Images
  • bayi kembung perut
    Gambar hiasan

Tambah garam dan gula boleh mudaratkan kesihatan bayi

PA&MA: Apabila anak memasuki bulan keenam, sudah boleh mula makan, pastinya ibu bapa berasa teruja.

Walaupun banyak resipi yang boleh dicuba, tetapi ingat! Jangan menambah garam atau gula dalam makanan bayi.

Mengapa? Ikuti perkongsian pakar diet Nur Hafizah M Sobri dalam artikel yang diterbitkan Pa & Ma ini:

KITA MUNGKIN TAK RASA TAPI BAYI AKAN RASA

Elak meletakkan garam dalam masakan untuk bayi bawah usia setahun. Malah lagi baik jika tidak berbuat demikian sehinggalah bayi berusia lebih dua tahun.

Anda mungkin tidak rasa, tetapi bayi sudah rasa macam-macam.

Selama 6 bulan, bayi hanya merasa susu ibu atau susu bayi sahaja.

Sekarang para ibu hendak memperkenalkan makanan baru.

Semua makanan yang para ibu memperkenalkan adalah sesuatu yang baru dan pelik kepada anak-anak kerana tekstur, bau dan rasa adalah lain daripada susu ibu dan ini semestinya akan ada tindak balas daripada bayi.

Pada usia enam hingga 12 bulan, tumpuan para ibu bukan untuk memberi anak makan makanan sedap tetapi sebaliknya adalah untuk memperkenalkan mereka kepada makanan selain susu.

Selain itu, ia juga untuk menambah zat kerana keperluan bayi sudah semakin meningkat dan susu sahaja tidak mencukupi.

MENGAPA GARAM DAN GULA TIDAK DISYORKAN

1. Buah pinggang bayi belum cukup matang

Jika orang dewasa mengambil sodium (garam) atau glucose/sucrose (gula) berlebihan, buah pinggang mereka mampu membersihkan yang lebihan daripada darah.

Tetapi bayi tidak mampu lagi - yang berlebihan walaupun sedikit, cukup untuk membuat buah pinggang bekerja berlebihan dan cepat rosak.

2. Deria rasa bayi 100 kali lagi sensitif

Deria rasa bayi banyak yang baru dan sensitif, bukan seperti lidah golongan dewasa yang mungkin banyak sudah rosak akibat faktor luaran termasuk merokok, merasa makanan panas dan lain-lain lagi.

Walaupun tidak meletakkan perasa, bayi sudah dapat merasa perisa semula jadi makanan yang para ibu sediakan.

Maka itu, tidak perlu menambah apa-apa lagi.

3. Mendorong bayi memilih

Kalau pada peringkat awal para ibu sudah memperkenalkan makanan yang ‘sedap’ akibat penambahan perisa, mahukah anak makan makanan tanpa pertambahan perasa?

Ini yang menjadikan anak-anda menolak makanan yang rasa ‘tawar’ dan tiada tambah perisa kerana sudah merasa makanan yang sedap dan ditambah perisa. 

- Agensi berita/SM/sm

Top