Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Songket tenunan asli Melayu - Dapatkah ia terus hidup?

Sebut sahaja songket, pasti ramai yang mengingati tenunan dari Pantai Timur, Malaysia - iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebut sahaja songket, pasti ramai yang mengingati tenunan dari Pantai Timur, Malaysia - iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Songket Wan Manang di Terengganu antara yang menjadi buruan para penggemar fabrik tenunan unik itu.

Dari kerabat diraja, orang kenamaan hinggalah rakyat jelata, ramai yang jatuh cinta dengan keaslian dan kehalusan tenunan songket buatan Wan Manang Wan Awang.

 (Gambar: Petikan gambar dari video)

SIAPA WAN MANANG WAN AWANG?

Wan Manang ialah seorang Adiguru yang masyhur dengan pembuatan songket asli di Terengganu. Beliau mula mendalami ilmu tenunan kira-kira 40 tahun dahulu.

Sebagai generasi ketiga penenun songket dalam keluarganya, iltizam Wan Manang untuk memelihara warisan tradisi Melayu ini terus membara.

Wan Manang Wan Awang. (Gambar: Petikan gambar dari video)

Adiguru songket Wan Manang Wan Awang.

Kini, minat yang sama terbit dalam diri lima anaknya yang turut membantu menguruskan perniagaan songket keluarga ini.

"Anak-anak saya memang terlibat secara langsung dalam perusahaan tenun songket ini. Ini industri kotej, lebih kepada keluarga. Di samping itu adik saya pun memang aktif dalam tenunan songket ini selain daripada isteri saya.

"Jadi saya tak hairanlah kalau kesinambungan ini akan datang berterusan hingga ke anak cucu saya," cerita Wan Manang kepada BERITAmediacorp.

Bak kata Wan Manang sendiri, selagi ada orang Melayu, selagi itu akan ada songket.

Petikan gambar dari video.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, permintaan bagi kain songket "tidak ada penurunan", kata Wan Manang.

Contohnya, sekitaran pandemik yang menghalang masyarakat daripada keluar berinteraksi apatah lagi untuk menganjurkan pelbagai majlis yang biasanya menjadi masa terbaik untuk menggayakan songket.

"Dia dari masa ke semasa dia akan meningkat. Kalau ada masa-masa tertentu dia akan stabil. Kalau turun pun sikit sahaja, tak akan turun menjunam.

"Walaupun sekarang ini ekonomi kita tidak berapa elok dari segi PKP, walaupun kita bersaing hebat dengan songket import daripada India, tenunan mesin, juga Pakistan. Permintaan untuk songket tempatan buatan tangan memang tidak akan turun sampai bila-bila selagi ada orang Melayu," ujar Wan Manang dengan yakin.

SONGKET "RATU SEGALA FABRIK"

Ternyata, benang-benang emas, perak dan berwarna-warni yang ditenun pada fabrik sutera atau kapas untuk dijadikan songket, mewujudkan kilauan yang pasti menawan hati.

Maka tidak hairanlah, apabila Wan Manang menyifatkan songket sebagai "ratu segala fabrik".

Namun, proses menenun songket sangat rumit dan boleh memakan masa sehingga sembilan bulan hanya untuk menyiapkan sehelai sahaja.

Adiguru songket Wan Manang Wan Awang menunjukkan songket tenunan asli di Terengganu. (Gambar-gambar: Petikan dari video)

Cabaran itu merumitkan lagi usaha menarik golongan muda untuk mempelajari seninya.

Lantaran itu, salah seorang kakitangan penenun songket Wan Manang, Muhammad Amin Ahamad Saat, memberitahu BERITAmediacorp bahawa penting untuk mempunyai minat dan bakat untuk bertahan dalam industri tenunan itu.

