Images
  • rws adventure cove
    (Gambar: Resorts World Sentosa)

Taman air Adventure Cove RWS dibuka semula 12 Mei

SINGAPURA: Jika anda rindu meluncur atas gelongsor air di taman air Adventure Cove Waterpark (ACW), anda boleh menjejakkan kaki ke sana apabila daya tarikan di Resorts World Sentosa itu membuka semula pintunya kepada orang ramai pada 12 Mei ini. ACW ditutup selama hampir setahun ekoran pandemik COVID-19.

Untuk menandakan pembukaan semulanya itu, ACW menawarkan promosi tiket kepada penduduk Singapura. Harga tiket bermula dari S$20 untuk kanak-kanak hingga S$26 bagi dewasa pada luar hari sibuk. Pada hari-hari sibuk pula, tiket-tiket berharga S$24 hingga S$32. Biasanya, tiket berharga S$30 bagi kanak-kanak dan S$38 bagi dewasa.

Tiket sudahpun boleh ditempah menerusi lelaman RWS dan harga-harga promosi tersebut sah sehingga hujung Jun.

Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pengurusan selamat taman itu, para pelawat harus membuat tempahan tarikh lawatan di laman web RWS. Ia hanya beroperasi pada sesetengah hari sahaja dalam seminggu. Pada minggu pembukaannya, ACW dibuka dari Rabu hingga Ahad (12-16 Mei) dan kemudian, pada setiap hari Jumaat hingga Ahad dan cuti umum. Semasa musim cuti sekolah pula, ia dibuka dari Jumaat hingga Selasa.

Selain itu, orang ramai juga perlu mengekalkan jarak selamat tiga meter antara kumpulan berlainan apabila berada di dalam air. Interaksi antara pengunjung dari cabana berbeza juga tidak dibenarkan.

Pengunjung tidak perlu memakai pelitup semasa menaiki gelongsor air itu tetapi dikehendaki memakainya pada setiap masa kecuali ketika makan atau minum.

Jaket keselamatan, peralatan snorkeling, gogal, sarung tangan dan but akan dibersihkan dengan cecair pembasmi kuman sebelum serta selepas setiap kali digunakan.

- TODAYonline/FZ/fz

Top