Images
  • sia plane
    Pesawat Singapore Airlines bersedia untuk membuat pendaratan di Lapangan Terbang Changi pada 14 Ogos 2021. (Gambar: AFP)

SIA lancar Flight Pass, tempah awal penerbangan dengan diskaun tanpa tetapkan tarikh

SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) melancarkan pilihan baru yang dipanggil Flight Pass atau Pas Penerbangan, yang membolehkan penumpang membuat tempahan awal bagi pakej penerbangan.

Pelanggan akan dapat mengikat harga tambang diskaun untuk berbagai penerbangan dan kemudian menempah penerbangan tersebut dalam tempoh 12 atau 18 bulan, tertakluk pada tempat duduk yang ada.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis (25 Nov), SIA menyatakan tempahan di bawah skim tersebut adalah bagi penerbangan SIA antara Singapura dengan negara-negara berikut: Perancis, Itali, Korea Selatan, Sepanyol, Belanda dan United Kingdom.

Syarikat itu menyatakan lebih banyak destinasi akan ditambah secara bertahap-tahap.

Antara enam hingga 120 penerbangan akan disediakan bagi tempahan di bawah skim ini, termasuk penerbangan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), dengan sehingga 30 penumpang Pas Penerbangan pada satu-satu penerbangan.

Penumpang tidak perlu menambah bayaran jika harga penerbangan meningkat, menurut SIA.

Pakej Pas Penerbangan, yang ditawarkan dengan kerjasama penyedia Optiontown yang berpangkalan di Amerika Syarikat, boleh disesuaikan mengikut destinasi, jumlah penerbangan, tempoh perjalanan dan jenis tambang.

Tiket dalam setiap pakej juga boleh dikongsi dengan penumpang lain, kata SIA.

Bilangan maksimum penumpang yang dibenarkan untuk berkongsi Pas Penerbangan akan bergantung kepada bilangan penerbangan yang dipilih dengan seorang penumpang layak untuk membeli sekurang-kurangnya enam penerbangan.

Bagi pas yang merangkumi dua atau lebih penumpang, mesti ada sekurang-kurangnya empat penerbangan bagi setiap penumpang.

Pelanggan boleh membeli dan mengurus pas mereka melalui laman Pas Penerbangan SIA di https://singaporeair.optiontown.com.

- TODAY/TQ/tq

Top