Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Suami isteri Indonesia ini berbasikal 12,000 kilometer akhirnya tiba di Makkah

Kini ramai orang Islam mempunyai "jalan mudah" untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan menjalankan ibadah umrah dengan adanya khidmat penerbangan. Malah, para jemaah yang tinggal tidak jauh daripada Makkah atau Madinah boleh memilih untuk menaiki bas ataupun kereta.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri Indonesia ini berbasikal 12,000 kilometer akhirnya tiba di Makkah

(Gambar: Abah Preman Tobat/ Facebook)

Diterbitkan : 16 Feb 2018 11:58PM Dikemas Kini : 17 Feb 2018 02:09AM

MAKKAH: Kini ramai orang Islam mempunyai "jalan mudah" untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah dan menjalankan ibadah umrah dengan adanya khidmat penerbangan. Malah, para jemaah yang tinggal tidak jauh daripada Makkah atau Madinah boleh memilih untuk menaiki bas ataupun kereta.

Namun, semua kaedah itu bukan menjadi pilihan bagi sepasang suami isteri dari Indonesia. Hakam Mabruri dan isterinya, Rofingatul Islamiah mengayuh basikal - ya basikal, bukan motosikal - untuk ke Makkah.

Hakikatnya, mereka berdua berkongsi minat yang sama, iaitu mengembara. Berbekalkan minat itu, mereka memilih untuk mengayuh basikal merentas tujuh negara yang meliputi jarak 12,000 kilometer untuk ke Makkah, di Arab Saudi. Menurut laporan Saudi Gazette, perjalanan mereka memakan masa selama setahun.

(Gambar-gambar: Hakam Mabruri/ Facebook)

Sebelum ini, seorang belia Indonesia pernah berjalan kaki selama 12 bulan dari Indonesia ke Makkah, untuk mengerjakan ibadah haji.

Pasangan suami isteri dari Malaysia, Ahmad Mohd Isa dan Noradilah Mohd Sapie, tahun lalu juga berjaya menamatkan pengembaraan berbasikal dari Masjid Negara Malaysia ke Arab Saudi, dengan mengambil masa lebih setahun lalu.

BERBEKAL BASIKAL KEMBAR, BERTOLAK PADA 17 DISEMBER 2016

Sebelum mereka memulakan perjalanan mereka pada 17 Disember 2016, pasangan itu melakukan persiapan di rumah mereka di Malang selama satu setengah bulan.

Pasangan yang kedua-duanya berusia 35 tahun itu mereka sendiri basikal idaman mereka dan menyerahkan idea mereka kepada sebuah kilang. Basikal itu mempunyai dua tempat duduk, tempat letak bagasi dan memerlukan dua orang untuk mengayuhnya.

Pasangan tersebut menerima sokongan daripada pelbagai pihak termasuk beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO). Encik Mabruri dan Cik Rofingatul berharap perjalanan mereka boleh menjadi satu bentuk mesej damai Islam kepada agama lain yang mereka temui di negara-negara yang dilalui mereka.

BASIKAL MENJADI SIMBOL RUMAH TANGGA

Encik Mabruri berkata mereka memilih basikal kerana ia simbol keharmonian dalam sebuah rumah tangga. Untuk maju dalam kehidupan, sepasang suami isteri perlu bertolak ansur.

"Basikal ini mengajar orang untuk terus meneruskan perjalanan dan mengharungi cabaran hidup. Untuk naik, mereka perlu bekerja keras dan apabila di jalan yang menjunam di mana mereka menghadapi cabaran, mereka perlu memastikan semuanya dalam kawalan. Falsafah ini berguna ketika berdepan dengan cabaran hidup juga," kata Encik Mabruri seperti yang ditukil Saudi Gazette.

Dengan memilih untuk duduk di bahagian depan basikal dan membiarkan isterinya duduk di belakangnya, matlamatnya sebenarnya adalah untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang imam, seperti dalam ajaran Islam.

Encik Mabruri tidak mengambil masa yang lama untuk menyakinkan isterinya, yang akan menjadi seorang pakar psikologi, untuk melakukan perjalanan ke Makkah dengan berbasikal. Menurut Encik Mabruri, isterinya sudah lama mengetahui sifatnya yang suka mengembara di Indonesia mahupun di luar negara.

AKAN TIMANG ANAK PERTAMA

Bagaimanapun, kali ini, beliau memutuskan untuk mengajak isterinya. Perjalanan ini menyeronokkan bagi pasangan itu. Lebih menarik lagi, mereka akan menimang cahaya mata mereka yang pertama dalam beberapa bulan lagi, lapor Saudi Gazette.

Mereka bercadang untuk memberi nama Mufakeh kepada bakal anak mereka yang membawa maksud "pejuang" selepas mendapat inspirasi daripada pengembaraan mereka.

Sebelum memulakan perjalanan, Encik Mabruri sudahpun melakukan kajian tentang budaya rakyat-rakyat negara yang mereka lalui. Beliau juga mendapat latihan supaya dapat memanfaatkan teknologi GPS dan 'Google Maps' supaya tidak tersesat.

Bukan itu sahaja, beliau juga mempelajari cara memasak dan cara memperbaiki basikal yang rosak. Encik Mabruri percaya, pengembaraan ini juga satu perjalanan 'spiritual' atau rohani yang mampu mengajar para individu supaya menjadi lebih tabah dan pasrah terhadap ketentuan Allah, selain menjalin hubungan lebih kukuh denganNya.

(Gambar: Abah Preman Tobat/ Facebook)

INGIN BERBASIKAL UNTUK MENUNAIKAN IBADAH HAJI PULA

Perjalanan Encik Mabruri, yang bermula di Indonesia, membawanya melalui negara seperti Malaysia, Thailand, Myanmar dan India. Beliau cuba sedaya upaya untuk mengelak negara-negara yang sedang dilanda konflik. Pasangan itu melawat ke Jordan dari India dan kemudian ke Mesir dan akhirnya ke Arab Saudi.

Sepanjang perjalanan, pasangan itu menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan di kawasan selatan Thailand dan kemudian menyambut Aidilfitri di India. Selepas itu, mereka memulakan perjalanan ke Amman di mana mereka menyambut Aidiladha.

Ketika ditanya bagaimana mereka berkomunikasi dengan orang-orang yang ditemui mereka, Encik Mabruri berkata: "Kami menggunakan bahasa isyarat dan ikut bicara hati".

Pasangan itu bercadang untuk kembali ke Indonesia melalui khidmat penerbangan selepas menunaikan ibadah umrah. Sememangnya, pasangan itu merupakan pasangan Indonesia pertama yang menjejakkan kaki di Makkah dengan berbasikal.

Mereka juga berharap untuk melakukan pengembaraan seperti ini sekali lagi, tapi untuk menunaikan ibadah haji pada masa akan datang. Buat masa terdekat pula, Encik Mabruri bercadang untuk mengembara ke New Zealand dan Australia. 

LAPORAN LAIN: 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan