Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Simpan tablet, telefon bijak anda! Mari cuba kegiatan lasak cuti sekolah ini

Anak-anak anda terlalu asyik bermain permainan komputer dan menggunakan telefon bijak mereka? Apa kata cuti sekolah ini, anda mengalihkan tumpuan mereka dari kaca skrin kepada kegiatan di luar rumah?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anak-anak anda terlalu asyik bermain permainan komputer dan menggunakan telefon bijak mereka? Apa kata cuti sekolah ini, anda mengalihkan tumpuan mereka dari kaca skrin kepada kegiatan di luar rumah?

Jika anda berminat untuk melakukan demikian, BERITAmediacorp menyarankan aktiviti-aktiviti berikut bagi seisi keluarga sempena cuti sekolah hujung tahun ini:

CABAR DIRI PANJAT BALAPAN BERHALANG

Anda sekeluarga mahu mencabar diri menawan balapan berhalang pada ketinggian antara 3 hingga 6 meter?

Terletak di Taman Kolam Air Bedok, Forest Adventure menyediakan tiga balapan untuk pelbagai kumpulan usia - kanak-kanak, belia dan juga orang dewasa.

Kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 9 tahun, boleh membina keyakinan diri menerusi Kids Course dengan 22 balapan berhalang dan dua ‘Zip Lines’ yang ditawarkan.

Bagi pengunjung dengan ketinggian 1.35 meter atau lebih, Junior Course pasti akan membuat mereka rasa gayat tetapi puas hati. Apakan tidak, selepas selesai mengharungi 26 balapan berhalang, mereka akan merentasi kolam air dengan ‘Zip Line’ sepanjang 300 meter!

Namun, bagi yang lebih lasak, anda boleh menyahut cabaran Grand Course, khas bagi mereka dengan ketinggian 1.5 meter atau lebih. 44 balapan berhalang menanti anda, termasuk tiga ‘Zip Line’ gergasi.

“Saya memang suka meluangkan masa dengan anak saya dan antara kegiatan yang kami boleh lakukan selain bermain telefon bijak adalah kegiatan lasak dan menyeronokkan (seperti ini),” kata Encik Joseph Koh, 46 tahun yang ke sana untuk mencuba daya tarikan tersebut bersama anaknya, John, 8 tahun.

Encik Joseph Koh dan anaknya John Koh mencuba Junior Course. (Gambar: BERITAmediacorp)

Anda juga tidak perlu bimbang tentang keselamatan. Ini kerana keselamatan menjadi keutamaan para kakitangan Forest Adventure, menurut penolong pengurusnya Siti Nurhuda Zamrot.

“Pertama, bila mereka sampai, jurulatih kami akan memberikan taklimat tentang keselamatan. Mereka juga akan menggunakan 'harness' dan kapi yang akan sentiasa terikat dengan tali keselamatan - tidak perlu dibuka sampai mereka habis aktiviti tersebut. Dan juga untuk memberi keyakinan, para jurulatih kami juga mempunyai lesen BCA (Penguasa Bangunan dan Binaan),” ujar beliau.

Untuk butiran lanjut, sila lungsuri laman https://forestadventure.com.sg/

LEBIH DARIPADA BERMAIN BOLA SEPAK

Jika anak anda berminat bermain bola sepak, terdapat juga program-program bagi mengasah bakat mereka seperti yang bakal dianjurkan Akademi Bola Sepak F17 dari 19 hingga 21 November dan 3   hingga 5 Disember ini untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 13 tahun.

“Mereka dapat mempelajari berbagai-bagai aspek tentang bola sepak. Misalnya sebagai penyerang – bagaimana untuk menjaringkan gol. Penjaga gawang – mereka akan belajar perkara asas seperti menepis bola dan sebagainya.  Dan juga secara keseluruhannya mereka akan mempelajari hal-hal lain seperti bagaimana untuk menendang bola, bagaimana untuk berhadapan dengan pihak lawan, bagaimana untuk berkomunikasi,” dedah Encik Muhammad Zaidi Zainudin, salah seorang jurulatih F17.

Salah seorang daripada mereka yang pernah menyertai program tersebut ialah Zedef Arra Harun Arra Shid, 8 tahun.

“Saya belajar cara menggelecek bola, menghantar bola dengan tepat, mengelak bola daripada memasuki gol dan cara menjaringkan gol,” kata kanak-kanak yang sudah dua tahun mengikuti latihan di akademi tersebut.

Zedef Arra Harun Arra Shid menggelecek bola. (Gambar: BERITAmediacorp)

Malah, para ibu bapa turut berkongsi bahawa mereka mendapati anak-anak mereka yang berlatih di sana menimba lebih daripada setakat kemahiran bermain bola sepak. “Jurulatih-jurulatih di sini bukan saja melatih mereka dari aspek bola sepak saja. Jika ibu bapa berkongsi bahawa anak-anak mereka enggan belajar, para jurulatih akan membantu menggalak anak-anak fokus kepada pelajaran mereka. Selain itu, anak-anak juga lebih berdisiplin. Mereka berlatih dengan disiplin. Mereka datang untuk latihan tepat pada masa dan sebagainya,” kata Encik Hafiz Mohamed Hani.

