Images
  • oasia
    Oasia Resort Sentosaakan dibuka pada suku kedua 2021. (Gambar: Far East Hospitality)

Sentosa akan sambut pembukaan hotel baru di bekas tapak Le Meridien Hotel & Spa

SINGAPURA: Rakyat Singapura dan para penduduk negara ini boleh menjangkakan satu lagi pilihan sebagai destinasi percutian di dalam negeri (staycation) pada tahun depan.

Ini setelah Far East Hospitality, salah satu pengendali utama hotel mengumumkan pada Selasa (17 Nov) bahawa ia akan membuka sebuah hotel baru di Sentosa.

Dijadual dibuka pada suku kedua tahun depan, Oasia Resort Sentosa akan menjadi hartanah keempat di Sentosa yang dikendalikan oleh Far East Hospitality dengan tiga lagi adalah Village Hotel, The Barracks Hotel dan The Outpost Hotel.

Hotel baru itu akan dibangunkan di bekas tapak Le Meridien Hotel and Spa yang menutup pintunya pada Oktober tahun ini. Hotel itu diuruskan oleh Marriott International di bawah jenama Le Meridien.

Sejak itu, Far East Hospitality mengekalkan pemilikan hartanah berkenaan yang akan dilancarkan semula sebagai Oasia Resort Sentosa.

Syarikat tempatan itu sudahpun memeterai Perjanjian Pengurusan Hotel (HMA) bersama dengan Far East Organization.

Di bawah perjanjian tersebut, Far East Hospitality bertanggungjawab mengendalikan operasi, dan fungsi penjualan dan pemasaran hotel baru itu.

Hotel baru itu juga menandakan kali pertama Far East Hospitality menceburi bidang resort dan spa.

"Kemasukan ke bidang resort dan spa adalah satu langkah semula jadi dan yang memang sudah dirancang," kata Ketua Eksekutif Far East Hospitality, Arthur Kong.

"Setiap hartanah kami di Sentosa memenuhi demografi yang berbeza. Dengan Oasia Resort Sentosa, yang menyasarkan mereka yang mengutamakan kesejahteraan, ia melengkapkan tawaran-tawaran kami di pulau itu." 

- CNA/RU/ru

Top