"Industri ini memang agak keterbelakang sedikit. Kurang peminatnya dan golongan muda pun tak ramai yang meminati. Sebab itu saya ambil inisiatif untuk saya, diri saya sendiri saya belajar dan saya meneruskan legasi untuk warisan. Kena ada minat dan bakat. Baru kita dapat bertahan dalam bidang ini," kata Encik Muhammad Amin.

Salah seorang kakitangan penenun songket Wan Manang, Muhammad Amin Ahamad Saat. (Gambar: Petikan gambar dari video)

Kakitangan penenun songket Wan Manang, Muhammad Amin Ahamad Saat.

USAHA LESTARI SONGKET TENUN DI PERINGKAT NASIONAL

Institut Kraf Negara (IKN) di Malaysia ditubuhkan pada 2001 untuk mewujudkan sistem pengajian kraf secara berstruktur - termasuk seni kraf tenunan.

Ia antara usaha untuk terus memartabatkan seni dan warisan agak tidak hilang ditelan zaman.

Institut Kraf Negara di Malaysia ditubuhkan pada 2001. (Gambar: Petikan gambar dari video)

Institut Kraf Negara Malaysia ditubuhkan pada 2001. 

Cara ia memancing minat golongan muda supaya menimba kemahiran seni tenunan, termasuk mewujudkan hala tuju laluan kerjaya dan menunjukkan potensi pasaran yang menanti para penuntutnya selepas tamat pengajian.

"Supaya mereka nampak, kalau saya masuk bidang ini, saya akan raih sesuatu daripada bidang ini. Jadi sebagai perbadanan kita akan cuba memartabatkan industri songket dan tenun ini. Satu tahap yang begitu tinggi.

"Bagi mereka yang masuk dalam industri itu, dia tahu dia buat barang yang bermutu tinggi dan yang penting adalah dari segi pasaran itu ada," jelas Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail kepada BERITAmediacorp.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail. (Gambar: Petikan gambar dari video)

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Hakikatnya, usaha melestarikan warisan songket, tidak dapat lari daripada mengikut peredaran masa.

Ini kerana pasaran, pengguna dan citarasa sudah berbeza.

"Contohlah kita buat satu songket mungkin tahun 1900,sedangkan pasaran sekarang 2021. Dulu mungkin orang suka warna hitam, benang emas, itu saja. Tapi orang tahun 2021 dia nak kain macam benang firus, dia nak warna hijau. Jadi kalau kita kata tidak boleh, songket ini saja. Kalau begitu cara dia maka kita tak berubah dan benda itu akan mati," ujar Encik Ibrahim.

Maka itu, meski sudah wujud dalam dunia Melayu sejak abad ke-13 lagi, daya tarikan songket tidak pernah sirna.

Songket Dastar Sabah. (Gambar ihsan: Institut Kraf Negara)

Songket Dastar Sabah. (Gambar: Kraftangan Malaysia)

Apabila disesuaikan mengikut keinginan pasaran dan kecenderungan masyarakat, permintaan bagi songket tenunan asli dengan sendiri akan meningkat dan golongan muda dapat dipancing untuk sama-sama melestarikannya menerusi kemahiran menenun.

Songket Sarawak. (Gambar ihsan: Institut Kraf Negara)

Songket Sarawak.  (Gambar: Kraftangan Malaysia)

Malah di Malaysia sekarang, kraf tenunan diluaskan pula ke Sabah dan Sarawak untuk mengembangkan industri itu sekali gus mempelbagaikan jenis warisan songket.

"Songket ini satu industri yang sangat bagus. Di Terengganu ramai pembikinnya, ada dia punya usahawan-usahawan. Adigurunya pun dari Terengganu.

"Jadi, kalau benda itu sangat bernilai, Mengapa tidak kita kongsi dengan negeri lain. Oleh kerana itu, usaha saya sekarang adalah untuk buat di Sabah, di Sarawak kerana kedua-dua negeri itu mempunyai identiti tersendiri," kata Encik Ibrahim. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan