Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Sikap 'sambil lewa' punca penyakit jantung lewat dikesan

Sikap 'denial' atau pemikiran 'ia tidak akan berlaku pada saya' menjadi sebab ramai alami serangan jantung atau angin ahmar kerana tidak ambil langkah pencegahan atau pengesanan awal.

Anggaran Waktu Membaca:
Sikap 'sambil lewa' punca penyakit jantung lewat dikesan

(Gambar hiasan: Pexels)

Diterbitkan : 30 Sep 2019 11:34AM Dikemas Kini : 30 Sep 2019 11:41AM

KUALA LUMPUR: Cara pemikiran 'tidak akan berlaku pada diri sendiri' menjadi antara pendorong penyakit berkaitan jantung kian meningkat dalam masyarakat.

Naib Presiden Yayasan Jantung Malaysia Profesor Sulaiman Osman berkata lebih menarik mentaliti yang dikaitkan dengan sindrom penafian atau 'in denial' itu turut melibatkan golongan profesional termasuk pakar perubatan.

"Doktor yang merawat orang sakit pun ramai yang ada sindrom ini, apatah lagi masyarakat biasa. Bagi golongan profesional, alasan utama adalah mereka 'rasa sihat,' namun hakikatnya golongan ini paling terdedah kepada risiko tekanan dan tidak mempunyai masa untuk bersenam," kata Prof Sulaiman kepada Bernama pada Ahad (29 Sep).

"Lama-kelamaan, sindrom ini bagaikan bom jangka dalam diri mereka yang akhirnya menyebabkan mereka mengalami serangan jantung atau angin ahmar kerana gagal mendapatkan rawatan lebih awal.

"Perlu ada pemikiran yang kita mungkin kena penyakit dan itu membuatkan kita bertanggungjawab sepenuhnya pada kesihatan diri sendiri dengan cara aktif bersenam dan menjaga pemakanan. Jangan sampai kena serangan jantung, baru nak menyesal," katanya ketika ditemui pada majlis, The KL World Heart Day 2019 - Go Red For Women (GRFW).

Sementara itu, Pengarah GRFW Ainon Kuntom berkata Kempen GRFW yang dilaksanakan melalui Yayasan Jantung Negara Malaysia dengan kerjasama Asia World Event dan KL City Art Gallery merupakan kempen kesedaran antarabangsa yang didedikasi khas untuk pencegahan, diagnosis, dan kawalan penyakit kardiovaskular pada wanita.

"Aktiviti yang dijalankan adalah forum kesihatan, pemeriksaan dan saringan kesihatan, zumba serta pameran. Cuma istimewanya hari ini, ia turut melibatkan aktiviti seni seperti melukis bagi menghilangkan tekanan,” katanya.

Kempen julung kali tersebut dihadiri lebih 100 peserta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah bagi memberi peluang kepada wanita memahami pengurusan rumah tangga dengan lebih baik dari segi kesihatan dan kewangan, memandangkan mereka merupakan tunjang utama dalam sesebuah keluarga.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan