Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Suami isteri ini hasilkan mentega ‘artisan’ tiga rasa bagi pengguna Muslim

Bagi anda yang ingin menikmati makanan ‘artisan’ atau buatan sendiri di rumah, anda sudah pasti akan tertarik dengan pilihan mentega tiga perisa yang dihasilkan pasangan suami isteri Cik Nur Halimah dan Encik Muhammad Najib.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri ini hasilkan mentega ‘artisan’ tiga rasa bagi pengguna Muslim

(Gambar: Instagram/The Good Fat)

SINGAPURA: Bagi anda yang ingin menikmati makanan ‘artisan’ atau buatan sendiri di rumah, anda sudah pasti akan tertarik dengan pilihan mentega tiga perisa yang dihasilkan pasangan suami isteri Cik Nur Halimah dan Encik Muhammad Najib.

Perniagaan dari rumah, The Good Fat, memasarkan mentega buatan sendiri menerusi laman Instagram @the.goodfat.

(Gambar: Instagram/The Good Fat)

TIGA PERISA LAIN DARIPADA YANG LAIN

The Good Fat menghasilkan tiga perisa mentega yang benar-benar lain daripada yang lain, iaitu: Kombu, Black Garlic (bawang hitam) dan Spiced Miso (Miso pedas).

Menurut Instagram Story The Good Fat, perisa rumpai laut Kombu menggandingkan rasa Umami yang sering didapati dalam hidangan sup Jepun dengan rasa lemak keju. Mentega Kombu boleh disapu pada roti atau dinikmati dengan biskut atau kerepek.

Bawang Hitam merupakan bahan yang jarang sekali digunakan dalam masakan, apatah lagi sebagai perisa mentega. Ini kerana bawang hitam dihasilkan dengan memanaskan bawang putih sehingga berminggu-minggu lamanya.

Menurut The Good Fat, mentega bawang hitam mempunyai rasa lemak berkrim lagi 'berasap' dengan rasa manis. Ia boleh digunakan untuk memperkayakan rasa pelbagai makanan seperti roti bakar, daging, makanan laut, kentang atau pasta meskipun ia mempunyai rasa yang dikatakan “rumit”.

Mentega berperisa Spiced Miso pula mengadaptasi perasa tradisional Jepun yang dihasilkan dengan menapaikan kacang soya dengan garam, kulat koji dan bahan-bahan lain seperti beras atau rumpai laut.

Dalam catatannya, The Good Fat mengongsi resepi kupang yang ditumis dengan bawang Jepun dan stok ayam dan kemudian disalut dengan mentega Spiced Miso.

(Gambar: Instagram/The Good Fat)

ANEKA PERISA HASIL R&D SEMASA CIRCUIT-BREAKER

Bagi kedua-dua pengasas bersama The Good Fat, masa sukar tidak menghambat usaha menjayakan perniagaan mereka.

Tidak lama selepas The Good Fat diasaskan pada lewat Mac tahun ini, langkah 'circuit breaker' bagi membendung penularan COVID-19 mula dikuatkuasakan, termasuk larangan ke atas penghantaran barangan dari premis perniagaan ke rumah pelanggan.

Menurut rencana The Halal Eater, Cik Nur Halimah memanfaatkan masa lapang itu untuk melakarkan strategi pemasaran dan melakukan kajian dan pengembangan (R&D) bagi mengekalkan daya tarikan produk mereka.

Ini meskipun beliau dan suaminya Encik Muhammad Najib tidak mempunyai pengalaman mahupun latihan dalam industri makanan dan minuman sebelum itu, lapor The Halal Eater.

(Gambar: Instagram/The Good Fat)

Kedua-dua pengasas didorong oleh minat mendalam terhadap makanan artisan namun pilihan Halal bagi produk sedemikian di pasaran amat terhad.

Berkat kecekalan dan daya inovasi mereka, The Good Fat berjaya menawan hati para pelanggan yang ingin memperkaya rasa masakan atau roti buatan sendiri, atau menggandingkannya dengan makanan hasil peniaga-peniaga dari rumah yang lain.

Laman Instagram The Good Fat bukan sekadar menjadi wadah untuk mengiklankan produk mentega sendiri. Malah ia disemarakkan dengan pelibatan para pelanggan yang mengirim saranan resepi mereka yang tersendiri kepada The Good Fat yang kemudian dikongsi dengan para pengikut lain.

Mentega The Good Fat begitu versatil kegunaannya sehinggakan boleh digandingkan dengan roti Naan, mi kuning atau burger.

Bagi anda yang ingin berjinak-jinak menghasilkan atau melanggani peniaga dari rumah yang menawarkan sajian ‘artisan’, anda boleh mengunjungi laman Instagram The Good Fat (@the.goodfat) untuk mendapat ilham atau akses kepada pautan lelaman peniaga-peniaga dari rumah yang lain.

Setiap mangkuk mentega dijual pada harga antara S$15 hingga S$18 dan khidmat penghantaran ke merata negara ditawarkan pada harga S$10. 

Sumber : BERITA Mediacorp/Agensi berita/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan