Images
  • Shamsydar Ani main photo
    Shamsydar Ani, Finalis Masterchef S’pura Musim 1, lancar buku masak pertama. (Gambar: Shamsydar Ani/Masterchef S'pore)

Shamsydar Ani, Finalis Masterchef S’pura Musim 1, lancar buku masak pertama

BERITAmediacorp: Jika anda mengikuti pertandingan masakan Masterchef Singapura musim 1, anda pasti masih ingat dengan salah seorang finalisnya ‘Sambal Queen’ (Ratu Sambal) atau nama sebenarnya Shamsydar Ani.

Beliau digelar Ratu Sambal dek kehandalannya membuat rempah sehingga air tangannya cukup rasa dan sedap menjilat jari!


(Gambar: Shamsydar Ani/Masterchef Singapore)

Kini, anda juga boleh memasak ala Ratu Sambal kita ini kerana beliau baru melancarkan buku resepinya yang pertama. Shamsydar juga merupakan finalis pertama Masterchef musim pertama yang mengeluarkan buku resepi.

Koleksi resepinya disifatkan sebagai “dari dapur moden Asia Tenggara” dan Shamsydar memberitahu BERITAmediacorp, beliau memikirkan mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia masakan semasa beliau menulis resepi.

“Buku ini bukan untuk yang sudah handal memasak. Mungkin kalau mereka beli boleh gunakan sebagai panduan saja. Saya memikirkan kawan-kawan saya yang mungkin tidak tahu memasak, mereka yang baru berumah tangga, yang baru dapat rumah. Saya mahu mereka mula memasak. Mungkin juga mereka yang sudah tidak ada idea hendak masak apa dan mahu mencuba resepi baru,” kongsi Shamsydar.


Bubur. (Gambar: Shamsydar Ani)

Resepi-resepi yang dimuatkan dalam buku bertajuk ‘Spices and Lime’ tersebut termasuk hidangan Barat, Mediteranean, Korea dan tentu sekali lauk-pauk Melayu dan juga aneka sambal.

“Tentu sekali ada resepi sambal. Ada satu segmen yang dipanggil ‘I Malay’ (Saya Melayu), di mana saya kongsi resepi hidangan-hidangan Melayu versi saya sendiri, lauk pauk Hari Raya, resepi-resepi yang biasanya mak-mak sahaja ada. Cuma saya tuliskan dalam bahasa Inggeris supaya mudah untuk orang-orang muda,” kata Shamsydar.


Roti Boyan. (Gambar: Shamsydar Ani)

Beliau turut memberikan ‘tips’ untuk memasak dengan cara lebih mudah dan cepat tetapi rasanya tetap ‘Ooopmh!’.

“Ibu saya punya rendang dengan sambal resepi pun ada tapi saya ubah suai ikut cara saya. Macam ada teknik untuk mempercepat masakan berbanding cara tradisional. Biasanya kalau makcik-makcik tumis rendang lama kan? Cara saya, letak dalam ketuhar dahulu,” katanya, berkongsi salah satu tips.

LAHIRKAN 2 ‘BABY’ DALAM TAHUN 2020

Shamsydar memberitahu BERITAmediacorp buku resepinya itu sepatutnya diterbitkan pada tahun lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan seketika setelah beliau mendapati dirinya hamil.

“Waktu itu memang susah sedikit sebab saya terpaksa mengimbangi masa antara kerja sebagai jurugambar dan kehamilan saya pula agak mencabar semasa tiga bulan pertama. Jadi editor memberikan saya masa,” cerita Shamsydar, 30 tahun.


Nasi Beriani. (Gambar: Shamsydar Ani)

Buku resepi itu diterbitkan dengan kerjasama syarikat penerbitan Marshall Cavendish. Tawaran membuat buku resepi itu diberikan kepada Shamsydar setelah syarikat itu menyedari belum ada mana-mana finalis Masterchef musim pertama yang sudah mengeluarkan buku resepi.

“Bila ditawarkan kepada saya memang saya berminat kerana saya memang ada rancangan nak terbitkan buku masakan saya sendiri. Saya mula minat memasak sejak usia 19 tahun. Memang saya idamkan buku resepi sendiri,” cerita beliau dengan ceria kepada BERITAmediacorp.

