Images
  • sneeze nose file
    (Gambar hiasan: Joseph Mucira/Pixabay)

Tabiat korek hidung mungkin juga membahayakan di tengah-tengah pandemik sekarang

AMERIKA SYARIKAT: Sejujurnya, mengorek lubang hidung adalah satu tabiat yang pasti pernah dilakukan semua orang. Asalkan ia dilakukan semasa bersendirian dan seseorang mencuci tangan selepas "menggali lombong", ia satu kebiasaan yang mungkin boleh diterima ramai.

Namun, di tengah-tengah pandemik COVID-19 sekarang ini, sebilangan pakar kesihatan menekankan tabiat tersebut boleh mengundang bahaya, lapor CNN.

Bukan saja mereka yang melakukan demikian akan menyebarkan bakteria dan virus ke mana-mana permukaan yang mereka sentuh. Malah, mengorek hidung "membawa kuman dari hujung jari ke dalam hidung, bertentangan dengan apa yang anda patut lakukan," kata pakar penyakit berjangkit Dr Paul Pottinger, seorang profesor di Sekolah Perubatan Universiti Washington di Seattle.

Dalam erti kata lain, anda boleh menyebarkan virus korona kepada orang lain setelah mengorek hidung. Anda juga berkemungkinan membawa virus itu, serta virus-virus lain, langsung ke dalam tubuh anda.

BAGAIMANA VIRUS KORONA MASUK KE TUBUH

Hidung adalah salah satu cara utama virus boleh memasuki tubuh - dua cara lain adalah menerusi mulut dan mata.

Hidung mempunyai beberapa sistem pertahanan yang mengelakkan kemasukan patogen, termasuk bulu hidung dan membran hingus.

Hingus membantu untuk menghalang kemasukan anasir asing. Namun apabila hingus itu dan apa-apa perkara yang diperangkapnya kering, ia menjadi kotoran yang sering disebut sebagai tahi hidung. Apabila terasa adanya kotoran ini di dalam hidung, seringkali tangan akan terasa untuk mula menggali.

Namun apa yang tidak disedari ramai adalah betapa sensitifnya kulit di dalam hidung. Mengorek hidung boleh menyebabkan luka kecil pada lapisan kulit, menurut pakar virologi molekul yang juga mantan profesor madya biologi di Jackson State University, Dr Cedric Buckley.

Luka ini, jelas beliau kepada CNN, meningkatkan kemungkinan kemasukan kuman dari tangan terus ke saluran darah.

MENUKAR TABIAT

Mengorek hidung adalah satu tabiat yang patut dielakkan, terutama lagi di tengah-tengah pandemik sekarang. Namun suatu tabiat, terutamanya yang dilakukan tanpa disedari, seringkali sukar untuk diubah.

Seperti menggigit hujung kuku, menggetap bibir dan menarik rambut, tabiat mengorek hidung dianggap pakar kesihatan mental sebagai sejenis "tingkah laku berulang yang tertumpu pada tubuh".

Dr Elias Aboujaoude, profesor klinikal psikiatri di Universiti Stanford di California menjelaskan tabiat sedemikian boleh dianggap gangguan klinikal jika ia merosakkan atau menjejas ketara kehidupan seseorang.

Namun bagi kebanyakan orang, ia sekadar tabiat buruk dan bukan suatu gangguan.

Terapi pembalikan tabiat, sejenis terapi tingkah laku kognitif, adalah kaedah yang digunakan oleh pakar psikiatri untuk membantu mereka yang menghadapi masalah tingkah laku berulang yang tertumpu pada tubuh.

Rawatan ini "meningkatkan kesedaran tentang tingkah laku dan akibatnya, dan melatih individu untuk mengganti tabiat mengorek hidung dengan 'tindak balas bersaing,'" jelas Dr Aboujaoude.

Ini bererti melatih tangan seseorang untuk melakukan sesuatu yang kurang merosakkan dan lebih diterima secara sosial, seperti menggenggam, atau menekan 'stress ball'.

Dalam pada itu, pemakaian pelitup sangat berguna. Selain berkesan dalam mengurangkan penularan zarah-zarah di udara yang boleh mengandungi virus korona, pemakaian pelitup juga dapat membantu mengurangkan tabiat mengorek hidung dengan secara fizikal menyekat pergerakan jari ke hidung yang dilakukan secara tabiat atau tidak sedar.

AMALAN TERBAIK KESIHATAN HIDUNG

Sekiranya anda mendapati anda mengorek hidung anda bukan sebab tabiat tetapi sebagai reaksi kepada hidung yang selalu tidak selesa atau rasa tersumbat, dapatkan nasihat doktor. Masalah anda mungkin tidak berkaitan dengan kerak di dalam hidung dan sebaliknya disebabkan isu-isu lain yang perlu ditangani:

"Anda mungkin mengalami septum yang menyimpang, anda boleh mengalami radang hidung, anda mungkin terdedah kepada alahan bermusim atau kronik, di mana membran hidung anda selalu bengkak," kata Prof Buckley.

Cara terbaik untuk menghilangkan kotoran di dalam hidung adalah dengan menghembus ke dalam kertas tisu dan kemudian mencuci tangan, bukannya "menggali lombong", nasihatnya.

- Agensi berita/TQ/tq

Top