tempat rock climbing yang menjadi perhatian pengunjung dan ia dilakukan pada batu granit. Aktiviti di sini pasti memberi keseronokan kepada peminat sukan rock climbing serta memberi pengalaman baharu kepada pengunjung yang ingin melakukan aktiviti yang mencabar meskipun ketinggian untuk aktiviti rock climbing ini kira-kira 25 meter sahaja.

“Selain melakukan pelbagai aktiviti lasak di kawasan ini yang berkeluasan 0.81 hektar, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti 'jungle trekking' dan 'waterfall abseiling' memandangkan ia berhampiran dengan hutan simpan Gunung Tampin,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, aktiviti 'waterfall abseiling' adalah aktiviti yang paling menarik dan perlu dicuba oleh pengunjung.

“Melalui aktiviti 'waterfall abseiling', pengunjung boleh menikmati cabaran mendaki di kawasan air terjun serta melihat pemandangan keindahan flora fauna yang menarik,” katanya.

Kadar bayaran masuk ialah RM30 (S$10) dan pada tahun lepas ia mencatatkan lebih 2,700 pengunjung, katanya.

Dalam pada itu, Encik Muhammad Uzair juga berhasrat untuk menjadikan Tampin sebagai hab sukan memanjat tembok di negeri ini.

Sebaik sahaja melakukan aktiviti lasak di Tampin Extreme Park, pengunjung boleh bersantai dan beriadah di Tampin Water Park yang terletak kira-kira 3.8 kilometer dari kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tampin Water Park, Encik Nasir Rahim berkata, kawasan yang mempunyai empat kolam itu sesuai untuk pengunjung yang ingin melakukan aktiviti beriadah dan bermandi-manda.

“Empat kolam yang ada di sini mempunyai kedalaman yang berbeza iaitu bermula dari satu kaki hingga tujuh kaki. Istimewanya kesemua kolam berkenaan ialah ia menggunakan air bukit, yang telah dirawat dan selamat untuk aktiviti mandi-manda.

"Selain mandi-manda, pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti 'jungle trekking', memanah, paintball mengikut pakej-pakej yang disediakan,” katanya sambil menambah kawasan berkenaan sesuai untuk aktiviti keluarga.

Kadar bayaran yang dikenakan ialah RM10 (S$3.30) untuk dewasa dan warga emas RM5 (S$1.65).

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan