Images
  • salmon sushi
    (Gambar: Unsplash)

Taiwan rayu penduduk tidak tukar nama kepada 'salmon' gara-gara tawaran restoran

TAIPEI: Seorang pegawai kanan Taiwan mengeluarkan rayuan pada Khamis (18 Mac) meminta orang ramai jangan menukar nama mereka kepada "salmon" setelah puluhan membuat keputusan luar biasa itu demi merebut tawaran di sebuah restoran.

Dalam satu fenomena yang dinamakan sebagai "Kekecohan Salmon" oleh media tempatan, sekitar 150 penduduk rata-ratanya golongan muda, mengunjungi pejabat-pejabat pemerintah sejak beberapa hari lalu untuk secara rasmi menukar nama mereka.

Ternyata, mereka berbuat demikian disebabkan oleh tawaran yang dibuat sebuah rangkaian restoran sushi.

Di bawah tawaran selama dua hari itu yang berakhir pada Khamis (18 Mac), pelanggan yang mempunyai perkataan "gui yu" atau huruf pinyin bagi perkataan 'salmon', layak menikmati promosi makan sushi sebanyak mungkin bersama lima lagi orang teman.

Taiwan membenarkan penduduknya menukar nama secara rasmi sebanyak tiga kali.

Namun, fenomena baru itu dicemuh para pegawai Taiwan.

"Pertukaran nama sedemikian bukan sahaja membuang masa tetapi menyebabkan kerja tambahan yang tidak perlu," kata timbalan menteri dalam negeri Chen Tsung-yen kepada wartawan. Beliau menggesa orang ramai supaya "menghargai sumber pentadbiran".

"Saya berharap orang ramai dapat bersikap lebih rasional," katanya.

- AFP/HA/ha

Top