Akhirnya, impian menjadi kenyataan. Kegembiraan beliau malah berganda! Dalam tahun 2020 ini bukan sahaja Shamsydar melahirkan seorang bayi lelaki yang kini sudahpun berusia hampir sembilan bulan. Beliau juga ‘melahirkan’ buku resepi pertamanya!


(Gambar: Shamsydar Ani)

Menceritakan proses menyiapkan buku resepi itu, Shamsydar berkata beliau terpaksa memasak setiap hidangan demi memastikan bahan-bahannya tepat.

“Saya kena cuba masak dulu resepi. Saya punya orang memang suka masak campak-campak. Bila nak kena tulis resepi itu yang susah. Jadi itu pun sebabnya kenapa editor beri saya masa sebab saya cakap saya kena masak semula hidangan-hidangan saya untuk ingat resepinya.

“Bila ada bayi di rumah ini, setiap kali saya masak terpaksalah cepat-cepat siapkan, kemudian ambil gambar makanannnya. Bila malam-malam anak tidur saya sunting (gambar),” kata Shamsydar sambil tertawa.


(Gambar: Shamsydar Ani)

Selepas setahun menyiapkan buku resepi tersebut, Shamsydar berharap ia akan dimanfaatkan oleh sesiapa yang membelinya kerana kemahiran memasak adalah satu “kemahiran hidup”.

“Tidak kira siapa pun anda, anda kena masak juga. Memasak adalah kemahiran hidup. Ia bukan tentang bakat. Lagi-lagi waktu COVID-19 ini, banyak kedai tutup dan sebagainya. Maksud saya, anda tidak perlu menjadi cef handal di rumah. Masak untuk diri anda sendiri, untuk keluarga tersayang,” kata Shamsydar.

SHAMSYDAR PASCA MASTERCHEF

Dalam pertandingan Masterchef Musim 1, Shamsydar berjaya menawan hati para juri sehingga melayakkan diri ke kedudukan tiga teratas sebelum tewas di tangan naib juara, Genevieve Lee dan juara Zander Ng.


Tiga finalis Masterchef Singapura Musim 1. (Gambar: Shamsydar Ani/Masterchef Singapore)

Kini lebih dua tahun sudah berlalu sejak pertandingan itu. Bagaimana kehidupan beliau pasca Masterchef?

Ini jawapan Shamsydar: “Kehidupan selepas Masterchef masih sama seperti biasa cuma saya lebih dikenali sekarang. Tapi dari segi masakan, saya lebih banyak melakukan eksperimen, mencuba sesuatu yang baru.”

Musim 2 Masterchef Singapura, yang sedang menjalani penggambaran ketika ini, akan ditayangkan dalam bulan Februari 2021. Sebagai peserta ‘senior’ Masterchef, Shamsydar ada nasihat buat para peserta ‘junior’ yang bakal berentap merebut gelaran juara Musim 2.

“Gunakan Masterchef ini sebagai batu loncatan. Ia membuka peluang untuk anda semasa penggambaran itu sendiri. Anda akan menjalin persahabatan baru. Terima ilmu-ilmu yang dikongsikan oleh para cef.

“Anda juga tidak semestinya menjadi sangat berjaya. Seperti kami para alumni Masterchef, kami tidak menjadi sangat berjaya tetapi setiap daripada kami maju dengan cara kami sendiri. Kami semua mengambil haluan berbeza,” kata Shamsydar.

Yang pasti, pengalaman yang diraih daripada pertandingan Masterchef itu satu pengalaman pembelajaran yang bermakna.


(Gambar: Shamsydar Ani/Masterchef Singapore)

MUSIM 2 MASTERCHEF S’PURA DISIARKAN FEB 2021

Dalam musim 2 Masterchef, para penonton boleh menjangkakan episod-episod yang lebih bertenaga yang meraikan hidangan-hidangan berbilang budaya tempatan.

Musim terbaru itu nanti akan dipanjangkan daripada lapan episod sebelum ini kepada 10 episod.

Penggambaran bagi Musim 2 itu menerima permohonan daripada ratusan peserta daripada latar belakang yang rencam termasuk penyanyi, atlit, doktor, guru, penggubah bunga, saintis, pemandu teksi, juru seni bina dan juga pak dalang.

Hanya 24 daripada mereka akan dipilih untuk menunjukkan kehebatan mereka memasak. Daripada jumlah itu, hanya 12 yang akan layak untuk berentap di dapur Masterchef bagi merebut gelaran juara. 

- BERITAmediacorp/nk

Top