Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sukar tidur? Terapi cahaya, muzik boleh kurangkan insomnia

Tidur sangat penting bagi kesihatan fizikal dan mental, dengan orang dewasa memerlukan antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukar tidur? Terapi cahaya, muzik boleh kurangkan insomnia

(Gambar hiasan: Pixabay)

Diterbitkan : 07 Feb 2021 08:28PM Dikemas Kini : 07 Feb 2021 08:43PM

CHINA: Wilson Tan enggan mendedahkan nama sebenarnya mahupun gambarnya diterbitkan.

Beliau bimbang majikannya akan mendapat tahu bahawa beliau hanya dapat tidur pada pukul 4.00 pagi setiap hari dan akan menganggap dirinya tidak sesuai bekerja.

"Bos saya tidak fleksibel dengan waktu kerja saya," kata pereka grafik berusia 29 tahun itu mengenai waktu kerjanya yang bermula pukul 10.30 pagi.

"Sebab itu saya berpindah untuk tinggal berdekatan dengan pejabat supaya dapat mengurangkan waktu perjalanan."

Tan tinggal di North Point, Hong Kong, bersama teman wanitanya yang biasanya tidur sekitar tengah malam manakala Tan terus bermain permainan video atau menghasilkan muzik, menurut South China Morning Post (SCMP).

"Ia adalah satu lingkaran yang tidak dapat saya putuskan," kata Tan, yang mengalami insomnia sejak usia remaja lagi.

Tidur sangat penting bagi kesihatan fizikal dan mental, dengan orang dewasa memerlukan antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam dan waktu yang lebih panjang bagi bayi, kanak-kanak dan remaja.

Malah, tidur seketika pada siang hari atau yang dipanggil 'power nap' juga baik untuk minda, menurut kajian yang diterbitkan minggu lalu dalam jurnal General Psychiatry.

MUZIK REDAKAN TEKANAN

Ia menjalankan tinjauan ke atas lebih 2,000 warga tua di China dan mendapati prestasi minda mereka yang tidur seketika selepas waktu makan tengah hari lebih baik daripada yang tidak berbuat demikian.

Meskipun senaman dan mengurangkan penggunaan peralatan elektronik adalah antara cara yang dapat membantu seseorang tidur, sesetengah orang turut menggunakan aplikasi seperti Sacred Acoustic, yang disarankan oleh Pakar Nutrisi Institut Perubatan Bersepadu, Lawrence Tredrea.

Bagi sebilangan yang lain, muzik adalah peneman tidur yang perlu ada.

"Muzik melegakan tekanan dan membuat anda berasa tenang sekali gus membantu mempengaruhi hormon dan pengutus saraf yang membantu mempertingkatkan mutu tidur," kata Encik Tredea, seperti yang dipetik SCMP.

"Terdapat muzik tertentu yang tertumpu kepada dwirentak yang membantu meditasi dan mempengaruhi gelombang otak."

Beliau menambah, bunyi hingar putih atau 'white noise' juga boleh membantu melenyapkan bunyi-bunyian latar yang mengganggu sehingga menyukarkan seseorang untuk tidur.

Tan berkata sukar baginya untuk memberi tumpuan di tempat kerja, berasa murung dan mengaku kerap marah-marah terhadap teman wanitanya, rakan-rakan dan juga rakan sekerja.

Beliau bimbang kesihatannya terjejas.

Dalam satu kajian pada 2018 yang dijalankan ke atas 433,000 orang dewasa bagi meneliti kaitan antara kesihatan dengan tabiat tidur malam, hasil tinjauan tersebut mendapati mereka yang tidur lewat dan bangun lewat 10 peratus lebih berkemungkinan meninggal dunia lebih awal berbanding orang yang bangun awal pagi.

Risiko menghidap penyakit kencing manis juga lebih tinggi.

HARAPAN BAGI SI 'BURUNG HANTU'

Sekalipun demikian, mereka yang tidur lewat malam seperti Tan masih ada harapan.

Minggu lalu Universiti Hong Kong China (CUHK) dan Universiti Hong Kong mendedahkan hasil kajian yang mendapati proses menyuluh lampu terang pada individu "burung hantu" boleh mengurangkan kemurungan dengan mengubah ritma sirkadian atau jam biologi mereka. Ia bukan sahaja mempengaruhi tidur tetapi juga mood, prestasi minda dan banyak fungsi fisiologi dan endokrin.

Pasukan penyelidik itu merekrut 93 pesakit yang mengalami kemurungan, yang semuanya tidur sekitar pukul 2.00 pagi dan bangun pukul 10.00 pagi.

Separuh daripada para pesakit itu disuluh cahaya terang yang meniru cahaya semula jadi di luar sebaik sahaja mereka bangun, selama 30 minit setiap hari selama lima minggu.

Lagi separuh pesakit, dalam kumpulan yang dikawal, disuluh cahaya yang malap sedikit berbanding kumpulan pertama tadi.

Lebih 60 peratus pesakit yang melalui terapi cahaya terang itu menunjukkan peningkatan yang ketara pada gejala mereka.

Mereka juga memberi tindak balas yang lebih baik terhadap ubat mereka.

Dapatan tinjauan tersebut diterbitkan dalam jurnal Psychological Medicine, menurut SCMP. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan