Images
  • halal restaurant taipei
    Terdapat beberapa restoran halal di Taipei. (Gambar: MANDY CHENG/AFP)

Taiwan kian giat menarik pelancong Muslim Asia Tenggara

TAIPEI: Dari ayam goreng halal kepada kolam mata air panas yang menyediakan ruang solat, Taiwan giat menarik pelancong Muslim sedang pengunjung dari China kian berkurangan.

Bilangan pelancong dari China semakin merosot di tengah-tengah ketegangan antara negara tersebut dengan Taiwan. Malah, terdapat spekulasi bahawa Beijing akan menghentikan bekalan airnya kepada bandar tersebut.

Lantas, Taiwan kini berusaha untuk mengeratkan lagi hubungan dengan 16 negara di bahagian selatannya dan juga di Asia Tenggara serta Australia dan New Zealand di bawah langkah yang digelar "dasar menuju ke selatan".

Ini bermakna terdapat lebih ramai pelancong dari negara-negara majoriti Muslim seperti Malaysia dan Indonesia dengan tambahan 30 peratus pelancong dari Asia Tenggara pada 2017.

Meskipun Taoisme merupakan agama majoriti dengan penganut Islam hanya dua peratus daripada penduduknya, para pelancong Muslim memberitahu AFP bahawa mereka tidak sangka dijemput dengan tangan terbuka di Taiwan.

Misalnya, Ashma Bunlapho, 40 tahun, seorang pelancong dari Thailand yang melawat Taiwan selama 5 hari bersama suaminya mendapatkan restoran-restoran halal dengan hanya menggunakan Google Maps. Di samping itu, beliau juga rasa selesa untuk menunaikan solat di mana-mana saja termasuk di Tasik Sun Moon iaitu di bahagian tengah Taiwan.

Sementara itu, pelancong dari Malaysia, Dean Idris berkata bahawa tempat makan halal juga mudah untuk ditemui apabila beliau mengunjungi Taipei dengan kedua-dua anaknya. Mereka berjalan-jalan di taman haiwan, sebuah pasar malam dan sebuah daerah bersejarah berdekatan dengan kuil yang terkenal di bandar berkenaan.

"Saya mempelajari bahawa Taiwan, terutamanya Taipei sebenarnya mesra Muslim," katanya kepada AFP di luar sebuah masjid di ibu kota tersebut.

Selain Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Jepun juga antara negara-negara Asia yang meneroka pasaran pelancong Muslim yang dipacu penerbangan murah dan golongan kelas tengah yang semakin bertambah di negara seperti Indonesia.

Misalnya, ruang solat siap dengan arah kiblat serta jadual solat disediakan di Hotel Gaia di Beitou yang menawarkan kolam mata air panas iaitu antara daya tarikan popular di Taiwan.

Malah, tempat makanan ringannya turut menawarkan kek-kek yang tidak mengandungi alkohol ataupun gelatin. Tambahan pula, hotel tersebut menyediakan tempat memasak berasingan bagi makanan halal.

"Oleh sebab bilangan pelancong China kian berkurang dan sebahagian besar daripada pasaran Asia Tenggara adalah golongan Muslim, ia menjadi sasaran kami," kata pengurus operasi Gaia, Jack Chang kepada AFP.

Usaha Taiwan menarik pelancong Muslim turut disokong oleh negara-negara Islam lain seperti Turki. Baru-baru ini, semasa mengadakan lawatan ke Istanbul, datuk bandar Taipei bertemu dengan penggubal dasar Turki yang berminat untuk menampung pembinaan masjid ketiga di Taipei, menurut pemerintah bandar tersebut.

Selain itu, Taiwan juga sedang menjalankan percubaan untuk mengecualikan rakyat Thailand, Brunei dan Filipina daripada menggunakan visa untuk memasuki bandarnya. Ini menyusuli langkahnya mempermudahkan peraturan-peraturan visa pada Jun lalu, bagi enam negara termasuk Indonesia, India dan Kemboja.  

- REUTERS/SM/sm

Top