Images
  • supertree
    Supertree Grove kembali bermandikan cahaya, pertunjukan lampu dan muzik bermula 8 Jan (Gambar: Taman Di Pesisiran)

Supertree Grove kembali bermandikan cahaya, pertunjukan lampu dan muzik bermula 8 Jan

SINGAPURA: Suasana malam di Taman Di Pesisiran bertambah indah dengan pertunjukan lampu berwarna-warni dan muzik yang popular di Supertree Grove kembali diadakan bermula Jumaat (8 Jan).

Persembahan Rapsodi Malam selama 15 minit itu - di mana lampu berwarna-warni yang dipasang pada 12 Supertree bertukar mengikut alunan muzik - akan kembali diadakan setiap malam pada 7.45 malam dan 8.45 malam.

Sebanyak 10 pertunjukan dirancang tahun ini dengan irama muzik dan persembahan cahaya berbeza-beza.

Pada Januari, para pengunjung akan dapat menikmati Garden Waltz, susunan lagu daripada penggubah lagu terkemuka seperti Grande Valse Brillante oleh Frederic Chopin, By The Beautiful Blue Danube oleh Johann Strauss Jr dan Skaters' Waltz oleh Emile Waldteufel.

Menurut Pengarah Kanan bahagian Rancangan dan Acara, Taman Di Pesisiran, Cik Chua Yen Ling, susunan muzik itu dipilih khas untuk pertunjukan pertama tahun ini bagi "membangkitkan semangat".

Duta-duta Jarak Selamat akan berada di kawasan persembahan bagi memastikan pengunjung mematuhi langkah-langkah jarak selamat dan memakai pelitup sepanjang masa.

"Rapsodi Taman diadakan secara percuma buat semua dengan langkah-langkah selamat dilaksanakan. Kami berharap para pengunjung tidak hanya dapat menikmati pertunjukan tersebut tetapi juga terangsang dengan suasana penuh keajaiban di kawasan Supertree yang hebat ini," tambah Cik Chua.

Pertunjukan dalam bentuk asalnya dihentikan semasa tempoh "pemutus rantaian jangkitan" tahun lalu dan dimulakan semula dalam bentuk yang berbeza pada September lalu di mana muzik latar dimainkan di samping pancaran cahaya berlangsung dari 7 malam hingga 10 malam setiap hari.

- CNA/NJ/nj

Top