Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subway akur ada 'kebimbangan awal' pensijilan halal

Meskipun ramai menyuarakan sokongan atas keputusan rangkaian restoran sanwic tersebut, sebilangan pula membantah kerana ia bermakna Subway tidak lagi menyajikan hidangan yang mempunyai daging babi kegemaran mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Subway akur ada 'kebimbangan awal' pensijilan halal

Gambar fail seorang kakitangan di restoran Subway (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 01 Sep 2018 12:09PM Dikemas Kini : 01 Sep 2018 12:19PM

SINGAPURA: Apabila Subway mengumumkan secara rasmi pada petang Jumaat (31 Ogos) bahawa ia sudah mendapat pensijilan halal MUIS, reaksi di wadah online amat tegang.

Meskipun ramai menyuarakan sokongan atas keputusan rangkaian restoran sanwic tersebut, sebilangan pula membantah kerana ia bermakna Subway tidak lagi menyajikan hidangan yang mempunyai daging babi kegemaran mereka.

Namun ini sudah dijangkakan oleh syarikat tersebut. Dalam satu wawancara bersama Mediacorp sebelum pengumuman pada Jumaat, Pengarah Subway bagi Asia Tenggara Encik Samad Mohd Shariff berkata "kebimbangan awal dijangkakan" berhubung pensijilan halal.

"Kami menghormati semua pelanggan. Tentu akan ada perbezaan pendapat, terutamanya dengan adanya media sosial, namun kami yakin mendapatkan pensijilan halal adalah keputusan tepat untuk perniagaan," kata Encik Shariff.

Menurutnya lagi, apabila Subway mengumumkan pada Mac bahawa ia tidak lagi menghidangkan produk dengan daging babi, terdapat "maklum balas awal" membantah keputusan tersebut. Namun Encik Shariff menegaskan ia sudah reda dan syarikatnya yakin pihak-pihak yang lantang suarakan bantahan dan mengancam untuk melanggani tempat lain, boleh dipikat semula.

"Apabila para pelanggan menyedari bahawa kami mengekalkan mutu tinggi, kesegaran dan rasa yang sama, saya yakin lambat laun mereka akan kembali untuk menikmati Subway.

"Tentunya akan ada kebimbangan awal tentang keputusan kami. Saya ingin memberi jaminan bahawa kami melalui proses yang amat teliti untuk pastikan mutu produk (kekal tinggi seperti dahulu," kata Encik Shariff.

'SELURUH SINGAPURA BOLEH BELI DARI KAMI'

Encik Shariff menegaskan tujuan Subway mendapatkan pensijilan halal adalah atas dasar inklusif, sambil menambah bahawa manfaat utama adalah semakin ramai orang boleh menikmati makanan yang dihidangkan.

"Sebaik sahaja kami diberi sijil halal, hampir seluruh Singapura boleh beli dari kami," katanya.

"Paling penting adalah majoriti penduduk di Singapura dapat menikmati Subway - pasti ada yang citarasanya berbeza, namun kami kini dapat dilanggani sebahagian besar Singapura."

Menurut Encik Shariff, bahagian proses yang mengambil "masa agak panjang" adalah bagi memastikan produk daging syarikat itu memenuhi ketetapan MUIS.

Subway perlu menggunakan bahan alternatif bagi beberapa sanwicnya. Sebagai contoh, produk protein dalam hidangan Cold cut trio, Meatball marinara melt dan Steak and Cheese semua digantikan dengan barangan halal.

Daging ayam atau lembu pula menggantikan isi sanwic daging babi atau bacon.

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi Subway dalam keputusannya untuk mendapatkan sijil halal, Encik Shariff berkata: "Mana-mana proses berskala sebesar ini pastinya akan ada cabaran. Namun pada saya, cabarannya kecil, tidak besar.

"Secara amnya kami mengekalkan matlamat bahawa mutu produk perlu dikekalkan. Kami perlu lulus proses pematuhan halal MUIS, dan kami berjaya melakukannya," kata beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan