Images
  • jurong bird park
    Iklan lama Taman Burung Jurong (kanan) dan seorang kakitangan taman itu. (Gambar: Wildlife Reserves Singapore)

Taman Burung Jurong sambut ulang tahun ke-50, tawar tiket S$2.50

SINGAPURA: Taman Burung Jurong meraikan ulang tahunnya yang ke-50 dengan sambutan sepanjang tahun termasuk menawarkan harga tiket masuk asal yang dikenakan pada 1971 iaitu hanya S$2.50, menurut Wildlife Reserves Singapore (WRS) pada Isnin (28 Dis).

Harga tiket ke taman itu biasanya S$15 hingga S$32 tetapi menjadi S$2.50 - sama dengan harga apabila taman itu pertama kali dibuka.

Tawaran khas untuk penduduk tempatan itu bagi sepanjang Januari tahun depan.

Sebagai sebahagian daripada sambutan itu juga, sebuah "portal" berbentuk telur akan dibangunkan di Penguin Coast yang mana para pengunjung boleh menonton dan mendengar detik-detik penting dalam sejarah taman tersebut sepanjang 50 tahun lalu.

Tempat-tempat bergambar juga akan didirikan di merata taman itu untuk mempamerkan kemajuan taman berkenaan serta menawarkan cebisan gambaran lokasi baru taman tersebut di Mandai.

Orang ramai juga boleh mengambil gambar detik-detik bersejarah taman itu seperti hari-hari awal operasi dan lawatan Ratu Elizabeth II dan Duke Edinburgh ke Aviari Air Terjun pada 1972.

Ciri-ciri lain bagi menandakan jubli emas taman itu termasuk edisi khas pertunjukan Taman Burung Jurong dengan penampilan daripada burung-burung perintis seperti Big John yang berusia lebih 50 tahun dan merupakan burung kakak tua paling tua taman tersebut.

Para pengunjung juga boleh secara simbolik menjadi "keluarga titipan"burung flamingo ikonik di Taman Burung Jurong dengan sumbangan S$50 melalui program Titip Flamingo.

Setiap sumbangan akan menerima sijil elektronik dan baucar bagi cenderahati flamingo.

Semua sumbangan akan disalurkan kepada jagaan haiwan, penyelidikan dan program pendidikan di merata taman kendalian WRS dan menyokong projek pemuliharaan. 

- CNA/RU/ru

Top