Encik Muhamed Fuad A Rahman pula menceritakan bagaimana latihan-latihan di akademi tersebut berhasil membantu anaknya yang pemalu. “Program ini banyak membantunya (anak beliau). Membantunya dari segi keyakinan diri dan cara meluahkan perasaan. Dulu, dia malu-malu di khalayak ramai tetapi melalui program ini, dia lebih yakin dan ia membantu kehidupannya,” kata beliau.

Pasukan U-6 bersama para jurulatih. (Gambar: BERITAmediacorp)

Untuk butiran lanjut, sila ke laman http://www.f-17.org/

TEMBAK-MENEMBAK ALA PERMAINAN KOMPUTER

Permainan komputer tembak-menembak memang popular dalam kalangan kanak-kanak dan belia. Bayangkan dapat ‘berperang’ antara satu sama lain menggunakan senapang laser atau Laser Tag - pastinya ramai yang tertarik.

Tag Team yang terletak di East Coast Park menawarkan Laser Tag bagi seisi keluarga tanpa mengira usia. Malah, ia juga menyediakan khidmat menganjurkan permainan tersebut di mana-mana jua, mengikut permintaan anda.

Para peserta sedang diberi taklimat oleh kakitangan Tag Team. (Gambar: BERITAmediacorp)

Selain itu, Tag Team juga lain daripada yang lain kerana ia menawarkan pelbagai misi kepada para pemain Laser Tag seperti misi menewaskan robot dalam RoboTag dan menggugurkan dron dalam DroneTag.

“Kami adalah syarikat Laser Tag tetapi apa yang membuat kami unik adalah aktiviti seperti DroneTag dan RogoTag. DroneTag adalah misi di mana pemudah cara akan menerbangkan dron dan para pemain pula akan cuba menembak dron tersebut. RoboTag pula melibatkan sebuah robot yang akan bergerak sana sini dan para pemain harus menembaknya,” kata Pengurus Tag Team Kenny Lim.

Selain itu, para pengunjung juga boleh menimba ilmu pengekodan komputer melalui program Tag Coding yang bakal dianjurkan sempena cuti sekolah ini. “Kami akan mengendalikan beberapa program. Salah satu daripadanya adalah Tag Coding. Para peserta akan dapat mempelajari tentang pengekodan komputer dan juga bermain (Laser Tag) pada masa yang sama.

“Namun, aktiviti terbaru kami adalah Pertandingan Laser Tag Nerf yang akan diadakan pada 22 November. Dan bagi 20 individu pertama yang mendaftarkan diri, mereka dapat bermain secara percuma!” tambah Encik Kenny sambil menambah bahawa selama enam tahun bekerja di situ, beliau mendapati kanak-kanak dan para belia yang mencuba kegiatan-kegiatan Tag Team mempelajari nilai-nilai penting seperti bekerjasama dan cara berkomunikasi.

Untuk butiran lanjut, sila ke laman https://www.tagteaminc.sg/

BELAJAR BERMAIN KASUT RODA

Anda ingin anak anda menimba kemahiran baru? Jika mereka belum pernah belajar bermain kasut roda ataupun mahu mempertingkatkan kemahiran, perkhemahan anjuran Inlinex mungkin program pilihan anda.

Inlinex di Apex Henderson bukan saja menjual barangan sukan lasak seperti kasut roda, skuter dan papan gelungsur tetapi ia juga menganjurkan bengkel bermain kasut roda. Ini bermakna, tidak kira hujan atau panas terik, anda tetap boleh melakukan kegiatan tersebut.

Gambar: Inlinex

Lebih 500 orang yang berusia antara 4 hingga 40 tahun sudahpun mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan oleh jurulatih-jurulatih bertauliah sama ada melalui sesi beramai-ramai ataupun sesi peribadi.

Sempena cuti sekolah ini, Inlinex bakal menganjurkan program-program yang akan berlangsung sehingga 17 Disember ini bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut.

“Memandangkan kebanyakan mereka dalam fasa pembangunan, mereka akan berpeluang memupuk minat terhadap sesuatu yang baru. Selain itu, mereka juga dapat mempelajari cara mengimbangkan diri dan ini penting semasa bermain kasut roda,” kongsi Encik Sebastian Chew yang sudah lebih setahun menjadi jurulatih di sana.

Tambahnya, ramai ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sana kerana bermain kasut roda bermanfaat bagi otot-otot dan pembangunan otak. Malah beliau juga berkata tubuh cergas dan minda cerdas disebabkan bermain kasut roda membantu prestasi para pelatihnya di sekolah.

Wee Chen Ting (baju hijau) dan adiknya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Hal yang demikian turut dikongsi salah seorang pelatih di Inlinex, Wee Zhen Ting, 13 tahun yang hampir sebulan mengikuti sesi bermain kasut roda di sana. “Saya rasa saya lebih yakin mengimbangkan diri dan ini membantu saya dalam kegiatan lain seperti aktiviti luar darjah saya, iaitu berkanu. Saya rasa saya dapat berkanu dengan lebih baik lagi setelah saya mencuba bermain kasut roda,” kata beliau.

Untuk butiran lanjut, sila kunjungi laman https://www.inlinex.com.sg/

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan