Images
  • pokemon pikachu eevee
    Gambar hiasan. (Gambar: Facebook/Nintendo)

Sentosa anjur Karnival Pokemon julung-julung kali bulan depan

SINGAPURA: Jika anda peminat Pokemon yang belum puas terhibur dengan acara Pokemon Go bulan lalu dan filem Pokemon Detective yang sedang ditayangkan di pawagam, kini ada acara yang bakal berlangsung tidak lama lagi di mana anda boleh menyaksikan beratus-ratus watak Pokemon.

Buat julung-julung kalinya, Sentosa akan menganjurkan Karnival Pokemon dari 15 hingga 30 Jun di Sentosa Cove Village.

Ia juga yang pertama di Asia di mana para peminat berpeluang untuk menyaksikan kesemua 403 watak Pokemon sekaligus dari Alola di satu-satu lokasi.

Daya tarikan lain termasuk Perbarisan Pikachu yang cukup popular (di mana orang ramai boleh berdansa dengan Pokemon) dan sesi-sesi beramah mesra pada lewat petang.

Orang ramai juga boleh bergambar dengan patung-patung belon Pokemon pilihan mereka di kawasan tersebut untuk dikongsi menerusi Instagram, termasuk patung Pikachu setinggi lima meter, dan juga tempat permainan bagi kanak-kanak.

Para pengunjung juga boleh menyertai Pokemon Adventure, di mana mereka akan menerima baucar-baucar permainan karnival dan buku kegiatan yang dapat membantu mereka untuk mencari pelbagai watak Pokemon di kawasan itu.

Mereka yang berjaya menamatkan kegiatan-kegiatan dalam buku itu boleh mendapat patung ‘plushie’ secara percuma.

Baucar-baucar permainan juga boleh digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang bertemakan Pokemon, di mana para peserta berpeluang memenangi set pelekat.

Untuk maklumat lanjut, sila lungsuri laman https://www.sentosa.com.sg/pokemon-carnival

- CNA/ZM/zm

Top