Images
  • cooking oil
    Gambar hiasan. (Gambar: dashu83/freepix)

Tahukah anda cara betul buang minyak masak terpakai?

SINGAPURA: Apabila menggoreng, seringkali akan ada baki minyak terpakai.

Jika dituang ke dalam singki, akan menyebabkan ia menjadi sumbat dan merosakkan paip. Jika dibuang begitu sahaja di kawasan tanah boleh menyebabkan masalah pada hidupan liar.

Anda boleh menyimpan minyak jelantah untuk digunakan semula nanti.

Namun jika minyak sudah rosak atau anda tidak mahu lagi menggunakannya, berikut ini beberapa cara untuk anda membuangnya dengan cara yang betul dan selamat.

GUNAKAN SEMULA MINYAK MASAK

Jika anda merancang untuk kerap menggunakan minyak dalam jumlah yang banyak untuk menggoreng atau 'deep-fry', anda boleh menyimpan minyak jelantah tersebut dan gunakannya semula.

Pertama, tapis terlebih dahulu minyak untuk membuang sisa-sisa atau serdak. Kemudian, tuangkan ke dalam bekas kedap udara dan letakkannya di dalam tempat yang gelap sehingga sampai masa untuk menggunakannya semula.

Tapi ingat, penting untuk anda tahu bahawa minyak masak boleh digunakan semula hanya sekali atau dua kali sahaja, menurut laman Spruce Eats.

Hidu dahulu baunya sebelum digunakan; jika baunya tengik, buangkan sahaja.

Barang diingat, setiap kali minyak digunakan semula, keadaannya menjadi kurang baik dan takat asapnya - iaitu suhu yang boleh menyebabkannya terbakar) akan berkurangan.

TUANG KE DALAM BEKAS UNTUK DIBUANG

Jika anda mahu membuang minyak, biarkan ia sejuk sepenuhnya kemudian tuangkan ke dalam bekas bertutup yang tidak boleh dikitar semula. Kemudian buangkan ke dalam tong sampah.

Bekas-bekas tidak boleh dikitar semula yang boleh digunakan termasuk kotak susu yang diperbuat daripada kadbod dan bekas kertas yang dialas plastik atau kertas lilin.

Kotak styrofoam dan bekas-bekas makan lain juga pilihan yang baik.

BEKUKAN SAMPAI PEJAL

Jika anda memilih untuk membuang minyak terpakai itu, anda perlu membekukan atau menyejukkannya terlebih dahulu supaya ia menjadi pejal, menurut Spruce Eats.

Tuangkan minyak ke dalam bekas atau tin lama dan masukkan ke dalam peti beku. Apabila ia sudah menjadi pejal, anda boleh terus membuangnya ke dalam tong sampah.

JUMLAH SEDIKIT BOLEH DIBUANG DALAM TONG SAMPAH

Jika jumlah minyak yang hendak dibuang hanya sedikit, ia boleh dibuang langsung ke dalam plastik yang sudah berisi sampah, menurut laman Spruce Eats.

Cuma, pastikan minyak itu sudah sejuk.

Kertas tisu, sisa makanan dan bahan-bahan mudah serap yang lain dalam plastik sampah itu boleh membantu menyerap minyak. Jadi anda tidak perlu risau jika berlaku kebocoran plastik.

GABUNG DENGAN BAHAN LAIN

Sebelum membuang minyak, anda boleh campurkannya dengan bahan mudah serap seperti pasir najis kucing, pasir dan habuk gergaji, yang mudah menyerap cecair.

Simpan minyak lama dalam bekas guna semula sehingga tiba masa untuk membuang pasir najis kucing; tuangkan sekali minyak ke dalamnya sebelum dibuang.

KITAR SEMULA MINYAK

Sesetengah negara mempunyai program mengumpul minyak jelantah untuk dikitar semula dan dijadikan biodiesel.

Biodiesel adalah bahan bakar yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis kenderaan dan juga boleh digunakan sebagai minyak pemanas.

Jika anda menggunakan banyak minyak dan mahu menyokong usaha memelihara alam sekitar, anda boleh menghubungi syarikat kitar semula.

Di Singapura juga, terdapat beberapa syarikat yang mengambil minyak masak yang sudah digunakan untuk dikitar semula.

Anda boleh ke laman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mendapatkan nombor telefon dan alamat syarikat-syarikat berlesen yang dibenarkan untuk mengumpul minyak masak yang sudah digunakan.

Akhir sekali, jangan buang minyak panas ke dalam tong sampah kerana ini boleh menarik serangga dan haiwan perosak serta menimbulkan masalah pada lori sampah serta di tapak pembuangan sampah. 

- Agensi berita/NK/nk

Top