Images
  • nac geylang
    Lukisan mural dalam acara seni di kejiranan. (Gambar: BERITAmediacorp)

Sejarah, warisan Geylang & Kallang dipapar melalui lukisan, karya seni

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, acara "Seni Di Kejiranan Anda" membawakan program-program seni secara digital dan fizikal di lokasi.

Bagi edisi ke-15, acara anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) ini mengajak orang ramai meneroka kawasan Geylang dan Kallang menerusi karya-karya seni yang diilhamkan daripada kedua-dua kawasan itu.

Salah satunya ialah lukisan pada dinding berdekatan Pusat Makanan Joo Chiat Complex yang merupakan antara lima lukisan mural di bawah projek "Brilliant Corners: The City Is Blooming".

Deretan rumah-rumah kedai lama begitu sinonim dengan kawasan Katong dan Joo Chiat dan ia dijadikan sebagai inspirasi bagi pasangan artis dari Ink & Clog Studio yang diundang untuk menghasilkan lukisan mural itu.

Salah seorang artis, Eman Raharno Jeman@Clogtwo memberitahu BERITAmediacorp: "Kita dapat tahu Geylang ini daripada perkataan kilang dan serai, jadi banyak kilang serai di kawasan ini. Jadi dari situ, banyak rumah kedai dan pekerja kilang tinggal di sini, kita dapat inspirasi bagaimana masyarakat di Geylang Serai dapat membawakan sebagai satu tempat menjalin rangkaian sosial dan sampai sekarang tempat kita berinteraksi antara satu sama lain,"

Selepas 4 hari, Inkten dan Clogtwo yang turut dibantu oleh 15 kanak-kanak dari Jamiyah Singapura, berjaya menghasilkan lukisan tembok tersebut.

Bagi menyuntik keunikan pada projek itu, mereka memilih untuk memaparkan sisi lain rumah kedai.

"Kalau boleh kita nak menggabungkan flora dan fauna dan selalu lukisan menunjukkan "facade" ataupun motif di luar rumah kedai. Jadi kali ini ingin menunjukkan karya seni di dalam rumah kedai," kongsi seorang lagi artis terlibat, Nadirah Abdul Razak@Inkten.

Di kawasan Kallang pula, satu pertunjukan cahaya pada bangunan ikonik Pusat Penjaja Old Airport Road dinyalakan setiap hari dari jam 8.00 malam.


(Gambar: BERITAmediacorp)

Corak papan tanda kedai makan di Kallang serta kisah penduduk menjadi sumber ilham salah seorang artis bagi projek "Patterns Seeking".

Menjelaskan hal itu, Heider Ismail berkata: "Sebenarnya papan tanda ini ada cerita di sebaliknya. Ia bukan tentang makanan sahaja. Jadi, saya nak beritahu rakyat Singapura bahawa gerai-gerai ini ada "character" di sebaliknya."

Selain cahaya dan corak, kicauan burung dan hiruk-pikuk kegiatan di kawasan itu juga dirakam dan disusun khas bagi mengiringi pertunjukan cahaya tersebut.

Ia merupakan dua daripada empat program yang boleh disaksikan orang ramai secara fizikal.


(Gambar: NAC)

Terdapat tujuh lagi program lain termasuk persembahan tarian dan dikir barat yang boleh ditonton secara online.

Edisi ke-15 acara "Seni di Kejiranan Anda" akan berlangsung sehingga 29 November. 

- BERITAmediacorp/RU/ru

Top