Images
  • burung santa cruz
    (Gambar: Wildlife Reserves Singapore)

Taman Burung Jurong pertama di dunia cuba ternak merpati terancam

SINGAPURA: Taman Burung Jurong menyambut empat anak burung merpati tanah Santa Cruz beberapa minggu yang lalu.

Dengan ini, taman burung itu menjadi yang pertama di dunia yang berjaya menternak burung Kepulauan Solomon yang terancam pupus itu.

Ini menurut kenyataan media Wildlife Reserves Singapore (WRS) pada Rabu (23 Jan).

Anak burung pertama menetas pada 31 Disember tahun lalu.

Anak-anak burung terancam itu berjaya diselamatkan daripada Kepulauan Solomon pada lewat Ogos lalu dan dibawa ke Singapura.

Sebanyak 60 merpati Santa Cruz, yang menurut WRS, mungkin separuh daripada keseluruh bilangannya di dunia, "diselamatkan daripada cengkaman pemburu haram dan ledakan gunung berapi" dan menjadi satu-satunya koloni merpati sedemikian di Taman Burung Jurong.

Koloni seumpama itu adalah sekumpulan haiwan terancam yang diternak di bawah jagaan manusia.

"Tujuannya adalah untuk menempatkan haiwan itu di tempat asal apabila keadaan mengizinkan," menurut WRS. Sementara itu, taman tersebut juga berjaya menternak burung 'straw-headed bulbul', sejenis burung pandai menyanyi yang kerap diperdagangkan di Asia Tenggara.

Spesies burung ini dipercayai sudah pupus di banyak kawasan di Asia Tenggara, menurut WRS. Hanya tinggal sekitar 200 ekor yang tinggal di hutan dan Singapura dipercayai satu-satunya kediaman utama burung itu, tambah WRS. 

- CNA/TQ/tq

Top