Images
  • tidur generic
    (Gambar hiasan: Pixabay)

Tabiat tidur ada kaitan dengan kawalan gula dalam darah kencing manis, pra kencing manis

CHICAGO: Tidak cukup tidur - atau terlalu banyak tidur - mungkin ada kaitan dengan masalah paras gula dalam darah, bukan hanya dalam kalangan pesakit kencing manis malah mereka yang berisiko menghidapi penyakit itu juga, menurut satu kajian baru.

Jadual tidur tidak tetap dan mutu tidur kurang baik diketahui mempunyai kaitan dengan kawalan paras gula dalam darah kurang baik bagi mereka yang menghidap kencing manis.

Bagaimanapun satu kajian baru mendapati, 73 peratus peserta mengalami "pra kencing manis" - bermakna mereka belum menghidapi kencing manis tetapi paras gula dalam darah mereka hampir berada dalam lingkungan kencing manis.

Para peserta yang lain didiagnos menghidapi diabetes jenis 2 baru-baru ini tetapi belum mendapat rawatan.

"Jangan terpedaya dengan 'pra' - pra kencing manis adalah keadaan kesihatan serius," kata para pegawai kesihatan awam sebagai memberi amaran di laman Pusat-Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat.

"Pra kencing manis meningkatkan risiko anda mengalami diabetes jenis 2, penyakit jantung dan angin ahmar."

Keseluruhannya, kajian itu melibatkan 962 orang dewasa yang mengalami berat badan berlebihan, berusia antara 20 hingga 65 tahun, yang menjalani ujian darah dan mengisi borang soal selidik tentang tabiat tidur.

Berbanding orang-orang yang mengakui dalam borang bahawa mereka tidur tujuh atau lapan jam setiap malam, mereka yang tidur purata kurang lima jam atau lebih lapan jam setiap malam mempunyai paras hemoglobin A1C lebih tinggi dalam darah, menunjukkan kawalan paras gula tidak baik sejak dua atau tiga bulan lalu.

Dapatan itu benar sama ada mereka menghidapi kencing manis atau pra kencing manis.

"Dahulu, pendapat umum adalah tempoh tidur lebih singkat tidak baik untuk diri anda tetapi sekarang kami mendapati tidur terlalu lama juga mungkin tidak elok untuk anda," kata ketua penulis utama kajian Dr Babak Mokhlesi dari Universiti Chicago kepada Reuters Health menerusi panggilan telefon.

Akademi Perubatan Tidur Amerika menasihati golongan dewasa untuk tidur sekurang-kurangnya tujuh jam dalam satu malam.

Kajian baru ini tidak membuktikan bahawa tabiat tidur menjejas paras gula dalam darah atau risiko kencing manis; ia hanya menunjukkan kaitan antara kedua-duanya.

Bagaimanapun, kemungkinan amalan tidur melebihi lapan jam dalam satu malam meningkatkan risiko menghidapi kencing manis tidak difahami sepenuhnya, kata para pengkaji dalam Diabetes Care.

Para pakar percaya, tempoh tidur lebih lama mungkin satu tanda masalah kesihatan yang tidak disedari dan ini kemudian mengakibatkan kawalan glukosa lebih teruk.

Para pengkaji mendapati tempoh tidur ada kaitan dengan faktor risiko kencing manis lain juga, selain hemoglobin A1C.

Misalnya, mereka yang tidur lebih lapan jam dalam satu malam mempunyai purata paras gula dalam darah semasa berpuasa yang lebih tinggi.

Mereka yang tidur kurang enam jam dalam satu malam dan mereka yang bekerja syif mempunyai Indeks Jisim Tubuh lebih tinggi.

Para pengkaji juga mendapati mereka yang digelar "burung hantu" kerana berjaga hingga lewat malam dan tidur pada waktu pagi, serta mereka yang melakukan kegiatan sosial dan bangun lebih lewat pada hujung minggu berbanding hari-hari lain, mengalami tekanan darah lebih tinggi. 

- Reuters/EM/tq

Top