Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tak usah pening kepala, biar laman ini tentukan jika kumpulan 5 orang anda boleh makan semeja

Pengumuman baru pada Jumaat lalu (16 Jul) mengenai jumlah orang yang boleh duduk makan semeja di luar, yang disesuaikan disebabkan keadaan COVID-19 kembali meruncing, adalah peraturan paling mengelirukan bagi ramai orang setakat ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tak usah pening kepala, biar laman ini tentukan jika kumpulan 5 orang anda boleh makan semeja

(Gambar: Deepika Murugesan/Unsplash)

Diterbitkan : 19 Jul 2021 11:29PM Dikemas Kini : 19 Jul 2021 11:33PM

SINGAPURA: Pengumuman baru pada Jumaat lalu (16 Jul) mengenai jumlah orang yang boleh duduk makan semeja di luar, yang disesuaikan disebabkan keadaan COVID-19 kembali meruncing, adalah peraturan paling mengelirukan bagi ramai orang setakat ini.

Bolehkah kami duduk makan dalam kumpulan lima orang? Sudah divaksinasi atau belum? Ada keputusan ujian negatif COVID-19 atau tidak? Berapa ramai kanak-kanak di bawah usia 12 tahun boleh duduk semeja dengan kami? Penting atau tidak untuk kami semua datang dari isi rumah yang sama?

Pastinya, semua soalan ini berlegar di minda tiap kali anda mahu merancang untuk menjamu selera di luar.

Kesimpulannya, dari 19 Julai hingga 8 Ogos, had individu sekumpulan untuk duduk makan di luar dikurangkan daripada lima ke dua orang bagi mereka yang belum divaksinasi.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian. Orang ramai boleh makan di luar dalam kumpulan sehingga lima orang jika mereka memenuhi perkara-perkara berikut ini:

  1. Sudah lengkap divaksinasi kedua-dua dos suntikan
  2. Sudah sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 sepanjang 270 hari lalu
  3. Mempunyai keputusan negatif ujian COVID-19 jika belum divaksinasi
  4. Merupakan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun

Sekalipun setiap orang memenuhi kriteria kelayakan untuk duduk dalam sekumpulan lima orang, tetap ada had ke atas jumlah kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang boleh duduk semeja dalam kumpulan tersebut.

Bunyinya lebih rumit daripada soalan Matematik PSLE.

Jadi, ini suatu berita baik buat anda yang benar-benar mahu makan di luar.

Kini ada satu laman yang membolehkan anda memeriksa dengan mudah sama ada kumpulan anda layak duduk makan bersama-sama di satu meja.

Lungsuri saja laman yang dipanggil 'Can We Dine In' dan isi butiran-butiran seperti tarikh makan luar dan jumlah orang yang akan mengikut serta.

(Petikan skrin: Can We Dine In)

(Petikan skrin: Can We Dine In)

Dari situ, anda perlu memberikan lebih banyak maklumat tentang setiap orang yang akan pergi makan bersama. Sebagai contoh, sama ada mereka sudah lengkap divaksin atau baru menerima satu suntikan dos dan jika individu itu seorang dewasa atau kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Setelah mengisi semua maklumat yang diperlukan, jawapannya akan dikeluarkan dan anda boleh tahu jika kumpulan anda dibenarkan untuk makan di luar ataupun tidak.

Bagaimanapun laman itu mengecualikan tempat makan di pusat penjaja, kedai kopi, pusat makanan serta premis makanan dan minuman (F&B) lain yang tidak mempunyai sistem untuk memeriksa status vaksinasi mahupun ujian pra-acara (PET).

Bagi tempat-tempat makan tersebut, had orang yang boleh makan semeja adalah dua orang setiap kumpulan, tidak kira status vaksinasi atau umur mereka.

Pilihan paling mudah sekali, sememangnya, duduk di rumah saja dan masak sendiri atau memesan secara online daripada perniagaan F&B kegemaran anda.

Laman 'Can We Dine In', yang dibangunkan oleh sekumpulan individu yang sama daripada syarikat sistem balik tabir dapur, Atlas, menawarkan kod promosi lima peratus bagi penghantaran makanan dari perniagaan F&B seperti Grain, Poke Theory dan Ember Smokery.

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri: https://www.canwedine.in/.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan