Images
  • sleep in cars
    Gambar hiasan. (Gambar: Sensasi/Twitter) 

Sesaat 'microsleep' ketika memandu boleh ragut nyawa: Pakar

KUALA LUMPUR: Bermula minggu depan, ramai perantau yang akan memandu pulang ke kampung halaman untuk menyambut berhari raya bersama keluarga. 

Sebagai pemandu, mereka perlu pastikan diri cukup rehat mental dan fizikal, lebih-lebih lagi buat mereka yang bakal menghadapi perjalanan jarak jauh bagi mengelakkan kejadian terlelap semasa memandu atau 'microsleep'.

Terbaru insiden kemalangan maut meragut nyawa Pengasas Dnars Skincare, arwah Faziani Rohban Ahmad, 39 tahun, baru-baru ini ada kaitan dengan 'microsleep' berikutan pemandu iaitu suaminya Encik Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42 tahun, mengakui mengantuk ketika memandu dari kediamannya di Tumpat menuju ke Pattani, Thailand.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Pakar Putra Melaka Dr S.Ravih berkata 'microsleep' terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan 'tertidur' selama beberapa saat, walaupun mata anda terbuka dan tangan memegang stereng.

"Jangan paksa diri untuk terus memandu dalam keadaan badan letih dan mata mengantuk. Berhentilah di mana-mana tempat selamat dan lelapkan mata sebentar. Lima minit pun cukup atau berhenti setiap dua atau tiga jam jika pemanduan jarak jauh," katanya kepada Bernama.

Lazimnya potensi menjadi mangsa 'microsleep' adalah apabila memandu jarak jauh, ditambah faktor lain seperti waktu pemanduan, keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya serta keadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk.

Dr Ravih berkata antara simptom seseorang itu mungkin bakal menjadi mangsa 'microsleep' ialah lambat bertindak balas terhadap sebarang maklumat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba.

"Biasanya individu yang menjadi mangsa 'microsleep' itu merasakan beliau masih memandu sedangkan beliau sudah 'shut down' dan ini boleh berlaku ketika mata masih terbuka," katanya yang menyarankan elak memandu waktu puncak mengantuk antara jam 3.00 hingga 5.00 pagi dan antara 2.00 hingga 4.00 petang.

Mengulas lanjut, Dr Ravih berkata pekerja syif seperti pemandu lori dan bas berisiko menjadi mangsa 'microsleep' yang lebih tinggi disebabkan perubahan corak pola tidur.

"Mengganggu corak tidur normal boleh menyebabkan keletihan, dan mengantuk siang hari. Mereka yang mengalaminya juga berisiko membuat keputusan yang salah, masalah dengan kewaspadaan dan sukar memberi tumpuan," katanya.

'Microsleep' tidak hanya terjadi semasa memandu, malah boleh terjadi semasa menonton televisyen, ketika berada di dalam kelas, menghadap komputer dalam jangka masa yang panjang dan sebagainya.

Sementara itu Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Encik Lee Lam Thye berkata majikan pemandu lori dan bas khususnya perlu memberi keutamaan aspek keselamatan kerana kemalangan perjalanan kini menjadi isu utama keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini apabila ia semakin meningkat.

"Walaupun ada pihak mempersoalkan kesesuaian memandu bas atau lori pada waktu malam, kita perlu ingat perkhidmatan mereka diperlukan untuk menyokong operasi pelbagai kemudahan dan perkhidmatan. Kitaran tidur tidak seimbang dan 'microsleep' sebenarnya boleh berlaku pada siang hari, seperti yang ditunjukkan dalam pelbagai kajian," katanya.

Justeru itu, majikan disaran mendidik pekerja dan pemandu mengenai undang-undang berkaitan dan bagaimana untuk menjaga kenderaan mereka supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

- BERNAMA/NA/na

Top