Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sukar ajak warga emas melancong? Cuba 10 tip ini, pasti lancar percutian anda!

 Setiap kali musim cuti sekolah datang menjelang, kanak-kanak pastinya tidak sabar untuk pergi bercuti

Anggaran Waktu Membaca:
Sukar ajak warga emas melancong? Cuba 10 tip ini, pasti lancar percutian anda!

Gambar hiasan. (Gambar: Jean-Christophe Verhaegen/AFP)

Diterbitkan : 05 Oct 2019 10:09PM Dikemas Kini : 05 Oct 2019 10:18PM

LONDON: Setiap kali musim cuti sekolah datang menjelang, kanak-kanak pastinya tidak sabar untuk pergi bercuti. Bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal bersama nenek dan datuk masing-masing, ibu bapa mereka harus mengambil kira keadaan kesihatan mereka sebelum membawa mereka bercuti sekeluarga.

Justeru, bagi sesetengah orang ia mungkin sesuatu yang payah dan memilih untuk tidak pergi bercuti langsung ataupun, memutuskan untuk tidak mengajak orang tua mereka.

Ini antara 10 tip bagi menyenangkan anda apabila membawa warga emas melancong ke luar negara:

1) Destinasi

Pemilihan destinasi yang ingin dikunjungi adalah perkara terpenting dalam merancang tempat percutian. Anda perlu membuat sedikit kajian tentang negara yang menjadi pilihan dengan mengambil kira faktor musim, tempoh masa penerbangan dan lokasi-lokasi menarik.

2) Ajak ahli keluarga

Sebaiknya ajak seorang atau dua daripada ahli keluarga untuk turut serta. Ini bagi memudahkan pergerakan dan kelancaran semasa melancong, di mana anda boleh bergilir-gilir untuk menjaga ibu bapa, contohnya apabila menolak kerusi roda.

3) Penerbangan tanpa henti

Seelok-eloknya, pilih penerbangan langsung, tanpa perlu tukar pesawat. Ini bagi mengelakkan kemungkinan ‘terlepas’ penerbangan sambungan, selain mengurangkan pembaziran masa.

4) Diskaun

Ada penerbangan yang menawarkan diskaun untuk warga emas. Guna sebaiknya peluang ini untuk mempertimbangkan pemilihan destinasi anda.

5) Waktu penerbangan

Pilih waktu penerbangan yang sesuai. Sesetengah ibu bapa khususnya yang berusia 60 tahun ke atas mudah berasa penat. Penerbangan pada awal pagi mungkin kurang sesuai.

6) Ubat-ubatan

Ini merupakan pertimbangan penting lebih-lebih lagi bagi ibu bapa yang bergantung kepada ubat-ubatan. Pastikan anda membawa bekalan ubat-ubatan yang cukup, seperti panadol, plaster, krim pelembap, minyak sapu dan sebagainya.

7) Pakaian

Jika anda melancong ke negara empat musim, pastikan pakaian yang dibawa untuk ibu bapa adalah pakaian yang bersesuaian. Pakaian yang tidak sesuai boleh menyebabkan anda atau ibu bapa jatuh sakit akibat perubahan cuaca.

8) Kemudahan

Gunakan sebaiknya kemudahan yang disediakan, contohnya barisan keutamaan untuk warga emas ketika di lapangan terbang, kerusi roda dan sebagainya.

9) Hotel

Usah terlalu berkira untuk menempah hotel yang selesa untuk ibu bapa. Pilih hotel yang menyediakan pelbagai kemudahan. Seeloknya, pastikan hotel yang ditempah kelak mempunyai jarak yang tidak terlalu jauh dengan lokasi-lokasi yang ingin dikunjungi.

10) Rancangan percutian mesra warga emas

Lakarkan rancangan percutian anda sebelum anda berangkat. Ini bagi memudahkan anda membuat anggaran waktu bagi melancarkan pergerakan. Jangan lupa, pastikan lokasi yang ingin dikunjungi kelak adalah lokasi ‘mesra warga emas’.  

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan