Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Taman Quran Dubai dinobat 100 Tempat Terhebat 2019 majalah TIMES

Taman Al Quran yang terletak di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), dinobat sebagai antara 100 Tempat Terhebat Dunia tahun ini oleh majalah TIMES.

Anggaran Waktu Membaca:
Taman Quran Dubai dinobat 100 Tempat Terhebat 2019 majalah TIMES

(Gambar: Reuters/Satish Kumar)

Diterbitkan : 20 Sep 2019 10:58PM Dikemas Kini : 21 Sep 2019 11:03AM

AMERIKA SYARIKAT: Taman Al Quran yang terletak di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), dinobat sebagai antara 100 Tempat Terhebat Dunia tahun ini oleh majalah TIMES.

Diterbitkan pada Ogos, ini merupakan kali kedua majalah terkenal tersebut mengeluarkan senarai tahunan World's Greatest Places yang merangkumi pelbagai kategori destinasi termasuk muzium, taman, restoran dan tempat penginapan.

Senarai tersebut terbahagi kepada tiga kategori: iaitu Tempat Lawatan, Tempat Penginapan dan Tempat Menjamu Selera.

YANG PERTAMA SEUMPAMANYA DI DUNIA

Taman Al Quran, yang tersenarai sebagai salah satu Tempat Lawatan, berukuran lebih 60 hektar dan bertemakan kisah-kisah yang tertulis dalam Al-Quran.

Menurut satu laporan Reuters, taman berunsur pendidikan itu berjaya menarik sekitar 100,000 pengunjung pada minggu pertama ia dibuka pada April tahun ini di Al Khawaneej, Dubai,

Antara tarikan dalam taman itu termasuk 12 taman kecil, sebuah Gua Mukjizat, sebuah tasik yang dibahagi dua yang melambangkan kisah Nabi Musa membelah Laut Merah, dan tumbuh-tumbuhan yang disebut dalam Al-Quran dan sunnah seperti pohon buah tin dan zaitun.

(Gambar: Reuters/Satish Kumar)
(Gambar: Reuters/Satish Kumar)

(Gambar-gambar: Reuters/Satish Kumar)

Laman Gulfnews melaporkan Ketua Pengarah Perbandaran Dubai sebagai berkata, misi Taman Al Quran itu adalah untuk memartabatkan peranan kebudayaan dan saintifik warisan Islam dengan menyatukan kesemua tumbuh-tumbuhan yang disebut dalam Al-Quran dan sunnah di satu tempat.

Turut tersenarai dalam kategori Tempat Lawatan adalah Muzium Troy di Turki dan Muzium Nasional Qatar.

SINGAPURA, LANGKAWI TURUT TERSENARAI

Dalam pada itu, beberapa tempat di rantau Nusantara turut menarik perhatian terbitan TIMES dan turut disertakan dalam senarai Tempat Terhebat Dunia tahun ini.

The Datai, sebuah resort di Langkawi, Malaysia, adalah antara 44 Tempat Penginapan yang tersenarai. Menurut majalah itu, antara ciri-ciri resort yang dibuka pada 1993 itu adalah lokasinya yang terpencil, yang mendekatkan tetamu dengan alam semulajadi selain menawarkan privasi.

The Long Bar di Hotel Raffles di Singapura pula antara 19 Tempat Menjamu Selera yang disenaraikan tahun ini.

Hotel itu akan ditutup pada hujung tahun ini dan dibuka semula pada suku ketiga tahun depan. (Gambar: Raffles Hotel)

(Gambar: Raffles Hotel)

Menurut TIMES, selain perhiasan uniknya yang berilhamkan kehidupan di Malaya dalam era 1920-an, ia juga mempunyai tradisinya tersendiri, di mana para pengunjung digalakkan membuang kulit kacang tanah ke lantai setelah memakannya.

Menurut majalah TIMES, tempat-tempat yang terpilih dalam Senarai Terhebat Dunia akan dicalonkan oleh para editor dan wartawan serta pakar-pakar industri merata dunia, sebelum dinilai dan dipilih berdasarkan ciri-ciri seperti mutu, keaslian (originality), kemampanan, inovasi dan daya pengaruh (influence).

Pendek kata, menurut TIMES, tempat itu mesti membuat seorang pengembara "berasa seolah-olah menemui satu pengalaman yang menakjubkan".

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan