Images
  • ibu anak susu badan
    Seorang bayi dan ibunya (Gambar: Raul Arboleda/AFP)

Susu ibu baik untuk bayi, wanita, boleh jimatkan ekonomi dunia S$1.3 bilion setiap hari

KUALA LUMPUR: Memberi susu badan yang tidak mencukupi membebankan ekonomi global hampir AS$1 bilion (S$1.36 billion) setiap hari akibat kos penjagaan kesihatan dan kurangnya daya penghasilan, menurut para penyelidik pada Jumaat (12 Jul) di tengah-tengah gesaan para pakar kesihatan bagi sokongan tambahan bagi ibu susukan bayi.

Satu laman baru yang dibangunkan para pengkaji di Kanada dan Asia menunjukkan bahawa dunia boleh menikmati penjimatan AS$341 bilion (S$463 bilion) setahun jika kaum ibu memberi anak mereka susu badan buat lebih lama, lantas mengelakkan kematian awal dan pelbagai jenis penyakit.

Dikenali sebagai "Kerugian Akibat Tidak Menyusu Badan", alat online itu menggunakan data daripada kajian enam tahun yang disokong satu gerakan sokongan keibuan dan khasiat kanak-kanak, Alive & Thrive.

"Ia hak kemanusiaan, ia menyelamatkan nyawa dan membaiki kemakmuran ekonomi," kata pakar ekonomi kesihatan di Kanada, Dylan Walters tentang pentingnya susu ibu.

Encik Walters, yang menerajui kajian melibatkan lebih 100 negara, berkata laman itu adalah pertama seumpanya dan bertujuan membantu penggubal dasar mengukur kerugian ekonomi yang dialami setiap negara apabila penyusuan susu ibu tidak disokong.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan bayi hanya diberi susu badan bagi enam bulan pertama dan kemudian diberi diet susu badan dan makanan lain sehingga dua tahun.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu, menyusu badan boleh mengelakkan cirit-birit dan radang paru-paru, dua punca utama kematian bayi. Ia juga melindungi si ibu daripada barah payudara dan ovari.

Namun hanya 40 peratus bayi bawah usia enam bulan diberi susu badan, manakala kematian 820,000 kanak-kanak boleh dielakkan setiap tahun jika saranan itu diikuti, tambahnya.

Beberapa halangan untuk menyusukan bayi termasuk kurangnya kemudahan atau waktu rehat di tempat kerja, pemasaran agresif susu formula dan stigma atau gangguan terhadap golongan ibu yang menyusu badan di tempat awam.

Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang bermula 1 Ogos, para pengkaji berharap lebih banyak negara akan melaksanakan dasar-dasar yang menggalak susu badan, menggesa para majikan memberi lebih sokongan dan menyekat pemasaran susu tepung formula.

"Bukti ekonomi lebih mudah diterima penggubal dasar. Tidak melabur dalam penyusuan badan ada padah ekonominya," pengarah Alive & Thrive Asia Tenggara, Roger Mathisen, memberitahu Yayasan Thomson Reuters.

"Menyusukan bayi merupakan pelaburan baik untuk mengembangkan dasar seperti cuti bersalin berbayar," kata beliau, yang menambah bahawa langkah ini boleh mengekalkan wanita dalam tenaga kerja dan merangsang ekonomi negara.

Satu kajian yang disokong PBB pada 2017 mendapati tiada negara yang memberi bantuan cukup kepada para ibu untuk menyusukan anak mereka selama tempoh enam bulan yang disarankan.

- Reuters/TQ/tq

Top