Images
  • escape slide
    Gelongsor air terpanjang di dunia di taman tema Escape dekat Pulau Pinang dijangka dibuka kepada orang ramai pada separuh kedua Oktober 2019. 

Taman tema Pulau Pinang sediakan permainan gelongsor air terpanjang di dunia

GEORGE TOWN: Gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.1 kilometer (km) yang terletak di taman tema Escape Pulau Pinang dekat Teluk Bahang, George Town, dijangka dibuka kepada umum sekitar dua minggu terakhir bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Escape Sim Choo Kheng berkata gelongsor itu akan dibuka sebaik sahaja fasa ketiga pembangunan taman tema itu selesai, dengan kegiatannya tertumpu kepada permainan berasaskan graviti termasuk gelongsor air, lif ski, permainan mendaki bukit dan lumba ‘tubby’.

“Jumlah pelaburan untuk pembangunan di fasa semasa adalah RM12 juta (S$3 juta) dan gelongsor air itu sahaja menelan belanja RM15 juta (S$4 juta),” kongsi Encik Sim.

Escape menerima sijil pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) atas gelongsor airnya yang terpanjang di dunia iaitu sebanyak tiga kali lebih panjang berbanding pemegang rekod sebelum ini di Jerman (356 meter).

GWR memberi pengiktirafan rekod dunia buat gelongsor air di taman tema itu pada 6 September lalu.


Pengguna boleh jangkakan perjalanan 4.5 meter setiap saat, lebih cepat berbanding kelajuan biasa gelongsor air. 

Encik Sim berkata percubaan memecahkan rekod tersebut sebenarnya berlaku secara tidak sengaja kerana pihaknya lebih memberi fokus kepada usaha menampilkan gelongsor yang membawa kepuasan untuk para pengunjungnya buat tempoh masa lebih lama iaitu sekitar 4 minit.

“Fokus utama konsepnya adalah untuk memelihara persekitaran dan pelawat dapat menikmati serta menyayangi alam sekitar semasa berhibur,” jelas Encik Sim.

Beliau berkata pemasangan fizikal gelongsor itu mengambil masa lapan bulan dengan menggunakan peralatan asas seperti pengangkut berantai dan perancah bagi memastikan kerosakan minimum kawasan hutan sekelilingnya.

Gelongsor air dengan puncaknya berada di ketinggian 70 meter dari aras tanah itu meliputi 488 bahagian serta 326 pengadang tepi, dipasangkan dengan 10,248 set nut dan baut, dengan disokong oleh tiang besi yang jumlah panjangnya 1.2 km dan jumlah beratnya 66 tan.

Tiada bayaran berasingan dikenakan untuk menaiki gelongsor tersebut. Para pengguna hanya perlu membayar harga tiket masuk taman tema berkenaan yang memberi mereka akses kepada 42 daya tarikan di sekitar tempat itu. 

Tiket-tiket berharga RM147 (S$48) bagi pengunjung berusia antara 13 hingga 60 tahun manakala untuk kanak-kanak antara 4 hingga 12 tahun dan para pelawat berumur atas 61 tahun, bayaran RM97 (S$32) dikenakan.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top