Images
  • tulang
    Sup Tulang Merah. (Gambar: BERITAmediacorp)

Sup Tulang Merah hidangan paling 'wajib' dirasa pelancong di S'pura

BERITAmediacorp: Syurga makanan - inilah gelaran yang terus 'melekat' dengan Singapura, dari pilihan beraneka sajian khususnya di pusat-pusat penjaja hinggalah ke bufet hotel.

Malah, dengan sehingga 18.5 juta pelancong yang datang ke Singapura pada tahun lalu sahaja, pastinya mereka juga rambang mata memilih makanan yang ditawarkan negara ini, termasuk oleh masyarakat Melayu kita.

Sempena tema Hari Kebangsaan tahun ini 'Singapura Kita', BERITAmediacorp memberi tumpuan kepada 'Makanan Singapura Kita' bagi edisi pertama siri mingguan Fokus.

Jadi, makanan yang manakah yang ‘wajib’ dirasa pelancong ketika berada di Singapura?

Selama beberapa hari kami turun padang ke Geylang Serai, Bedok dan Kampong Gelam bertanyakan seramai 100 orang, meliputi pelbagai peringkat usia.

Ternyata, sejumlah 20 jenis makanan berbeza disarankan oleh para responden.

SUP TULANG MERAH RAIH HAMPIR 20% UNDI

Setelah kami kira hidangan mana yang paling ‘popular’, ternyata Sup Tulang Merah muncul sebagai makanan paling mesti dicuba di Singapura, meraih hampir 20 peratus undi.


Di tempat kedua ialah Murtabak dengan 13 peratus, manakala di tangga ketiga pula ialah Rojak India dengan 11 peratus undi.

"DILAHIRKAN DI SINGAPURA"

Jadi, apa antara sebabnya Sup Tulang Merah ‘menang’ tinjauan rambang sebagai yang perlu dicuba para pelancong?

Kami bertanya peniaga Sup Tulang Merah terkenal tempatan untuk mendapatkan kupasannya.

Pemilik M.A. Deen Biasa, Encik Sultanul Ariff S/O Abdul Jabbar menjelaskan: "Tulang ini dilahirkan di Singapura. Bila anda makan, anda dapat rasa pedas ada, manis ada, masam ada, ia tiga dalam satu. Benda ini tak dapat di mana-mana, cuma dapat di Singapura."

PENUH INTI & MUDAH DIMAKAN

Bagi murtabak pula, yang menjadi ‘naib juara’ tinjauan tersebut, pemilik restoran Victory yang popular, Encik Abdul Rasid Abdul Rahman percaya, kelebihan murtabak Singapura yang penuh inti dan mudah dimakan serta mampu menepati tekak berbeza para pelancong di serata dunia.


"Murtabak Singapura kita ada letak daging di dalam dan di luar. Itu bezanya. Pelancong-pelancong juga senang makan murtabak ini, citarasa mereka boleh sama dengan orang Singapura, sebab mudah untuk makan," kata Encik Abdul Rasid.

LAMBANGKAN KEPELBAGAIAN BUDAYA S'PURA

Rojak India pula, kata pegerai generasi kedua hidangan tersebut, Encik Abdus Salam Akber Ali, cukup sinonim dengan identiti Singapura yang berbilang kaum dan juga satu hidangan yang memenuhi selera setiap lapisan usia.


"Rojak India salah satu makanan warisan Singapura kerana ia melambangkan kepelbagaian budaya Singapura. Dari yang muda hingga lebih berusia, sesiapa sahaja boleh makan dan ia hidangan indah yang memenuhi citarasa semua," kata Encik Abdus Salam.

Tokoh masakan dan makanan Melayu, Cik Aziza Ali akur dengan pilihan orang ramai itu bahawa sup tulang merah dan murtabak memang antara hidangan mashyur di Singapura.

Bagi Rojak India pula, beliau berkongsi: "Rojak India ini tak ada di India, mungkin yang ada itu mungkin cucur bawangnya. Aslinya orang Cina bawa ke Singapura adalah tauhu. Jadi mereka campurkan tauhu, dengan tempe orang Jawa, orang Melayu. Jadi itu satu-satunya macam makanan Singapura."


Namun tokoh dan konsultan makanan veteran ini mempunyai senarainya yang tersendiri bagi tiga makanan yang mesti dicuba oleh pelancong asing ke Singapura.

"Untuk pelancong yang tak pernah datang ke Singapura, saya akan syorkan sate, rendang dan murtabak," kata Cik Aziza.

Persoalannya kini, apakah ada usaha untuk mempromosikan makanan-makanan ini kepada pelancong?  

- BERITAmediacorp/im

Top