Images
  • file mac
    Gambar fail komputer MacBook Pro (Gambar: Reuters)

SIA larang sebahagian MacBook Pro 15-inci dibawa naik pesawat

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) melarang beberapa model lama komputer riba MacBook Pro daripada dibawa dalam penerbangannya selepas Apple menarik balik unit-unit tertentu dengan bateri yang menimbulkan risiko kebakaran.

Para pelancong tidak dibenarkan membawa model yang terjejas sama ada dalam bagasi kabin atau berdaftar sehingga bateri itu disahkan selamat atau digantikan oleh pengeluar, menurut SIA dalam satu kenyataan pada Ahad (25 Ogos).

Apple menyatakan pada Jun ia akan menarik balik "bilangan terhad" unit 15 inci MacBook Pro kerana baterinya mudah menjadi terlalu panas. Unit-unit terjejas dijual antara September 2015 hingga Februari 2017.

"Sila layari laman Program Tarik Balik Bateri MacBook Pro Apple untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sama ada produk anda terjejas, serta pilihan tersedia bagi menggantikan bateri," menurut kenyataan SIA lagi.

Unit-unit yang terjejas oleh langkah penarikan balik pada bulan Jun boleh dikenalpasti dengan nombor siri produk tersebut.

Penarikan balik itu tidak menjejas unit lain atau produk notebook Mac, kata Apple.

Menyusuli penarikan semula itu, Pentadbir Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengharamkan komputer riba tersebut dalam semua penerbangan.

"FAA sedia maklum mengenai bateri yang ditarik balik yang digunakan dalam beberapa komputer riba MacBook Pro Apple," kata jurucakap agensi itu pada 12 Ogos, sambil menambah bahawa agensi itu telah "memaklumkan syarikat penerbangan tentang penarikan balik itu".

- CNA/Reuters/TQ/tq

Top