Images
  • stb pokemon
    STB bekerjasama dengan syarikat pembangunan permainan Pokemon Go. (Gambar: STB)

STB lancar kerjasama Pokemon Go bagi rancakkan kempen SingapoRediscovers

SINGAPURA: Para penggemar dan pemain Pokemon Go di Singapura kini disediakan sehingga 300 lokasi baru di mana mereka boleh bertemu dan 'menangkap' Pokemon atau terlibat sama dalam 'serbuan maya' dalam usaha menyokong dan merancakkan pelancongan tempatan.

Ini menyusuli kerjasama antara Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Niantic, pembangun Pokemon Go di Amerika Syarikat, sebagai sebahagian daripada kempen SingapoRediscovers, umum STB dalam kenyataan medianya hari ini (12 Nov).

"Sedang mereka memburu Pokemon kegemaran mereka di merata Singapura, kami berharap para pemain akan meneroka pelbagai daerah, menemui 'permata tersembunyi' dan menyokong perniagaan tempatan sambil mematuhi langkah pengurusan selamat," kata Pengarah Jenama STB Lim Shoo Ling.

Lokasi-lokasi terbaru Pokemon Go atau PokeStops dan Gyms boleh didapati di hotel, tempat daya tarikan, kedai runcit, kedai makanan dan minuman serta pondok penjualan tiket wisata merata Singapura.

Ia ditempatkan di 10 daerah: Changi dan East Coast, Chinatown, Daerah Sivik, Joo Chiat dan Katong, Kampong Gelam, Little India, Mandai dan Kranji, Marina Bay, Orchard Road dan Sentosa.

Kempen SingapoRediscovers dilancarkan pada bulan Julai untuk menggalak rakyat Singapura supaya menyokong pelancongan dan perniagaan tempatan.

Inisiatif itu dilancarkan sedang jumlah pelancong dan perbelanjaan pelancongan di Singapura menjunam menyusuli sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19.

Sebagai sebahagian daripada kempen itu, STB pada bulan September juga mengumumkan bahawa rakyat Singapura yang berusia 18 tahun ke atas akan menerima baucar pelancongan bernilai S$100.

- CNA/RU/ru

Top