Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Tahap kesuburan dijangka lebih baik jika amalkan diet sihat untuk jantung

Lelaki muda yang mengamalkan pemakanan yang sihat untuk jantung akan mempunyai mutu sperma (air mani) yang lebih baik berbanding rakan-rakan sebaya yang kerap memakan makanan remeh (junk food).

Anggaran Waktu Membaca:
Tahap kesuburan dijangka lebih baik jika amalkan diet sihat untuk jantung

Gambar hiasan makanan sihat yang teridi daripada ikan dipanggang dan sayur-sayuran (Gambar: Artsplash/Caroline Attwood)

Diterbitkan : 25 Oct 2019 11:49AM Dikemas Kini : 25 Oct 2019 11:54AM

AMERIKA SYARIKAT: Lelaki muda yang mengamalkan pemakanan yang sihat untuk jantung akan mempunyai mutu sperma (air mani) yang lebih baik berbanding rakan-rakan sebaya yang kerap memakan makanan remeh (junk food).

Persatuan Jantung Amerika menggalak 'Dietary Approaches to Stop Hypertension' (Pendekatan Diet untuk Cegah Darah Tinggi (DASH) atau diet Mediterranean untuk membantu mencegah penyakit jantung.

Kedua-dua diet memberi tumpuan kepada masakan yang menggunakan minyak sayur, kekacang, buah-buahan, sayur-sayuran, produk tenusu, bijirin penuh, ikan dan daging yang rendah lemak, selain menghadkan pengambilan daging merah dan gula serta garam.

Dalam satu kajian melibatkan 209 penuntut kolej lelaki berusia antara 18 hingga 23 tahun, mereka yang mengamalkan diet DASH mencatat kiraan sperma yang secara keseluruhannya 65 peratus lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mengamalkan diet itu.

Corak pemakanan yang hampir serupa dengan diet DASH juga dikaitkan dengan kiraan sperma yang lebih tinggi dan sihat.

Dalam kajian tersebut, para pengkaji dari Sekolah Perubatan Universiti Murcia di Sepanyol menggunakan borang soal jawab untuk merakam cara pemakanan para peserta. Kajian tersebut mengkaji jumlah makanan utama dalam diet Mediterranean dan DASH para peserta, selain makanan lain yang diketahui dapat mengurangkan risiko penyakit kronik biasa.

Tabiat pemakanan bagaimanapun tidak secara jelas membawa kesan terhadap tahap hormon reproduktif, menurut para penyelidik dalam jurnal Human Reproduction.

Kajian tersebut juga tidak dapat membuktikan secara kukuh bagaimana diet menjejas mutu sperma dalam kalangan pemuda.

Selain skalanya yang kecil, satu lagi keterbatasan kajian ini adalah ia terlalu bergantung kepada para peserta untuk melaporkan secara tepat tabiat pemakanan mereka.

"Dapatan kajian ini tidak dapat disimpulkan secara umum disebabkan oleh beberapa keterbatasan termasuk saiz sampel yang kecil dan tahap kesihatan para relawan. Penyelidikan ini patut dilanjutkan kepada populasi lain," ulas Dr Muhammad Imran Omar, seorang penyelidik di Universiti Aberdeen di UK yang tidak terlibat dalam kajian itu.

"Bagaimanapun, terdapat cukup bukti saintifik yang memberi gambaran bahawa buah-buahan, sayur-sayuran dan tenusu rendah lemak adalah penting dalam gaya hidup sihat dan tahap kesuburan," kata Dr Imran menerusi kiriman emel.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan